Inflasi terkawal, petanda kesihatan ekonomi baik
Konotasi inflasi sering kali dianggap sebagai sesuatu yang negatif, namun hakikatnya ia tidaklah seburuk yang disangka. Dalam konteks ekonomi, inflasi yang terkawal sebenarnya adalah petanda kesihatan ekonomi yang baik.
Menurut Timbalan Ketua Ahli Ekonomi, BIMB Securities Zafri Zulkeffeli, setiap negara memerlukan inflasi untuk mengetahui pertumbuhan dari segi ekonomi.
Secara asasnya, inflasi bermaksud peningkatan harga barang dan perkhidmatan dari masa ke masa, biasanya diukur tahun ke tahun. Walaupun inflasi boleh diukur secara bulanan atau suku tahunan, ukuran tahunan adalah yang paling biasa digunakan.
Dalam mengukur inflasi, adalah penting untuk mempertimbangkan juga kadar peningkatan pendapatan rakyat. Yang paling utama, pendapatan perlu berkembang lebih tinggi daripada kadar inflasi.
Sekiranya gaji tidak meningkat atau lebih rendah daripada kadar inflasi, ini akan menjejaskan kuasa beli rakyat. Namun, jika pendapatan tumbuh lebih cepat daripada inflasi, kuasa beli rakyat akan meningkat, memberikan kestabilan kepada ekonomi negara.
Inflasi di Malaysia berada pada paras rendah sekitar 2%
“Isu utama yang dihadapi sekarang ialah kadar pertumbuhan gaji rakyat lebih perlahan berbanding kadar inflasi. Walaupun begitu, jika dibandingkan dengan negara-negara lain, kadar inflasi di Malaysia berada pada paras rendah, iaitu sekitar 2% hingga 3%. Ini adalah kadar inflasi yang sihat bagi ekonomi”, kata Zafri.
Tanpa inflasi, kenaikan gaji tidak mungkin berlaku kerana peningkatan kos buruh akan menyebabkan syarikat-syarikat menaikkan harga barangan. Oleh itu, inflasi pada kadar 2% hingga 3% adalah sihat selagi ia tidak menjejaskan pertumbuhan gaji sebenar (real wage growth).
Galakkan Melabur dan Menyimpan
Salah satu cara untuk memanfaatkan peningkatan pendapatan rakyat adalah dengan menggalakkan mereka melabur dan menyimpan, yang penting untuk masa depan negara.
Dengan kuasa beli yang semakin meningkat, ia akan secara tidak langsung merangsang pertumbuhan ekonomi, terutamanya melalui aktiviti seperti perbelanjaan runcit di pusat membeli-belah dan sektor pelancongan, yang seterusnya akan menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara secara berterusan.
Kuasa beli tinggi, rakyat berbelanja
Zafri turut berkata apabila ekonomi berkembang, lebih daripada 50% sumbangan kepada ekonomi negara datang daripada penggunaan swasta dan sektor perkhidmatan, yang sangat bergantung kepada kuasa beli rakyat.
Dengan peningkatan ekonomi, rakyat akan terus berbelanja, dan kerajaan akan memperoleh lebih banyak hasil melalui cukai seperti SST serta pendapatan korporat yang lebih tinggi.
Ini akan memberikan kerajaan peluang untuk mengumpul lebih banyak dana, yang boleh digunakan untuk melaksanakan lebih banyak program kebajikan dan pembangunan rakyat, terutamanya dalam belanjawan 2025 dan belanjawan seterusnya.
Inflasi rendah, baik untuk pelaburan
Dari sudut pelaburan, dengan kadar inflasi yang rendah, pelaburan dalam negara boleh memberikan pulangan yang baik. Inflasi yang terkawal memberikan kelebihan kepada pelabur dalam mendapatkan pulangan yang lebih tinggi berbanding kadar inflasi.
Nilai ringgit Malaysia baik untuk eksport & import
Dalam konteks eksport, nilai ringgit sekarang boleh memberikan kelebihan kepada pengeksport Malaysia kerana harga jualan dalam mata wang asing menjadi lebih kompetitif. Namun, jika ringgit mengukuh, ia juga memberikan manfaat dari segi nilai import yang lebih rendah, terutamanya bagi bahan mentah yang diimport.
Kerajaan juga memainkan peranan penting dalam memastikan inflasi kekal terkawal. Usaha untuk memastikan inflasi tidak melebihi 3% adalah penting supaya kuasa beli rakyat terus terjaga. Inflasi yang terkawal juga memberi ruang kepada rakyat untuk melabur dan menyimpan, sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Saya menjangkakan dan mengharapkan kerajaan terus komited untuk menurunkan defisit bajet ini sebab ia penting untuk kesihatan fizikal negara dan supaya kerajaan mampu untuk membelanjakan lagi pada masa hadapan untuk perkara-perkara yang lebih produktif seperti infrastruktur, meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia dan sebagainya”, tambah Zafri.
Mekanisme Kerajaan Kawalan Inflasi
Bagi mengekang badai inflasi, Kerajaan menyediakan Kerangka Ekonomi Madani yang komprehensif untuk menangani isu inflasi di Malaysia, dengan menggabungkan strategi yang menyeluruh dari segi pengeluaran tempatan, kestabilan harga, pembangunan lestari, dan keadilan ekonomi
Bagi mengekang inflasi yang berpunca daripada pembaziran atau salah urus, di bawah tadbir urus dan ketelusan ekonomi, kerangka ini menekankan pentingnya tadbir urus yang baik dan ketelusan dalam pentadbiran dalam memastikan ketirisan dalam perbelanjaan awam dan sumber negara digunakan dengan optimum.
Penguatkuasaan undang-undang terhadap manipulasi harga, pencatutan, dan amalan perniagaan tidak adil membantu memastikan harga kekal stabil dan pasaran beroperasi secara adil untuk kebaikan pengguna.
Pemeriksaan berkala dan operasi pemantauan di seluruh negara diadakan, khususnya terhadap barangan keperluan asas seperti makanan, barangan runcit, dan bahan binaan. Ini bertujuan memastikan harga barang kekal pada tahap munasabah dan tidak dinaikkan secara tidak wajar.
Tidak perlu panik
Inflasi, apabila dikawal dengan baik, bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti. Malah, ia adalah petunjuk yang baik bahawa ekonomi sedang berkembang. Yang penting adalah memastikan pertumbuhan pendapatan selari dengan kadar inflasi, agar kuasa beli rakyat terus terpelihara dan ekonomi negara terus stabil.
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].