Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) INSAN bantu tambah pendapatan keluarga
Diterbitkan:  Oct 14, 2024 5:11 PM
Dikemaskini: 10:11 AM

Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) INSAN yang diperkenalkan di bawah Belanjawan 2024 fokus dengan strategi serampang dua mata untuk menambah pendapatan keluarga miskin tegar dan B40 pada masa yang sama berusaha menyelesaikan masalah ekonomi harian menerusi inisiatif-inisiatif IPR.

Menurut Mohd Hermi Bin Shahuddin yang berasal dari Kuala Kangsar Perak, beliau merupakan peserta program Blueprint Kerajaan Selangor dan telah dipilih oleh pegawai Pejabat Daerah Kuala Selangor yang telah dilantik oleh Kementerian Ekonomi untuk berdaftar sebagai peserta IPR - INSAN.

“Sebelum ini, saya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjual Nasi Kukus di tapak penjaja Fasa 3, Puncak Alam. Pengalaman sebagai penjaja sangat berbeza jika dibandingkan dengan sekarang, setelah saya menjadi pengusaha mesin layan diri. Dahulu, saya terpaksa menjalankan perniagaan dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, di bawah terik matahari dan hujan, tetapi kini saya menikmati kaedah perniagaan yang lebih sistematik, teratur dan selamat. Tambahan pula, perniagaan ini tidak terikat dengan waktu operasi tertentu, memberi lebih fleksibiliti dalam menguruskan masa.”

IPR INSAN Menitikberatkan Penjagaan Dan Kualiti Makanan

Beliau berkata program ini menekankan aspek penjagaan dan kualiti makanan. Sebagai contoh, setiap peserta diwajibkan memiliki sijil kursus pemakanan. Melalui kursus tersebut, peserta mendapat pengetahuan tentang prosedur penyediaan makanan, dari sebelum ia dijual hingga tempoh boleh dijual. Selain itu, peserta juga diwajibkan mengambil vaksin TY2 dalam jangka masa tertentu untuk mencegah sebarang risiko jangkitan.

Dari segi pemantauan, pihak kementerian telah melantik pegawai khusus untuk memantau makanan yang disediakan. Setiap makanan juga perlu dilabel dengan waktu dan tarikh penyediaan, memudahkan pelanggan mengetahui tempoh makanan tersebut berada dalam mesin. Terdapat juga pemantauan dari KKM setempat, termasuk KKM dari UITM Puncak Alam.

Normaladiana yang berasal dari Pantai Dalam, KL berkata yang mendorong beliau menyertai program IPR INSAN adalah keinginan untuk mencari pendapatan sampingan, kerana sebagai seorang OKU fizikal, beliau tidak dapat bekerja di luar.

“Program ini memberi saya peluang untuk mengembangkan perniagaan kecil-kecilan yang saya jalankan dari rumah. Saya juga dapat memperluaskan rangkaian pelanggan, terutamanya bagi mereka yang berminat untuk membuat tempahan makanan daripada saya.

"Saya menjual pelbagai menu sarapan yang dimasak sendiri antaranya Nasi Lemak, Telur, Ayam Crispy, Lempeng, Sandwich, Roti Sosej, dan pelbagai lagi menu Rahmah pada harga RM2 hingga RM5 menerusi mesin layan diri yang terletak di NU Sentral," katanya.

“Dari segi keselamatan dan kualiti, makanan yang disediakan oleh peserta IPR sentiasa dijaga dengan baik. Makanan yang diletakkan di dalam mesin layan diri sentiasa dalam keadaan bersih dan disimpan dalam bekas yang bertutup rapat, memastikan kebersihan dan kualiti sentiasa terpelihara,” ujarnya.

Memperkasa Kreativiti dan Pengurusan Perniagaan

Amiruddin Ahmad Abdul Jalil, berkongsi bahawa Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) memberikannya peluang untuk memanfaatkan platform yang disediakan kerajaan melalui mesin layan diri.

“Program ini bukan sahaja memberi saya peluang untuk menjana pendapatan, tetapi juga mendorong saya menjadi lebih kreatif dalam menyediakan pelbagai jenis makanan. Di samping itu, saya turut belajar mengenai pengurusan kewangan perniagaan dengan lebih mendalam. Saya diperkenalkan kepada proses pendaftaran dengan SSM, pembukaan akaun bank perniagaan, dan lain-lain aspek penting dalam perniagaan yang sebenar”.

"Dalam masa tiga bulan, saya juga berjaya mendapatkan pelanggan tetap. Saya melihat ini sebagai peluang untuk meluaskan perniagaan ke arah katering atau penyediaan makanan di lokasi lain," katanya.

“Cabaran utama yang saya hadapi sebelum ini ialah mencari cara untuk menambah pendapatan bulanan bagi menampung kos sara hidup serta mengembangkan perniagaan kecil yang saya usahakan – mengambil tempahan kuih dan makanan. Dengan menyertai program ini, saya telah berpeluang menjana pendapatan tambahan setiap bulan melalui mesin saya di UITM Merbok, Kedah. Ini telah membantu saya menangani kos sara hidup yang kian meningkat terutama ketika anak-anak semakin membesar,” kata Mohd Asyraf yang berasal dari Kedah.

Tingkat Keyakinan Produk yang Ditawarkan

“Kami perlu menyertai kursus pengendalian makanan yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kursus ini memastikan kami memahami cara-cara pengendalian bahan basah yang betul, agar makanan yang disediakan bukan sahaja bersih tetapi juga selamat dan boleh bertahan sehingga 4 jam di dalam mesin. Ini memastikan standard kebersihan dan keselamatan yang tinggi dalam pengendalian makanan, sekaligus meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk yang ditawarkan,” katanya.

IPR dilancarkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Februari tahun lalu bertujuan membantu golongan miskin tegar, miskin dan B40 menjana pendapatan mampan.

Menerusi inisiatif INSAN, penerima diberikan mesin layan diri di tempat terpilih serta kos sewaan bulanan dianggarkan antara RM600 hingga RM800 ditanggung sepenuhnya kerajaan selama dua tahun.

Selain INSAN, IPR turut menawarkan kategori Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) kepada syarikat pertanian, rantaian peruncitan makanan, pengeksport, agensi-agensi kerajaan berkaitan dan koperasi serta Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN) kepada syarikat swasta yang memerlukan pekerja sambilan untuk tujuan pembersihan premis.

Belanjawan 2025 akan dibentangkan di Parlimen pada 18 Oktober 2024.


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS