Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
27 Hab STEM Berperanan Tingkatkan Pendidikan STEM di Sekolah
Diterbitkan:  Oct 14, 2024 4:10 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Majlis Perasmian Hab STEM Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Peringkat Kebangsaan telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek di IPGM Kampus Pulau Pinang.

Inisiatif ini merangkumi pembangunan hab STEM di 27 kampus IPGM di seluruh negara. Ia adalah usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran siswa guru, pensyarah IPGMK, guru, murid sekolah dan komuniti dalam bidang STEM. Ia juga adalah wadah menggalakkan inovasi dan kreativiti.

Pelaksanaan aktiviti STEM secara hands-on, latihan dan bengkel

“Menerusi Hab STEM ini peranan IPGMK sebagai satu institusi pendidikan guru dapat diperluas dan dipertingkatkan khususnya kepakaran para pensyarah IPGMK ini dapat dimanfaatkan untuk semua pelajar serta guru di sekolah-sekolah.

“Ini merupakan satu usaha KPM dalam mengangkat pendidikan STEM di dalam negara. Jadi kita berharap 27 buah Hab STEM ini dapat dimanfaatkan oleh seluruh komuniti, khususnya komuniti pendidikan, masyarakat dan juga sekolah-sekolah yang berhampiran,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran Hab STEM di IPGMK Pulau Pinang, di sini kelmarin.

Hab STEM dibahagikan kepada beberapa komponen utama, termasuk pelaksanaan aktiviti STEM secara hands-on, latihan dan bengkel untuk guru dan murid di sekolah di kawasan setempat, program komuniti STEM, serta kerjasama dengan agensi luar dan industri untuk memastikan program ini relevan dan berkesan.

Setiap komponen dirancang untuk menyokong matlamat keseluruhan program iaitu untuk memperkukuh pendidikan STEM dan meningkatkan enrolmen STEM.

Menurut Fadhlina, setiap Hab STEM di IPGMK dibangunkan sejak Jun tahun ini dengan peruntukan bernilai RM12,000 oleh KPM.

Hari ini kita dapat lancarkan semua 27 Hab STEM, sebab kita telah ada persiapan awal, aktiviti, program dan modul telah pun dirancang dengan sangat baik.

“Jadi, saya betul-betul berharap semua kelengkapan yang ada di Hab STEM ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak khususnya sekolah dan guru-guru STEM juga,” katanya.

Tambah beliau, Hab STEM di setiap IPGMK mempunyai kepakaran-kepakaran yang berbeza dan ia harus digunakan sepenuhnya oleh warga pendidik untuk merancakkan budaya STEM di peringkat sekolah.

“Para pendidik di peringkat sekolah boleh menggunakan kelengkapan, modul serta kepakaran yang ditawarkan di Hab STEM di setiap IPGM yang mempunyai kepakaran berbeza.“Sebagai contoh, hari ini kita di IPGMK Pulau Pinang, memang kepakaran mereka adalah sangat-sangat menarik dalam bidang Sains, Matematik jadi, memang kita boleh memanfaatkan sepenuhnya kepakaran itu di sini,” katanya.

Penubuhan Hab STEM bukan sahaja memperkasa pendidikan di kampus tetapi juga di peringkat sekolah melalui konsep pengajaran berpasukan, coaching, mentoring, dan konsultasi dalam STEM. Justeru, pemerkasaan Hab STEM melalui sekolah pengajar diharapkan dapat memberi impak yang positif kepada usaha KPM dalam pembinaan karakter murid.


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS