Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
MOSTI Perkasa Bakat STEM dan Syarikat Pemula untuk Ekonomi Digital Malaysia
Diterbitkan:  Oct 9, 2024 3:23 PM
Dikemaskini: Oct 10, 2024 3:53 AM

Dalam era globalisasi dan perkembangan teknologi yang pesat, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus berperanan sebagai peneraju dalam membangunkan bakat STEM dan memajukan ekosistem syarikat pemula di Malaysia.

Apatah lagi bila Malaysia kini berada di ambang lonjakan ekonomi teknologi yang besar, terutama dengan peningkatan pelaburan bernilai tinggi daripada syarikat-syarikat teknologi gergasi dunia.

Syarikat-syarikat gergasi teknologi global seperti Microsoft, Google, Amazon, dan Oracle telah mengumumkan pelaburan besar mereka terutamanya dalam sektor pengkomputeran awan (cloud computing) dan kecerdasan buatan (AI).

Sebagai contoh, Oracle Corporation baru-baru ini telah membuat keputusan untuk untuk membina wilayah awan awam (public cloud region) di Malaysia, dengan jumlah pelaburan besar sebanyak AS$6.5 bilion (RM27 bilion).

Syarikat Google pula telah memulakan pembinaan pusat data canggih bernilai RM8.6 bilion (AS$2 bilion) di Elmina Business Park, Sime Darby Property.

Perkembangan ini bukan sahaja membuka pintu kepada peluang ekonomi yang tidak terhad, malah mencipta permintaan besar terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Seiring dengan pertumbuhan positif ini, MOSTI kekal komited dalam memastikan negara mampu memenuhi permintaan tenaga kerja berkualiti tinggi melalui pembangunan bakat jangka panjang.

Melalui kerjasama strategik dengan industri dan sokongan padu terhadap syarikat pemula, Malaysia kini bersedia untuk merealisasikan potensi besarnya dalam ekonomi digital, yang membawa manfaat yang besar kepada rakyat dan negara.

Pembangunan Bakat STEM

Salah satu inisiatif utama MOSTI adalah memberi tumpuan terhadap pembangunan bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM), yang diakui sebagai kunci kepada masa depan ekonomi digital Malaysia.

Dalam dunia yang semakin dipacu oleh kemajuan teknologi, terutamanya dalam bidang kecerdasan buatan dan pengkomputeran awan, keperluan untuk tenaga kerja yang berkemahiran tinggi semakin mendesak.

MOSTI mengambil pendekatan proaktif dengan melaksanakan program-program pembudayaan sains yang lebih interaktif dan praktikal, seperti Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics.

Program-program ini bukan sahaja memperkenalkan sains kepada pelajar dengan cara yang lebih menarik, malah membantu mengukuhkan asas pemahaman mereka terhadap STEM.

Melalui aktiviti praktical dan hands-on, pelajar dapat mempelajari subjek sains dalam suasana yang menyeronokkan dan relevan dengan keperluan masa depan.

Selain itu, MOSTI bekerjasama dengan pihak industri untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar terhadap teknologi terkini melalui program seperti STEM Camp. Inisiatif ini memberi peluang kepada pelajar untuk mendalami ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan dalam sektor teknologi.

Program inovatif lain seperti STI100 melibatkan 100 saintis yang turun padang untuk berinteraksi dengan pelajar, bertujuan menarik minat generasi muda terhadap sains serta memberi inspirasi kepada mereka untuk meneroka bidang STEM.

Ekosistem Syarikat Pemula

MOSTI juga berperanan penting dalam membentuk ekosistem syarikat pemula yang inovatif dan mampan, yang menjadi tonggak kepada ekonomi teknologi Malaysia.

Agensi-agensi seperti Cradle, MRANTI, dan MTDC menyediakan pelbagai sokongan kepada syarikat pemula, memastikan mereka dapat bersaing di peringkat global.

Cradle, sebagai contoh, menyediakan geran atau seed funding kepada syarikat pemula.

Pada April lalu, MOSTI telah melancarkan Program Perintis Kecerdasan Buatan (Sandbox AI) yang direka untuk meningkatkan penggunaan teknologi AI merentasi organisasi Malaysia serta mengecilkan jurang sedia ada yang menjadi amalan dan norma industri global.

Program ini ditetapkan untuk meningkatkan kerjasama dan perkongsian pengetahuan di kalangan pihak berkepentingan. Usaha ini bertujuan untuk memudahkan pertukaran amalan terbaik dan sumber yang penting untuk pembangunan, penggunaan dan penggunaan AI seterusnya memperkaya ekosistem AI Malaysia.

Inisiatif ini yang merupakan kerjasama strategik antara National Technology Innovation Sandbox (NTIS) dan NVIDIA, bersedia untuk melonjakkan Malaysia menjadi sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan, dengan AI memacu inovasi, produktiviti dan daya saing.

Program ini dijangka akan memudahkan penubuhan sehingga 900 syarikat pemula AI menjelang tahun 2026, memupuk pembangunan lebih 13,000 bakat AI baharu dan berpotensi merangsang sehingga 10% pertumbuhan ekonomi melalui penciptaan industri baharu dan peluang pekerjaan.

Pada bulan April lalu juga, Sidang Kemuncak KL20 di Kuala Lumpur, yang dianjurkan oleh Kementerian Ekonomi dan disokong oleh MOSTI, telah menyerlahkan potensi Malaysia sebagai persekitaran yang kondusif untuk syarikat pemula, terutamanya dalam sektor utama seperti semikonduktor dan reka bentuk litar bersepadu, fintech, e-dagang, pembuatan dan automasi, agritech, cleantech dan kewangan Islam.

Persidangan selama dua hari ini menampilkan barisan panel terkemuka, daripada pemimpin industri dan pelabur antarabangsa.

Antara acara penting KL20 ialah pelancaran Pelan Tindakan KL20 yang menggariskan lebih 20 pembaharuan transformatif yang bakal melonjakkan ekosistem syarikat pemula tempatan yang melibatkan pembiaya/pelabur, pengasas syarikat pemula dan bakat (tech-talent).

Sewaktu KL20 berlangsung, MOSTI juga telah melancarkan Tetingkap Tunggal Ekosistem Startup Malaysia (MYStartup Single Window Platform) untuk membantu ekosistem permulaan Malaysia dengan memudahkan prosedur dan menyatukan sumber dalam platform tunggal.

MYStartup Single Window direka untuk memupuk kerjasama, inovasi dan jangkauan global, menawarkan maklumat yang teratur kepada pengasas, pelabur dan bakat teknologi seperti:

a) Pencerahan dan sumber maklumat mengenai permulaan dan perkembangan startup.

b) Pangkalan data menyeluruh tentang semua startup di Malaysia dan firma modal teroka, mengandungi maklumat penting tentang pembiayaan, butiran perniagaan dan status pengumpulan dana aktif yang dikemaskini secara berkala.

c) MYStartup AI: pertanyaan berkaitan ekosistem startup Malaysia. Ciri-ciri baharu ini membolehkan proses lancar dan teratur yang memantapkan kecekapan dan keberkesanan serta mengurangkan birokrasi.

Dengan sokongan kuat dari MOSTI, syarikat pemula tempatan kini mempunyai landasan yang kukuh untuk menjadi peneraju dalam inovasi global.

Dengan pelbagai program Pembangunan yang telah dilancarkan dan bakal dirangka, MOSTI kekal sebagai peneraju dalam memacu kemajuan teknologi di Malaysia melalui pembangunan bakat STEM dan sokongan terhadap syarikat pemula.

Komitmen kementerian ini, bersama kerjasama industri dan syarikat global, meletakkan Malaysia di landasan tepat untuk pertumbuhan dalam ekonomi digital.


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS