Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
AKRI 2024: Mengiktiraf Keunggulan Rekabentuk Kurikulum di Institusi Awam dan Swasta
Diterbitkan:  Oct 7, 2024 5:38 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Majlis Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi: Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI) dan Perasmian Sambutan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2024 telah disempurnakan oleh YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

Misi penganjuran AKRI 2024 adalah bertujuan untuk mengenal pasti, memberi pengiktirafan serta berkongsi amalan terbaik projek-projek serta inisiatif yang telah dilaksanakan dalam 4 kategori berikut:

  1. Kurikulum Program Pengajian Inovatif

  2. Pengajaran Transformatif

  3. Pengalaman Pembelajaran Imersif

  • Pengalaman Pembelajaran Imersif (Maya)

  • Pengalaman Pembelajaran Imersif (Teradun)

  • Pengalaman Pembelajaran Imersif (Bersemuka)

  1. Pentaksiran Alternatif

Sebanyak 108 permohonan telah diterima daripada universiti awam dan swasta

Kementerian telah menerima sebanyak 108 permohonan dan kesemua permohonan ini telah dinilai oleh Jawatankuasa Pemilih AKRI 2024 yang telah bersidang pada 19 dan 20 Julai 2024. Seterusnya, senarai 27 finalis yang disenarai pendek telah melalui sesi pitching pada 17 Ogos 2024.

Menurut Datuk Seri Dr Zambry, anugerah-anugerah tersebut  bertujuan untuk menyokong inisiatif dan aspirasi kementerian dalam pendidikan fleksibel dan kurikulum tersedia pada masa hadapan di samping memberikan pengiktirafan serta berkongsi amalan terbaik projek-projek yang dilaksanakan oleh ahli akademik. 

Menghargai sumbangan lebih 100,000 ahli akademik di seluruh negara

Pada majlis yang sama, YB Menteri telah melancarkan sambutan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2024 yang tahun ini mengangkat tema "Transformasi Akademia dengan AI: Masyarakat Madani Berinovasi”. 

Sambutan Bulan Akademia merupakan manifestasi penghargaan kerajaan terhadap sumbangan ahli akademik di peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang sentiasa gigih dan komited dalam membangunkan modal insan tempatan ke arah pembangunan lestari negara. 

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan transformasi pendidikan, terutamanya dalam era kecerdasan buatan (AI) yang semakin mempengaruhi pedagogi dan pembelajaran.

Bagi menyemarakkan semangat inovasi dalam aspek reka bentuk kurikulum dan penyampaian inovatif dalam kalangan akademia, YB Menteri menyeru supaya lebih ramai Profesor terus memberikan sumbangan dalam INOVASI PdP. Seharusnya profesor adalah mentor yang dapat memberikan galakan kepada para akademia muda dalam melakukan inovasi PdP.

“Kaedah pengajaran yang bukan lagi berteraskan kepada kampus, tetapi juga dia berada di luar sana di peringkat industri-industri. Inilah antara cabaran-cabaran besar yang berada di hadapan kita. Ini termasuk juga dalam dunia AI ini yang semakin mencabarkan keupayaan kita dalam dunia akademia,” kata beliau. 

Beliau turut mencadangkan agar sambutan Hari Akademia, yang disambut pada 5 Oktober setiap tahun, diperkasakan setaraf dengan Hari Guru, bagi menghargai sumbangan besar lebih 100,000 ahli akademik di seluruh negara.

Guna pakar tempatan bangunkan pelan pendidikan tinggi negara

Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035 perlu dibangunkan oleh tenaga pakar tempatan berbanding menggunakan khidmat konsultan luar.

Datuk Seri Dr Zambry berkata, kepakaran tempatan yang dimiliki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) lebih memahami keperluan terhadap model pembangunan pendidikan tinggi yang diperlukan negara.

"Kita memikirkan (kepakaran) dan sarjana dari luar. Tetapi, sebenarnya saya sebutkan yang mempunyai kepakaran itu adalah di sini (dalam negara). Saya selalu sebutkan tentang pentingnya kita mempunyai nilai diri, harga diri, keyakinan kepada sistem pendidikan kita.

"Keyakinan perlu kita bina dengan sebaik-baiknya, termasuklah hari ini kita sedang merangka pelan perancangan pendidikan (tinggi) untuk masa hadapan, 10 tahun akan datang,” katanya.


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS