Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Persidangan HCC 2024: Lebuhraya bertol di Malaysia harus sedia adaptasi teknologi AI bantu kesesakan jalan raya
Diterbitkan:  Sep 18, 2024 4:05 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Kerajaan akan mengadaptasi penggunaaan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) dalam menyelesaikan masalah kesesakan lebuh raya, terutama sekali pada waktu cuti persekolahan atau perayaan. 

Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pertambahan kenderaan tidak boleh digunakan sebagai alasan, sebaliknya menggunakan teknologi yang boleh untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Dalam ucapannya dalam Program Highway Concession Conference (HCC) 2024 yang dianjurkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), kecerdasan buatan (AI) dapat membantu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan, seperti pemantauan trafik, penyelenggaraan lebuh raya, sistem bayaran tol yang lebih efisien serta meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya.

Ahmad Maslan berkata pemain industri lebuh raya harus sentiasa mengambil inisiatif untuk memanfaatkan teknologi terkini selaras dengan Revolusi Industri 4.0.

"Salah satu penyelesaian terkini adalah pengenalan lorong pintar atau smart lane di mana kenderaan dibenarkan menggunakan lorong kecemasan. Saya berharap kita dapat meningkatkan jumlah smart lane ini daripada 18 lorong yang ada di seluruh negara sekarang”, kata Ahmad Maslan ketika merasmikan program itu di Johor Bahru. 

Turut hadir ke Program HCC2024 ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Dato’ Seri Azman bin Ibrahim 

Dalam ucapan dasarnya, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Dato’ Seri Azman bin Ibrahim berkata, era globalisasi dan kemajuan teknologi yang pesat, kerajaan terus berusaha memastikan jalan raya dan lebuhraya bertol di negara ini sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

Beliau turut menyeru syarikat konsesi meneroka ruang dan peluang penggunaan teknologi terkini seperti Artificial Intelligence (AI) ini dalam pengurusan trafik dan pemantauan operasi lebuh raya di bawah kawal selia syarikat sendiri. 

Antara aplikasi  inovasi dan teknologi yang digunakan, Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menggunakan teknologi ‘Building Information Modeling’ (BIM) bagi memastikan perancangan, pembinaan, dan pengurusan projek lebuhraya yang kompleks serta penyenggaraan dapat dioptimumkan.

Manakala pengenalan teknologi baru seperti sistem ‘High Speed-Weigh in Motion’ (HSWiM)  bertujuan untuk mengenal pasti pemandu lori yang membawa muatan berlebihan secara masa sebenar dan automatik tanpa memerlukan kenderaan berhenti membantu mengesan kenderaan berat yang melebihi  had muatan justeru membantu mengurangkan risiko kemalangan dan kerosakan jalan.

Pelaksanaan projek perintis HS-WiM telah dilaksanakan di 11 lokasi Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS). 

Pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat dapat dilakukan serta pengenaan cas tambahan bagi kenderaan lebih muatan dapat dilaksanakan pada masa akan datang.

Menurut Dato’ Seri Azman, lebuhraya bertol di Malaysia bersedia untuk menjadi transformatif ke arah infrastruktur yang lebih pintar, lebih mampan dan lebih selamat dengan menyepadukan penyelesaian mobiliti yang lebih luas, dan mengutamakan reka bentuk menumpukan pengguna (user-centric design). 

“Lebuh raya bertol akan datang bukan sahaja akan meningkatkan connectivity dan keselesaan tetapi juga menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar dan daya tahan ekonomi”, tambahnya lagi.

Program Highway Concession Conference (HCC) 2024 yang dianjurkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)  bertempat di Hotel Renaissance, Johor Bahru.

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS