Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
KPM kurangkan kepadatan kurikulum 50 peratus, mudahkan guru dan murid
Diterbitkan:  Sep 11, 2024 12:21 PM
Dikemaskini: 4:21 AM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya mengurangkan kepadatan kurikulum sebanyak 50 peratus sejak Mac lalu dalam memudahkan guru untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Ketua Pengarahnya, Azman Adnan berkata pencapaian ini adalah hasil daripada pengemaskinian standard pembelajaran dan kandungan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

Sebelum ini, media melaporkan KPM memperkenalkan empat langkah bagi menangani isu keciciran pembelajaran menerusi Intervensi Kurikulum Murid Tahap Satu.

Empat langkah berkenaan adalah:

  • Dokumen Penjajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) (Semakan 2017) Edisi 3

  • Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi

  • Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mesra ibu bapa

  • Penataran Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3

Menurut Azman, selari dengan pengurangan kepadatan itu, KPM juga melaksanakan langkah tersebut dengan bahan sokongan yang telah sediakan termasuk modul bimbingan (MOBIM) untuk keempat-empat mata pelajaran.

“Berdasarkan kepada penjajaran kurikulum sedia ada, disokong dengan MOBIM, ianya akan dapat membantu guru-guru kita untuk mempermudahkan proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata, pengurangan kepadatan itu dilakukan KPM susulan kebimbangan yang ditimbulkan ibu bapa mengenai aras kesukaran kurikulum pendidikan negara didakwa tidak signifikan dengan umur anak-anak.

Tambah beliau, antara pengemaskinian yang dilaksanakan KPM termasuk menggabungkan beberapa standard pembelajaran dan standard kandungan dalam kurikulum sedia ada.

“Bila kita gabungkan, ianya dapat mengurangkan kepadatan yang berlaku dalam kurikulum kita.

“Ada juga sesetengah standard pembelajaran dan standard kandungan ini kita bawa ke Tahun Dua.

“Apabila anak-anak kita sudah kompeten melalui kurikulum pada Tahun Satu, kita bawa ke Tahun Dua, itu yang dimaksudkan kita mampu membuat pengurangan sebanyak 50 peratus,” katanya lagi.

122,063 murid Tahun Satu ikuti Program Intervensi Literasi dan Numerasi

Seramai 122,063 murid Tahun Satu di seluruh negara ini dipilih mengikuti Program Intervensi Literasi dan Numerasi bermula bulan lepas, bagi membantu mereka menguasai kemahiran membaca, menulis, dan mengira (3M).

Azman Adnan berkata murid-murid itu disaring oleh guru mereka selepas tiga bulan mengikuti kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) di Tahun Satu, dan dikenal pasti belum mencapai TP1 (Tahap Penguasaan) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik.

Pada Julai 2024, seramai 448,113 orang murid Tahun 1 telah mengikuti saringan pengesanan awal literasi dan numerasi. Dapatan saringan menunjukkan sebanyak 72.76% (326,050 orang) murid Tahun 1 telah menguasai kemahiran asas Bahasa Melayu dan Matematik berbanding 27.24% (122,063 orang) murid belum menguasainya. 

Jumlah 122,063 murid yang mengikuti intervensi ini, terbahagi kepada 3 kategori. Pertama murid yang tidak menguasai Bahasa Melayu seramai 45,465 murid, kedua murid yang tidak menguasai Matematik seramai 13,669 murid dan ketiga murid yang tidak menguasai Bahasa Melayu dan Matematik seramai 62,928 murid.

Azman berkata ketiga-tiga kelompok murid itu akan diberikan intervensi berdasarkan kepada isu tahap penguasaan minimum yang mereka peroleh, dan guru-guru akan melaksanakan program intervensi selama tiga bulan bermula bulan lepas.

"Murid-murid akan dikelompok mengikut kumpulan yang tidak kompeten dan intervensi akan diberi berdasarkan kepada modul kit atau bahan bacaan yang sesuai oleh guru-guru.

"Setelah tiga bulan, penilaian akan dibuat dan bagi murid yang menguasai literasi dan numerasi akan kembali ke kelas arus perdana, manakala yang belum kuasai akan terus diberi intervensi yang sesuai sehingga mereka mencapai tahap penguasaan lebih daripada minimum untuk mereka kembali ke bilik darjah," katanya.

Azman berkata Program Intervensi Literasi dan Numerasi it merupakan salah satu daripada empat inisiatif yang dilaksana Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menambah baik intervensi kurikulum dalam usaha menangani isu keciciran pembelajaran, iaitu di bawah inisiatif pengesanan awal literasi dan numerasi.


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS