Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Nasib veteran ATM terus mendapat perhatian kerajaan
Diterbitkan:  Sep 11, 2024 7:45 PM
Dikemaskini: 11:45 AM

TAWAU: Nasib anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus mendapat perhatian kerajaan menerusi Program Peduli Veteran MADANI (PVM) yang dilaksanakan di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kerajaan sangat menghargai jasa dan pengorbanan semua anggota veteran ATM kepada negara ini.

Katanya, salah satu tanggungjawab Kementerian Pertahanan adalah menjaga kebajikan anggota veteran ATM, balu dan ahli keluarga mereka.

“Pelaksanaan PVM ini merupakan sebahagian usaha pihak Kementerian Pertahanan untuk bertemu semua veteran ATM terutamanya yang uzur dan mengalami sakit kronik.

“Kita turun padang ke rumah veteran ATM untuk melihat sendiri keadaan mereka bagi memastikan setiap bantuan dan skim yang diperkenalkan sampai kepada sasaran atau penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat veteran ATM di Taman Perwira Tawau dalam program PVM di sini, semalam.

Menurutnya, kerajaan juga komited dalam meningkatkan peruntukan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV ATM) dari RM118 juta kepada RM244 juta pada tahun ini.

“Pada tahun ini juga, kerajaan telah meningkatkan peruntukan Bayaran Sara Hidup sebanyak tiga kali ganda iaitu daripada RM54 juta kepada RM174 Juta.

“Sehingga 30 Jun ini, seramai 29,331 veteran ATM telah menerima faedah menerusi peruntukan itu yang melibatkan perbelanjaan hampir RM56 juta,” katanya.

Justeru, Adly berkata, Kementerian Pertahanan mengharapkan dengan peningkatan peruntukan itu dapat mengeluarkan anggota veteran ATM daripada garis kemiskinan tegar.

“Saya juga mengharapkan JHEV ATM dan Kementerian Pertahanan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada anggota veteran ATM di negara ini,” katanya.

Terdahulu, Adly dalam siri lawatannya ke Sabah telah menyantuni seramai 21 veteran ATM di daerah Tawau dan Semporna.

Kementerian Pertahanan telah menyerahkan sumbangan berupa barang keperluan seperti makanan, susu kesihatan dan lampin pakai buang kepada veteran yang uzur.

Selain itu, sebanyak 500 Bakul Rahmah diserahkan kepada persatuan-persatuan veteran setempat untuk diagihkan kepada veteran asnaf.


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS