Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Bakal pesara ATM perlu rebut peluang genggam sekeping diploma
Diterbitkan:  Sep 7, 2024 1:30 PM
Dikemaskini: 5:30 AM

KLUANG - Anggota tentera yang bakal bersara di seluruh negara disarankan memanfaatkan peluang untuk meningkatkan kemahiran dan memperoleh diploma melalui Inisiatif Pendidikan ATM Work-Based Learning (WBL MINDEF).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program itu membolehkan pengalaman kerjaya anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diiktiraf sekali gus memastikan anggota mampu bersaing dalam pasaran pekerjaan selepas tamat perkhidmatan.

Katanya, program dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 sehingga 4,000 anggota tentera, setiap tahun.

“Program ini berasaskan kepada kemahiran kerja anggota kerana sebahagian besar anggota lain-lain pangkat (LLP) belum mempunyai diploma”.

“Kita telah kenal pasti program ini, dan selepas 10, 15, atau 20 tahun berkhidmat, anggota tentera akan menerima sijil diploma tanpa perlu ke universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena program Minggu Bersama Pencarum : Jelajah Selatan 2024, di Kem Mahkota Kluang, di sini, semalam.

Turut hadir dalam program itu, Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Ashraf Radzi dan Pengerusi LTAT, Tan Sri Dato’ Sri Azizan Ariffin TUDM (B).

Dalam pada itu, seramai 1,000 anggota ATM dijangka bakal menerima segulung diploma selewatnya Oktober tahun depan.

Diploma itu bakal diraih menerusi Inisiatif Pendidikan ATM WBL MINDEF dimana mereka akan dinilai melalui beberapa kaedah instrumen selama 6 bulan dan dijangka akan bermula pada Januari tahun depan.

Pegawai Staf 1 Pengajian Tinggi ATM, Leftenan Kolonel Zulkifli Hussen (gambar) berkata, program itu akan meningkatkan nilai kebolehpasaran pesara tentera yang bakal menceburi dunia pekerjaan.

Katanya, ia juga adalah peluang terbaik bakal pesara meningkatkan tahap ekonomi diri dan keluarga tanpa mengharapkan wang pencen semata-mata.

“Menerusi program itu, pengalaman kerjaya anggota akan ditukarkan ke jam kredit akademik.

“Program ini bertujuan meningkatkan kemahiran kognitif, fungsi kerja, personel, etika dan profesional serta menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.

“Pada peringkat permulaan enam program akan ditawarkan oleh WBL MINDEF dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Program yang ditawarkan ialah Diploma Seni Kulinari, Diploma Pengurusan Hotel, Diploma Pengurusan Teknologi Pejabat, Diploma Sains Sukan dan Rekreasi, Diploma Sains Geomatik dan Diploma Pendidikan Islam”.

“Buat permulaan ini kita akan libatkan kira-kira 1,000 anggota dan diharapkan kerjasama berkenaan akan berterusan dari masa ke masa, dengan harapan anggota kita (ATM) akan mempunyai ilmu tambahan atau kemahiran tertentu sebelum mereka bersara,” katanya.

Katanya yang juga wakil Kor Perkhidmatan Am (KPA - Pendidikan), anggota yang layak dalam program itu perlu berkhidmat sekurang-kurangnya selama 10 tahun dan menghabiskan kursus kerjaya dalam Kor atau Tred masing-masing.

“Keutamaan adalah mereka yang bakal menamatkan perkhidmatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (ICEPS), Prof. Dr. Faizah Abd Majid (tengah di dalam gambar) berkata, antara kelebihan program itu adalah anggota ATM berkenaan tidak perlu hadir ke UiTM untuk belajar. 

“Pihak kami akan datang ke kem-kem tentera dan semua program WBL MINDEF ini dinilai dan diakreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UiTM, Mejar Prof. Madya Dr Ariff Md Ab Malik (gambar) berkata, PALAPES akan bertindak sebagai pemudah cara antara universiti dan ATM.

“Ada sebahagiannya atau perkara yang pihak universiti kurang memahami dalam dunia ketenteraan dan kita PALAPES akan jadi pemudah kepada perkara tersebut, termasuklah dalam kerjasama WBL MINDEF @WBA UiTM,” katanya


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS