Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Dulu penasihat sajian, veteran ATM kini usahawan restoran
Diterbitkan:  Sep 6, 2024 8:45 PM
Dikemaskini: 12:45 PM

MERSING - Pengalaman sebagai seorang Penasihat Sajian di Kem Iskandar memberi inspirasi kepada seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membuka sebuah restoran di Kampung Seri Lalang, Mersing.

Hasrin Saidin, 56 berkata sejak membuka Restoran Bayu Corner's pada tahun 2015 itu, dia mengakui pernah berniat untuk tidak meneruskan perniagaan kira-kira setahun selepas pembukaan restoran tersebut.

“Saya memulakan perniagaan pada 2015 selepas bersara daripada ATM pada 2014. Sebelum ini, saya merupakan Penasihat Sajian di Kem Iskandar, dan terus menetap di sini sejurus tamat perkhidmatan.

“Saya berasal dari Perlis dan berbekalkan pengalaman serta simpanan sepanjang berkhidmat dengan modal RM150,000, saya telah membuka restoran di kampung ini.

“Selepas kira-kira setahun menjalankan perniagaan makanan Thailand saya telah berdepan dengan cabaran apabila tukang masak kami telah pulang ke negara asal.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima bantuan chiller daripada Kementerian Pertahanan dalam usaha membantu meningkatkan perniagaannya.

Bantuan tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari yang sedang dalam lawatan kerja di daerah ini menerusi Program Peduli Veteran MADANI (PVM).

Menurutnya, meskipun terdapat lebih 10 restoran yang menjual masakan Thailand di kawasan tersebut, situasi itu memberi semangat kepadanya untuk berusaha lebih keras dan bertahan.

“Pada peringkat awal hanya kawan-kawan dari Kem Iskandar yang menyokong perniagaan saya kerana restoran saya masih belum dikenali seperti restoran lain," katanya.

Dalam sidang media itu, Adly telah menyeru kepada kira-kira 20,000 veteran ATM berpencen serta tidak berpencen untuk berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) agar menerima manfaat dari skim bantuan yang disediakan kerajaan.

Katanya ini bagi memastikan semua skim bantuan JHEV ATM seperti Bantuan Sara Hidup (BSH), bantuan persekolahan, bantuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi, bantuan peralatan pesakit dan bantuan bencana alam dapat disalurkan kepada veteran ATM yang berkelayakan secara teratur serta efektif.

Setakat ini, seramai 213,000 sudah berdaftar dan telah memperoleh manfaat daripada kerajaan.

Menurutnya kebanyakan mereka yang tidak berdaftar juga terdiri daripada veteran berusia muda yang menganggap tiada keperluan untuk melakukan demikian.

"Kebanyakan yang muda-muda ini lepas bersara dia rasa tiada keperluan untuk dia mendaftar. Namun, apabila usia semakin meningkat, keperluan kesihatan dan kebajikan menjadi faktor utama yang mendorong mereka untuk mendaftar.

"Jadi saya harap anggota veteran kita terutamanya kepada balu-balu veteran dan kepada rakyat Malaysia secara umumnya mungkin ahli keluarga, saudara mara dan sebagainya boleh membantu kita untuk mendaftar di JHEV ATM," katanya.

Pada lawatan itu Adly turut menyampaikan bantuan peralatan kepada seorang lagi veteran ATM yang menjalankan perniagaan memproses ayam segar.

Menerusi lawatan itu juga beliau turut menyerahkan sumbangan berupa barang keperluan seperti makanan, susu kesihatan, lampin pakai buang kepada setiap veteran yang diziarahi di sini.

Turut mengiringi beliau Pegawai Staf 1 Sekretariat JHEV; Leftenan Kolonel Nor Azimi Idris, Pengarah JHEV Cawangan Negeri Johor, Mejar Johadi Jemaat dan wakil persatuan veteran ATM daerah ini.

Sementara itu Adly turut berharap program PVM akan menjadi medan yang berkesan untuk interaksi secara dua hala antara Kementerian Pertahanan dan veteran ATM dalam usaha membantu kelestarian kehidupan mereka.

Katanya, program PVM itu melibatkan lima fokus utama iaitu kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan, dan pemerkasaan ekonomi veteran ATM.

“Secara tidak langsung PVM akan dapat mengurangkan jurang kemiskinan dalam kalangan masyarakat melalui program berfokus sejurus memperkasakan sosioekonomi negara.

“Kementerian Pertahanan beriltizam untuk terus komited dalam mempertingkatkan lagi PVM menerusi kerjasama dengan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta agensi-agensi yang berkaitan melalui siri lawatan kebajikan yang akan datang agar tiada veteran ATM yang terpinggir daripada menerima segala manfaat yang disediakan,” katanya.


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS