Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Program Veteran Madani Sri Aman Bukti Veteran ATM Sentiasa Diberi Perhatian
Diterbitkan:  Aug 28, 2024 7:00 AM
Dikemaskini: 11:00 PM

Kuching, 26 Ogos 2024 – Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari menzahirkan penghargaan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Program Peduli Veteran Madani (PVM) peringkat Daerah Sri Aman, Sarawak. Program ini merupakan kunjungan pertama beliau ke Sri Aman bermula 25 hingga 26 Ogos 2024. YB Timbalan Menteri Pertahanan telah memulakan siri jelajah ini dengan menyantuni veteran ATM di daerah Saratok, Engkili, Lubok Antu, Sri Aman, Serian sebelum mengakhiri kunjungan ke Sarawak pada kali ini di Kuching.  

Sepanjang program, YB Adly berpeluang menyantuni 20 orang veteran ATM yang sedang uzur dan sakit kronik serta seorang veteran ATM yang mengusahakan perniagaan kedai makan. Selain bertanya khabar, YB Timbalan Menteri Pertahanan turut berbesar hati menyerahkan sumbangan berupa barang keperluan seperti makanan, susu kesihatan, lampin pakai buang kepada setiap veteran yang diziarahi serta mengagihkan sebanyak 550 Bakul  Rahmah kepada persatuan-persatuan veteran setempat untuk diberikan kepada veteran asnaf. Negeri Sarawak mempunyai seramai 16,939 orang veteran ATM dan 4,964 daripada  jumlah tersebut adalah veteran yang tidak berpencen.

Mendukung Teras ke-6 Dasar Madani iaitu ’Ihsan’, Kerajaan komited  meningkatkan peruntukan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dari RM118 juta kepada RM244 juta pada tahun  2024. Peningkatan yang begitu ketara ini mampu memberi manfaat yang lebih luas kepada veteran ATM. Justeru, veteran ATM disaran untuk mendaftar dan mengemas kini maklumat peribadi dengan JHEV ATM serta persatuan-persatuan di lokaliti masing-masing bagi memastikan semua Skim Bantuan yang disediakan oleh JHEV ATM seperti Bantuan Sara Hidup, Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan ke Institusi  Pengajian Tinggi, Bantuan Peralatan Pesakit dan Bantuan Bencana Alam dapat disalurkan kepada veteran ATM yang berkelayakan secara teratur dan efektif. 

Pada tahun ini, kerajaan juga telah meningkatkan peruntukan Bayaran Sara  Hidup sebanyak tiga kali ganda iaitu daripada RM54 juta kepada RM174 Juta. Sehingga 30 Jun 2024, seramai 29,331 veteran ATM telah menerima faedah ini melibatkan perbelanjaan hampir RM56 juta. 

Inisiatif PVM bertindak sebagai medan untuk interaksi secara dua hala antara  Kementerian Pertahanan dan Veteran ATM melibatkan 5 fokus utama iaitu kebajikan,  kesihatan, perumahan, pendidikan, dan pemerkasaan ekonomi veteran ATM. PVM akan terus menjadi platform Kementerian untuk menyampaikan sumbangan kebajikan dan insentif keusahawanan kepada Veteran ATM yang memerlukan sebagai galakan untuk  memperkasakan sosioekonomi mereka. 

Menyokong inisiatif Pelan Strategik MINDEF 2021-2025: Teras 7 – Transformasi  Kesejahteraan Veteran ATM, Kementerian Pertahanan beriltizam untuk terus komited dalam mempertingkatkan lagi PVM menerusi kerjasama dengan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta agensi-agensi yang berkaitan melalui siri lawatan kebajikan yang akan datang agar tiada Veteran ATM yang terpinggir daripada menerima segala manfaat yang disediakan. 

Program PVM Sri Aman pada kali ini turut diiringi Pegawai Staf 1 Sekretariat JHEV ATM; Leftenan Kolonel Nor Azimi bin Idris, Pengarah JHEV Cawangan Negeri Sarawak; Mejar Steven Anak Kadir serta wakil persatuan-persatuan veteran ATM sekitar Sibu, Sri  Aman dan Kuching. 


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS