Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Melahirkan Patriot Berjiwa Merdeka: Cabaran Dan Harapan Pendidikan
Diterbitkan:  Aug 12, 2024 10:03 AM
Dikemaskini: 2:03 AM

Setelah sekian lama di bawah pemerintahan kolonial British, Malaysia berjaya mencapai kemerdekaannya pada tanggal 31 Ogos 1957. Selain dari menandakan kebebasan dari penjajahan, kemerdekaan ini merupakan titik permulaan perjalanan untuk membina identiti negara yang merdeka dan berdaulat. Salah satu aspek penting dalam proses ini adalah pendidikan, terutamanya pendidikan tinggi, yang berperanan besar dalam membentuk generasi patriotik masa depan negara yang berjiwa merdeka.

Mengimbas semula pendidikan di Malaysia di bawah pentadbiran British sebelum kemerdekaan, polisi British mengamalkan sistem pendidikan di Malaya yang lebih mementingkan pendidikan asas untuk anak-anak tempatan ketika itu. Pendidikan tinggi, terutamanya dalam bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan dan undang-undang terbatas kepada segelintir elit yang mampu melanjutkan pelajaran di luar negara. Universiti Malaya (UM) iaitu universiti pertama di Malaya hanya ditubuhkan pada tahun 1949 hasil penggabungan Kolej Perubatan King Edward VII dan Kolej Raffles. Secara rasminya UM yang sekarang ini ditubuhkan pada 1 Januari 1962. Sebagai universiti tunggal pada waktu tersebut, UM melaksanakan fungsinya dalam menawarkan pendidikan tinggi kepada anak-anak tempatan yang terpilih.

Evolusi Pendidikan Tinggi Pasca-Kemerdekaan

Pasca-kemerdekaan menampakkan perkembangan pendidikan asas dan pendidikan tinggi di Malaysia. Malaysia telah meletakkan pendidikan sebagai salah satu daripada fokus utama dalam usaha kerajaan untuk membangunkan negara setelah mencapai kemerdekaan. Kementerian Pendidikan dipertanggungjawabkan untuk mengembangkan sistem pendidikan negara dan mengawal selia perlaksanaan polisi-polisi pendidikan. Selepas kemerdekaan Malaysia, empat buah Universiti Awam (UA) telah ditubuhkan seiring dengan permintaan dan peningkatan keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi, Jumlah sebanyak lima buah UA ini berlanjutan sehingga tahun 1984 yang mana Universiti Utara Malaysia (UUM) telah ditubuhkan pada 16 Februari 1984. Pengkhususan UUM adalah dalam bidang pengurusan, perniagaan, teknologi maklumat, dan pendidikan sosial. Manakala universiti yang lain meneruskan fokus dan pengkhususan tersendiri bagi menyumbang kepada kepelbagaian pendidikan tinggi di Malaysia dan kepada pembangunan sosio-ekonomi negara.

UPNM memberi tumpuan kepada integrasi pendidikan akademik dengan pembangunan holistik pelajar

Menurut Mej Jen Dato’ Dr. Kwong Fook Wen (Bersara), Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat), UPNM, sehingga kini, terdapat 20 buah UA di bawah KPT termasuk Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang ditubuhkan pada tahun 2006 dengan pengkhususan dalam bidang pertahanan dan keselamatan. Dengan visi untuk menjadi universiti premier dalam bidang pertahanan dan keselamatan, UPNM menekankan kepentingan integrasi antara pendidikan akademik dan pembangunan holistik pelajar serta penekanan kepada 6 atribut leaders of character bagi melahirkan graduan yang seimbang dari segi intelek, jasmani, rohani, dan patriotisme. Misi khusus UPNM adalah untuk menghasilkan graduan yang berkemahiran dalam bidang pertahanan dan keselamatan serta menyumbang kepada kebolehpasaran graduan (GE) UPNM. Mereka perlu cemerlang dalam bidang akademik dan memiliki kualiti kepimpinan serta semangat patriotisme yang tinggi supaya bersedia untuk mempertahankan negara.

Keunikan UPNM berbanding 19 UA yang lain adalah komposisi pelajarnya yang terbahagi kepada 2 kategori iaitu pelajar awam dan pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK). Pegawai kadet ALK adalah seorang anggota tetap Angkatan Tentera yang dilantik sebagai pegawai kadet di bawah Seksyen 10 Akta Angkatan Tentera 1972. Oleh itu, pentadbiran dan pengurusan pegawai-pegawai kadet ALK selepas waktu pengajaran dan pembelajaran kerana pegawai-pegawai kadet mengikuti latihan ketenteraan adalah sepenuhnya dikawal selia dan diuruskan di bawah bidang kuasa ALK yang berada di bawah organisasi Markas Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM), Kementerian Pertahanan (MINDEF). Di bawah Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU), UPNM selaku sebuah UA di bawah KPT berperanan sebagai “academic provider” kepada pegawai kadet ALK, MK ATM mengikut jurusan masing-masing di peringkat Sarjana Muda bagi membolehkan pegawai kadet ditauliahkan sebagai Pegawai Muda ATM.

KPT ditubuhkan pada tahun 2004
Walaupun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah wujud untuk menguruskan aspek pendidikan secara keseluruhan, Kerajaan Malaysia telah menubuhkan KPT pada tahun 2004 sebagai entiti yang berasingan untuk memberi fokus yang lebih khusus dan terarah kepada pembangunan pendidikan tinggi serta menguruskan ianya dengan lebih berkesan. Diperhatikan antara faktor yang mendorong penubuhan KPT ialah peningkatan bilangan institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta di Malaysia dengan ketara sejak kemerdekaan. Ini memerlukan perhatian yang lebih menyeluruh dari segi pengurusan, pentadbiran, kawal selia, akreditasi dan kualiti pendidikan yang ditawarkan. Kewujudan KPT memastikan pengurusan yang lebih khusus dan berkesan bagi UA, kolej universiti, politeknik dan kolej komuniti dapat dilakukan. Ini merangkumi penyelarasan program akademik, pengurusan dana, serta jaringan dengan industri untuk memastikan penghasilan graduan yang relevan dan padan dengan keperluan pasaran kerja.

Selain itu, KPT bantu menjaga kepentingan pendidikan tinggi dalam pembangunan negara. Tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara dilahirkan oleh pendidikan tinggi. KPT memastikan fokus yang lebih terperinci diberikan terhadap perkara-perkara berkaitan pendidikan tinggi seperti penawaran kursus, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi. Penyelidikan dan inovasi ini memerlukan usaha KPT untuk menggalakkan dan menyokong aktiviti penyelidikan di universiti-universiti, termasuk pembiayaan dan kerjasama antarabangsa bagi mencapai kemajuan yang signifikan, terutamanya bidang sains, teknologi, dan inovasi. Yang penting, penubuhan KPT diperlukan untuk peningkatan kualiti dan daya saing global yang mana KPT berperanan memastikan universiti dan institusi pengajian tinggi Malaysia dapat bersaing di peringkat global. Kementerian ini terlibat dalam meningkatkan kedudukan universiti di peringkat global, memperkukuh kualiti pendidikan dan mempromosikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi serantau.

UA di Malaysia perlu memastikan bahawa generasi muda menghargai dan mempertahankan kedaulatan serta keharmonian negara
Dalam melestarikan semangat kemerdekaan dan patriotisme di kalangan pelajar dan rakyat Malaysia, universiti dan institusi pengajian tinggi telah mengambil beberapa inisiatif dan pendekatan bagi memainkan peranan pentingnya. Di antaranya adalah melaksanakan pendidikan sejarah dan kenegaraan melalui kurikulum bersepadu dan kursus patriotism. Komponen wajib dalam program pengajian dimasukkan beberapa mata pelajaran mengenai sejarah Malaysia, perjuangan kemerdekaan dan kenegaraan. Ini dapat memberi pelajar pengetahuan yang mendalam tentang perjuangan mencapai kemerdekaan dan sejarah negara. Kursus Patriotisme pula menekankan kepentingan patriotisme, meliputi pemahaman dan penghargaan nilai-nilai perpaduan dan integrasi kebangsaan, dalam konteks masyarakat Malaysia.

Seterusnya, universiti mengadakan aktiviti kebangsaan dan latihan kepimpinan sebagai program kokurikulum dan aktiviti kampus. Aktiviti kebangsaan merangkumi program dan aktiviti yang menanamkan semangat patriotik, seperti pertandingan bertema kebangsaan, sambutan Hari Kemerdekaan dan kempen kesedaran tentang kemerdekaan serta kepentingan mengekalkan kedaulatan negara. Manakala, latihan kepimpinan dilaksanakan dengan menggalakkan penyertaan pelajar dalam persatuan dan kelab berorientasikan kebangsaan. Ini akan memberikan mereka peluang untuk memimpin aktiviti yang memupuk semangat cintakan negara.

Di samping itu, kajian dalam bidang patriotisme, sejarah kebangsaan, dan isu-isu semasa yang berkaitan dengan pembangunan negara yang dilaksanakan di universiti harus digunakan untuk memperbaiki dasar-dasar pendidikan dan masyarakat. Inovasi sosial yang dijanakan di universiti dalam bidang keselamatan, kebudayaan, dan sosioekonomi juga dapat memperkuatkan identiti kebangsaan. Selain itu, universiti perlu meneruskan usaha memupuk penglibatan masyarakat dan jaringan melalui kerjasama dengan institusi kebangsaan dan program khidmat masyarakat. Kerjasama dengan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan institusi kebangsaan direalisasikan dengan penganjuran program-program yang memupuk semangat kebangsaan, seperti ceramah, forum, dan pameran mengenai sejarah dan kemerdekaan Malaysia. Manakala Program Khidmat Masyarakat dilaksanakan dengan menggalakkan penglibatan pelajar dalam program khidmat masyarakat yang memfokuskan kepada pembangunan komuniti setempat supaya mereka memahami dan menyumbang kepada kesejahteraan negara, seterusnya memperkukuh semangat patriotisme mereka.

Pengalaman pelajar yang diperolehi melalui latihan dan program pertahanan di universiti boleh menyumbang kepada kelestarian kemerdekaan dan semangat patriotisme. Sebagai contohnya, universiti yang mempunyai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (ROTU) boleh terus memupuk semangat kepimpinan, disiplin, dan patriotisme di kalangan pelajar yang terlibat dalam program ini. Walaupun Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) masih belum dilaksanakan semula, universiti boleh merancang program latihan yang serupa di peringkat universiti untuk memperkuatkan semangat patriotik dan disiplin di kalangan pelajar.

Walaupun berbagai inisiatif dan pendekatan dilaksanakan, UA dan IPT di Malaysia menghadapi beberapa cabaran merangkumi aspek sosial, budaya, ekonomi, dan teknologi yang semakin kompleks dalam konteks globalisasi sehingga akan menjejaskan usaha melestarikan kemerdekaan dan semangat patriotisme di kalangan pelajar. Tidak boleh dinafikan, pengaruh globalisasi dan teknologi membawa masuk nilai-nilai dan budaya asing boleh mengakibatkan perubahan nilai dan identiti nasional pelajar. Pendedahan kepada media global, platform digital, dan budaya pop antarabangsa ini boleh menyebabkan penghakisan nilai-nilai kebangsaan dan semangat patriotisme. Walaupun kebebasan maklumat melalui akses yang luas kepada maklumat melalui internet memberikan peluang untuk pembelajaran dan pertukaran idea, ia juga membawa kepada penyebaran maklumat yang tidak tepat atau propaganda yang boleh merosakkan persepsi tentang sejarah dan nilai-nilai kemerdekaan. Untuk menangani cabaran ini, universiti harus menggunakan teknologi untuk menyampaikan kursus sejarah dan kenegaraan melalui platform e-pembelajaran yang menarik dan interaktif. Penggunaan media sosial, aplikasi, dan permainan pendidikan yang efektif dapat memudahkan penyebaran nilai-nilai kebangsaan.

Malaysia sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian etnik yang mana cabaran perpaduan nasional dan integrasi sosial masih wujud. Kesannya adalah terhadap usaha menerapkan semangat kebangsaan dan patriotisme di kalangan pelajar yang datang dari latar belakang etnik dan budaya yang berbeza. Sentimen perkauman dan agama yang dimainkan oleh sesetengah pihak akan mengancam keharmonian antara kaum dan melemahkan usaha untuk melestarikan semangat patriotisme yang inklusif. Universiti perlu meneruskan penganjuraan program-program yang mempromosikan interaksi dan kerjasama antara pelajar dari pelbagai latar belakang etnik dan agama. Aktiviti seperti gotong-royong, festival kebudayaan, dan dialog antara agama dapat membantu mengeratkan hubungan antara kaum. Unversiti juga perlu mengembangkan kurikulum yang mencerminkan kepelbagaian etnik dan budaya Malaysia, dengan penekanan pada bagaimana perpaduan dan keharmonian telah menjadi asas kepada kestabilan negara. Ini boleh meningkatkan kefahaman dan penghargaan terhadap kepelbagaian di kalangan pelajar.

Cabaran perubahan sosial dan generasi perlu ditangani oleh universitiGenerasi muda Z dan Alpha, mempunyai pendekatan dan perspektif yang berbeza terhadap isu-isu kebangsaan. Mereka lebih berorientasikan teknologi, kritikal dan cenderung untuk mempersoalkan autoriti, termasuk naratif sejarah yang diajarkan di sekolah dan universiti. Sering disebut mereka ini juga kurang minat dalam sejarah, budaya dan kenegaraan. Ini mungkin menjadi halangan dalam usaha universiti untuk menanamkan semangat kebangsaan dan patriotisme. Universiti perlu menyesuaikan kandungan pendidikan dengan minat dan gaya pembelajaran generasi muda. Ini termasuk memperkenalkan kaedah pembelajaran yang berpusatkan pelajar (student-centered learning) dan menekankan pemikiran kritikal serta pembelajaran berdasarkan projek yang berkaitan dengan isu-isu kebangsaan. Selain itu, universiti harus menggalakkan pelajar untuk terlibat secara aktif dalam pembangunan dasar universiti dan projek komuniti yang berkaitan dengan kenegaraan. Memberikan pelajar suara dalam isu-isu penting boleh membantu mereka merasa lebih terhubung dan bertanggungjawab terhadap masa depan negara.

Tidak boleh dinafikan cabaran ekonomi dan kesejahteraan pelajar mempunyai impak terhadap universiti. Tekanan ekonomi seperti kos hidup yang meningkat, hutang pelajar, dan ketidaktentuan pasaran kerja boleh mengalihkan perhatian pelajar dari isu-isu kebangsaan kepada keperluan peribadi. Pelajar mungkin lebih fokus kepada keperluan mendapatkan pekerjaan dan kestabilan kewangan daripada memikirkan tanggungjawab kepada negara. Kadar pengangguran di kalangan graduan juga boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan kekecewaan yang boleh menjejaskan semangat patriotisme mereka. Ini berlaku apabila graduan merasakan bahawa sistem pendidikan tidak menjamin masa depan yang cerah. Justeru, universiti perlu mempertimbangkan sokongan kewangan, seperti biasiswa dan bantuan kewangan, serta bimbingan kerjaya untuk membantu pelajar menghadapi tekanan ekonomi. Ini boleh mengurangkan kebimbangan mereka dan memberi mereka lebih ruang untuk fokus kepada pembelajaran dan tanggungjawab sosial. Usaha juga perlu diambil untuk mengintegrasikan latihan kemahiran dan keusahawanan dalam kurikulum untuk membantu pelajar membina masa depan yang lebih stabil. Program ini akan memberi pelajar keyakinan bahawa mereka mampu menyumbang kepada ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat.

Keadaan ekonomi Malaysia yang sangat bergantung kepada kestabilan ekonomi serantau dan global menimbulkan cabaran logistik dan sumber yang dihadapi oleh Universiti. Mengatur aktiviti yang melibatkan ramai pelajar memerlukan sumber yang besar dan pengurusan yang efektif. Keterbatasan sumber kewangan atau logistik menjadi penghalang untuk melaksanakan program-program yang mampu memupuk semangat kebangsaan dengan lebih berkesan. Justeru itu, mungkin terdapat sesetengah universiti yang tidak menyediakan peluang atau program yang cukup berfokuskan kepada pemupukan semangat kebangsaan. Tanpa pendedahan yang cukup melalui aktiviti-aktiviti seperti khidmat masyarakat, latihan ketenteraan, atau dialog kebangsaan, pelajar mungkin kurang berminat atau tidak memahami kepentingan patriotisme.

Malaysia akan sekali lagi menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dengan tujuan memperkukuhkan identiti kebangsaan dan menghargai etnik, budaya dan agama yang berbagai. Persoalannya adalah samada masyarakat dan warga Malaysia memperolehi manfaat dari sambutan tersebut dan dapat meningkatkan jiwa merdeka, semangat kebangsaan dan patriotism melalui aktiviti pelbagai yang dianjurkan.  Pendekatan berstruktur dan menyeluruh oleh Kerajaan adalah langkah terbaik untuk mengukuhkan pengimplementasian pendekatan dan inisiatif yang diambil. Pendekatan yang inklusif, dinamik, dan relevan dengan keadaan semasa adalah kunci untuk memastikan nilai-nilai kebangsaan terus menjadi teras dalam pembentukan identiti generasi muda. Oleh itu, sektor pendidikan perlu diberi tumpuan khas kerana di kalangan generasi muda, negara ini dilihat masih menghadapi cabaran besar dalam mengekalkan semangat kemerdekaan di kalangan generasi muda.

Nyatanya, pengaruh globalisasi, perubahan sosial, dan teknologi yang pesat akan berterusan dan ini boleh menyebabkan generasi muda terpisah dari sejarah dan nilai-nilai yang membentuk negara ini. Oleh itu, pendidikan memainkan peranan penting dalam memastikan bahawa semangat kemerdekaan dan identiti kebangsaan terus dipelihara. Sejak kemerdekaan, pendidikan tinggi di Malaysia telah melalui pelbagai transformasi yang membanggakan. Sekolah, UA dan IPT memainkan peranan penting dalam membentuk generasi yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga bersemangat patriotik dan sedia mempertahankan kemerdekaan negara. Walaupun terdapat pelbagai cabaran, usaha berterusan diperlukan untuk memastikan Malaysia terus maju sebagai sebuah negara yang merdeka, aman, dan makmur. Dengan semangat yang betul dan komitmen sepenuhnya dalam pendidikan, pasti semangat kemerdekaan ini akan terus hidup dalam setiap generasi rakyat Malaysia.


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS