Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Veteran Tentera Nikmati Manfaat PUVET ATM
Diterbitkan:  Jun 23, 2024 11:18 AM
Dikemaskini: 3:18 AM

MUAR - Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) berjaya memberikan manfaat dalam mengembangkan perniagaan usahawan veteran tentera, sejak ia mula dilaksana pada Julai tahun lalu.

Pelbagai inisiatif dilaksana menerusi PUVET ATM untuk manfaat veteran antaranya peruntukan geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) dengan usaha sama Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW).

Veteran turut dibimbing dengan pemadanan perniagaan, akses terus kepada insentif keusahawanan seperti fasiliti, latihan dan konsultansi dalam aspek pembungkusan, penjenamaan dan pemasaran.

Perkara itu diakui seramai 20 usahawan veteran ATM di Johor yang menerima geran berkenaan pada PUVET ATM di Muar, Johor hari ini.

Pada majlis itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menyampaikan geran RM100,000 kepada 20 usahawan berkenaan yang terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan.

Setiap usahawan terbabit menerima geran SPKLB bernilai RM5,000.

Seorang usahawan veteran ATM, Jaffaruddin Suhaili, 50, yang terlibat dalam perniagaan percetakan berterima kasih kepada Kementerian Pertahanan, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan kementerian serta agensi yang terlibat dalam membantu veteran tentera.

Jaffaruddin bersama produk percetakannya di Program PUVET ATM di Muar hari ini.

Menurutnya, geran sokongan itu membantu mengembangkan perniagaannya yang sebelum ini bermula secara kecil-kecilan.

Dengan bantuan geran itu jelasnya, dia mampu membeli beberapa peralatan percetakan yang diperlukan sekali gus meningkatkan lagi keuntungan syarikatnya yang beroperasi di Kluang, Johor sejak hampir dua tahun lalu.

"Sebelum saya menerima geran, saya terpaksa mengeluarkan modal yang agak besar kerana perlu menghantar bahan-bahan percetakan ke kilang untuk diproses dan sebagainya.

"Namun selepas saya menerima geran, saya mampu membeli peralatan yang diperlukan untuk memproses sendiri bahan-bahan percetakan itu.

"Ini sekaligus dapat menjimatkan kos syarikat dan secara tidak langsung saya berjaya meningkatkan keuntungan," katanya ketika ditemui pada program itu hari ini.

Bapa kepada tiga anak itu menamatkan perkhidmatannya sebagai Pegawai Waran 1, Tentera Darat, tiga tahun lalu.

Begitu juga dengan seorang usahawan veteran ATM, Wan Jonudin Wan Abdullah, 57, yang terlibat dengan perniagaan pakaian terpakai atau bundle sejak tujuh tahun lalu.

Wan Jonudin Wan Abdullah

Katanya, geran SPKLB akan dimanfaat sebaiknya untuk meluaskan lagi pasaran produknya yang sehingga kini mempunyai tiga cawangan di sekitar Johor.

"Saya berterima kasihlah kepada Kementerian Pertahanan, PERHEBAT dan KKDW kerana menyalurkan peruntukan geran sebanyak RM5,000 ini kepada saya.

"Insya-Allah saya akan gunakan geran ini untuk membeli keperluan seperti mesin daftar tunai (cash register), kanopi bersaiz 20 x 20 kaki selain membeli lebih banyak bekalan”.

"Dengan pertambahan peralatan dan pakaian bundle ini, ia akan menjana lebih banyak pendapatan saya dalam perniagaan ini," katanya.

Seorang lagi veteran tentera yang menerima manfaat daripada PUVET ATM adalah Md. Shahir Meskon, 53, yang melibatkan diri dalam perniagaan makanan mi siput.

Md. Shahir menunjukkan produk keluarannya Mee Siput Kak Chiq di Program PUVET ATM di Muar, Johor hari ini

Memiliki premis di Tangkak, Johor, Md Shahir bersyukur menerima geran sokongan berkenaan yang banyak membantunya mengembangkan perniagaan yang diusahakannya sejak 2012.

"Geran dan bimbingan ini memberi impak positif kepada perniagaan saya yang sebelum ini berdepan dengan kapasiti pengeluaran yang agak terhad”

"Namun selepas menerima peruntukan geran ini saya mampu meningkatkan pengeluaran produk sehingga 60 kg sehari dan ini dapat menambah pendapatan saya sekeluarga," katanya.

Menerusi bimbingan PUVET ATM juga, dia merancang untuk mempertingkatkan lagi promosi dan pasaran Mee Siput Kak Chiq ke luar negeri Johor.

Bapa kepada empat anak ini memberitahu, mi siputnya juga pernah menerima permintaan sehingga ke Singapura, Brunei dan Ireland.

Sementara itu, Adly ketika ditemui berkata, MINDEF menyasarkan seramai 200 usahawan veteran ATM mendapat manfaat daripada geran SPKLB pada tahun ini.

ADLY Zahari menyampaikan geran SPKLB kepada salah seorang usahawan veteran ATM pada Program PUVET ATM di Muar, Johor hari ini.

"Kita mempunyai lebih 22,000 veteran ATM yang memiliki kerjaya kedua di seluruh negara dan 80 peratus daripada mereka terlibat dalam keusahawanan," jelasnya.

Kementerian Pertahanan tambahnya, kini sedang memberi fokus kepada bidang keusahawanan berasaskan teknologi untuk diceburi oleh golongan veteran ATM.

Dasar Madani, menerusi tonggak ‘kesejahteraan dan insan’, menggariskan peranan Kementerian Pertahanan, ATM bersama PERHEBAT untuk membangunkan satu ekosistem yang menyediakan bakal pesara dan veteran dengan latihan, pendedahan dan kemudahan untuk meningkatkan sosioekonomi mereka.


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS