Kertas Putih Pertahanan (KPP) merupakan dokumen yang menetapkan hala tuju Kerajaan dalam melindungi kepentingan negara dan mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah bagi tempoh 10 tahun yang merangkumi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).
Pembangunan KPP adalah diselaras berdasarkan dokumen payung keselamatan negara iaitu Dasar Keselamatan Negara dan mengiktiraf peranan penting yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai peneraju pertahanan negara serta peranan pihak-pihak berkepentingan mahupun rakyat dalam ekosistem pertahanan negara.
Kajian separuh penggal akan dilaksanakan untuk menilai pencapaian KPP
Menjelang tahun 2025, satu Kajian Separuh Penggal akan dilaksanakan untuk menilai pencapaian pelaksanaan KPP serta membuat penambahbaikan bagi meneruskan pelaksanaan di bawah RMKe-13.
Memastikan Malaysia kekal selamat, berdaulat dan makmur
Kajian Separuh Penggal ini perlu dilaksanakan mengambil kira perkembangan geopolitik yang banyak berubah sejak KPP diluluskan pada tahun 2019 yang memberi kesan kepada Malaysia khususnya dan dunia amnya seperti pandemik COVID-19, perubahan iklim, peperangan Ukraine-Rusia, ketegangan di Selat Taiwan dan perjanjian antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS).
Kajian Separuh Penggal ini akan menggunakan pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat bagi memastikan pandangan dan maklumbalas kesemua pihak-pihak berkepentingan di ambil kira dalam merangka hala tuju pertahanan negara bagi tempoh separuh penggal berikutnya dari tahun 2026 hingga 2030.
Perkembangan isu dan cabaran keselamatan ini memerlukan satu pendekatan yang ditambah baik dalam memastikan Malaysia kekal selamat, berdaulat dan makmur.
Marilah bersama-sama mengambil bahagian dengan memberi pandangan dan cadangan melalui portal https://kspkpp.mod.gov.my/ atau imbas kod QR yang disediakan.
Artikel ini disediakan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.