Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya semakin menyinar di persada antarabangsa
Diterbitkan:  Nov 10, 2023 11:42 AM
Dikemaskini: 3:42 AM

Keindahan Bahasa Melayu bukan setakat bermekar di bumi Malaysia. Keistimewaan dan keunikan bahasa ini kini semakin disanjung masyarakat dunia merentasi benua.  

Kesungguhan warga asing mempelajari dan menguasai Bahasa Melayu begitu memukau pada malam kemuncak pertandingan akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2023 yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Ini menunjukkan bahawa usaha kerajaan kita untuk mendukung Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi di Malaysia kini telah menjangkau dunia luar.

Usaha menjadikan Bahasa Melayu sebagai jalinan ilmu

Sebagai penganjur pertandingan yang berprestij ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berharap usaha ini dapat melahirkan modal insan kelas pertama yang mampu berdaya saing, cekap, tahan lasak dan fleksibel apabila berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam pekerjaan. Selain itu, platform ini berupaya memupuk generasi muda yang mampu berkomunikasi dengan baik, kritis, bernas dan berketerampilan, sama ada di dalam kampus ataupun di mana-mana mereka berada.  

“Kita mahu menjadikan Bahasa Melayu sebagai antara tarikan dan pengisian dalam menjayakan diplomasi pengetahuan. Ini bermakna, dalam membina dan mengukuhkan hubungan antarabangsa yang berasaskan pengetahuan dan ilmu, Bahasa Melayu mesti menjadi sebahagian daripada disiplin yang diketengahkan,” kata Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin ketika merasmikan pertandingan akhir PABM 2023 di USM.

“Bahasa yang santun, yang punya kewibawaan dalam membicarakan ilmu dan menyatukan kepelbagaian, adalah bahasa yang mesti diangkat dengan sinergi dan strategi yang bersifat kukuh dan ampuh. Ia harus menjadi misi bersama yang bersifat nasional dengan sasaran dan capaian global,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled menyatakan bahawa kementeriannya telah bersetuju dengan saranan agar mata pelajaran umum universiti yang diwajibkan kepada pelajar antarabangsa digantikan dengan Kursus Bahasa Melayu Komunikasi mengikut kesesuaian dan program pengajian di sesebuah universiti.

Di bawah Pelan Tindakan Pemerkasaan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi, usaha kementerian turut merangkumi penganugerahan tokoh bahasa, penubuhan kursi-kursi Bahasa Melayu dan kerjasama erat dengan pelbagai institusi yang menawarkan pengajian berkaitan Bahasa Melayu di seluruh dunia.

“Kesemua ini kita ikhtiarkan kerana kita yakin, Bahasa Melayu mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Dan kita mahu lebih ramai lagi yang mendalami Bahasa Melayu sebagai bidang yang penting dan berpotensi,” saran beliau.

PABM menggilap potensi Bahasa Melayu di mata dunia sejak 2007

Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) mula diperkenalkan pada tahun 2007 dengan mempertandingkan tiga kategori, iaitu kategori Alam Melayu, kategori Antarabangsa dan kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia.

Kategori Alam Melayu disertai peserta dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand; kategori Antarabangsa menampilkan peserta dari negara di luar kategori Alam Melayu; kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia terbuka kepada pelajar universiti di Malaysia selain daripada kategori Alam Melayu.

“Matlamat utama pertandingan ini adalah untuk memartabatkan Bahasa Melayu selaku Bahasa Kebangsaan, sekaligus memperkenalkan unsur kebudayaan dan tamadun Melayu kepada masyarakat dunia,” kata Shamil Shazwan bin Abu Bakar, Pengarah Program PABM 2023, merangkap Pengerusi Majlis Yang Dipertua Desasiswa, Universiti Sains Malaysia, selaku tuan rumah pertandingan akhir tersebut.

Sejumlah 80 pemidato dari pelbagai negara telah bertarung melalui tiga fasa saringan sebelum ini, dan hanya sembilan daripada mereka yang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir bagi merebut gelaran juara PABM 2023.

“Peningkatan penyertaan dalam pertandingan pidato Bahasa Melayu ini menunjukkan bahawa bahasa kita telah lama merentasi jajaran global,” tambah Shamil.

Selain sokongan daripada Kementerian Pendidikan Tingggi (KPT), kejayaan PABM 2023 turut disumbang oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), dan Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), masing-masing sebagai rakan kerjasama strategik progam yang berwibawa ini.

Bertemakan “Memartabatkan Citra dan Kedaulatan Bahasa Melayu”, pertandingan akhir pidato ini menampilkan sembilan peserta dari tujuh negara, iaitu Malaysia, Brunei, Uzbekistan, China, Bangladesh, Sudan dan Timor-Leste.

Pelajar Uzbekistan muncul juara kategori Antarabangsa

Persaingan sengit yang melibatkan sembilan pemidato peringkat akhir menyajikan persembahan memikat penonton dengan hujahan pelbagai topik termasuk ketamadunan manusia dan dinamik geopolitik sedunia.    

Dengan pidato bertemakan "Bahasa Menjulang Bangsa", persembahan yang mantap dan mempesona daripada pelajar Uzbekistan, Gulzoda Utkurova, menyaksikan beliau dinobat sebagai juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2023 bagi kategori Antarabangsa.

Pelajar berusia 19 tahun daripada Tashkent State University of Oriental Studies (TSUOS) itu menewaskan naib juara yang juga rakan senegara dan seuniversiti, Sarvinoz Akramova Abdulvohid Qizi, serta pemenang tempat ketiga - Sun Zichang dari China yang menuntut di Beijing Foreign Studies University (BFSU).

Sebagai seorang penuntut jurusan filologi, iaitu cabang ilmu yang mengkaji struktur, perkembangan sejarah dan hubungan sesuatu bahasa dengan bahasa lain, Gulzoda mula berjinak dengan Bahasa Melayu sejak dua tahun lalu menerusi gurunya di Uzbekistan.

“Saya turut belajar melalui Internet dan YouTube selain membaca buku terjemahan,” Gulzoda berkongsi pengalamannya mendalami Bahasa Melayu.

“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak termasuk tenaga pengajar daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris yang membantu saya membuat persediaan selama ini,” kata beliau yang menerima latihan khas dalam talian daripada pasukan sokongannya di Malaysia sejak bulan Ogos.

"Saya sangat suka bahasa Melayu kerana bahasanya indah dengan kosa kata dan tatabahasa yang sangat jelas, malah Bahasa Melayu adalah antara pelbagai bahasa asing yang mudah dipelajari,” kata beliau yang turut fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris, Uzbek dan Rusia.

Kemenangan terbaru Gulzoda memperhebatkan lagi rekod pencapaian pelajar pengajian tinggi Uzbekistan yang muncul sebagai juara tiga kali berturut-turut dalam pertandingan pidato tersebut bagi kategori antarabangsa sejak 2019, 2021 dan pada tahun ini.

Pemidato Timor-Leste ungguli kategori Pelajar Antarabangsa Di Malaysia

Bagi kategori Pelajar Antarabangsa Di Malaysia, pelajar Universiti Malaysia Sabah, Carla Goncalves de Oliveira Sarmento yang berasal dari Timor-Leste muncul sebagai juara.

Dengan pidato bertemakan “Pesan Pusaka Dari Hikayat Nusantara”, Carla, 33, membuktikan kepada kita semua bahawa Bahasa Melayu bukan sekadar sebagai bahasa serantau, malah mampu menyinar di persada dunia dengan kelebihan tersendirinya.  

Pelajar ijazah doktor falsafah dalam jurusan Kimia ini mula mempelajari Bahasa Melayu sejak lima tahun yang lalu dan ini merupakan kali kedua beliau menyertai PABM.

"Kali pertama pada tahun 2021 saya hanya sampai peringkat 10 teratas sahaja,” kata beliau yang menunjukkan peningkatan penguasaan Bahasa Melayu sehingga berjaya merangkul juara impian tersebut.

Carla menewaskan naib juara Abuelgasim Saadeldin Mansour Mohamed dari Sudan yang sedang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan pemenang tempat ketiga Faizal Muhammad dari Bangladesh yang menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pemidato Malaysia takluk kategori Alam Melayu

Bagi Kategori Alam Melayu, pemidato tanah air Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan Undang-undang muncul sebagai juara dengan persembahan “Evolusi dan Rekayasa Bahasa Membina Ketamadunan Bangsa” yang bertenaga dan meyakinkan.

Beliau mengenepikan seorang lagi pemidato Malaysia selaku naib juara - Ivanatasha Abdul Majid dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), dan pemenang tempat ketiga dari Brunei, Abdul Mujib Awang Sh'minan yang mewakili Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

Johan bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 berserta piala pusingan dan piala iringan manakala naib johan menerima RM8,000 dan tempat ketiga RM5,000, serta sijil penghargaan masing-masing.

Sesungguhnya, manifestasi keupayaan peserta dari pelbagai negara khususnya, yang menyertai PABM ini menjadi petanda penting bahawa Bahasa Melayu merupakan bahasa yang mempunyai daya saing di persada antarabangsa.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS