Setiap orang perlu mempunyai matlamat tersendiri dalam merancang kewangan. Dengan keadaan ekonomi tidak menentu dan kos sara hidup yang semakin meningkat, kesedaran menyimpan dan membuat pelaburan yang bijak adalah amat penting.
Peka dengan keperluan dan kehendak pasaran, Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam atau Bank) memperkenalkan Al-Awfar pada tahun 2009 bagi memberi nilai bagi setiap pelaburan yang dibuat pelanggan.
Al-Awfar merupakan satu produk pelaburan inovatif berisiko rendah yang berdasarkan konsep Mudarabah. Dana dalam akaun ini dilaburkan dalam portfolio pembiayaan rumah dan aset tetap sedia ada bagi memastikan pelaburan mampan.
Namun, Al-Awfar bukan satu akaun pelaburan biasa. Ia adalah satu akaun transaksi yang disediakan untuk kegunaan harian. Pelanggan boleh membuat pindahan dan pengeluaran wang daripada akaun mereka pada bila-bila masa, membuat dan menerima pembayaran serta pelbagai transaksi lain. Ia juga dihubungkan dengan Kad Debit-i Bank Islam yang membenarkan pelanggan menyempurnakan transaksi perbankan di terminal perbankan layan diri mahupun pembayaran tanpa sentuh (contactless) yang lebih mudah, segera, selamat dan tanpa perlu mengeluarkan wang tunai fizikal.
Menurut Mizan Masram, Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan – Perbankan Runcit Bank Islam, setelah hampir 14 tahun di pasaran, Al-Awfar menerima sambutan yang amat memberangsangkan dengan merekodkan dana berjumlah lebih RM5 bilion menerusi 1.2 juta akaun.
"Kami bersyukur dan berterima kasih kepada pelanggan yang menyokong dan mempercayai Bank Islam dalam menguruskan kepentingan kewangan mereka menerusi akaun Al-Awfar.
“Bersempena ulang tahun ke-40 Bank Islam, sudah tiba masanya kami mempertingkatkan produk popular ini. Penambahbaikan yang dibuat ini juga sebagai tanda penghargaan kami atas sokongan berterusan pelanggan terhadap Bank Islam dan Al-Awfar selama ini,” katanya selepas Majlis Pelancaran Al-Awfar Baharu dan Penyampaian Hadiah Utama Akaun Al-Awfar baru-baru ini.
Beliau menambah, sambutan yang diterima daripada pelanggan juga menjadi semangat kepada Bank Islam untuk sentiasa berusaha menambah baik dan memastikan produk tersebut kekal relevan serta memenuhi kehendak pasaran.
“Kami amat berbesar hati untuk menguruskan kewangan pelanggan melalui produk ini dan akan sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik atas kepercayaan yang diberikan,” ujar beliau.
Memberi nilai tambah dan elemen keterujaan
Menurut Mizan, versi baharu Al-Awfar bertujuan memberikan nilai tambah dan keterujaan kepada pelanggan.
“Antara pembaharuan adalah struktur hadiah cabutan dan meningkatkan lagi nilai hadiah yang ditawarkan kepada RM18 juta setahun berbanding RM15 juta sebelumnya. Kini juga terdapat 15 kategori cabutan Al-Awfar, seterusnya memberi peluang ganjaran kepada lebih ramai pelanggan,” katanya.
Penambahbaikan Al-Awfar merangkumi tiga kategori cabutan bulanan, tiga kategori cabutan suku tahunan, lima kategori cabutan setengah tahun dan empat kategori cabutan tahunan yang terbuka kepada semua pelanggan baharu dan sedia ada akaun terbabit. Antara hadiah baharu yang disediakan termasuk satu kilogram jongkong emas dan dua buah motorsikal Harley Davidson.
Mizan memberitahu bahawa Bank Islam menyasarkan pertumbuhan saiz dana sebanyak RM1 bilion dan peningkatan 400,000 pelanggan baharu Al-Awfar menjelang akhir tahun ini.
“Sasaran itu akan disokong oleh produk Al-Awfar yang telah ditambah baik dan kempen promosi di jerayawara kami yang akan diadakan di lokasi-lokasi terpilih di seluruh negara,” katanya.
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat mengenai Al-Awfar menerusi jerayawara Bank Islam yang dianjurkan di lokasi-lokasi terpilih di seluruh negara pada tahun ini.
Bagaimana untuk mendaftar?
Pelanggan boleh mendaftar akaun Al-Awfar di cawangan Bank Islam yang berhampiran dengan deposit serendah RM100. Pendaftaran akaun Al-Awfar juga boleh dibuat secara atas talian menerusi pautan https://vao.bankislam.com.my/.
Anda juga berpeluang untuk menjadi jutawan Al-Awfar. Bagaimana? Layari pautan INI untuk maklumat lanjut.