Berbaki dua hari menjelang sambutan Hari Kebangsaan, rata-rata warga Putrajaya nyata teruja melihat persiapan raptai sambutannya di Dataran Putrajaya.
Bertemakan Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, 9 komponen kontinjen dengan keseluruhan penglibatan 67 kontinjen akan menyertai acara perbarisan dan perarakan pada 31 Ogos iaitu Kenegaraan; Perpaduan Malaysia MADANI; Ekonomi; Perbankan; Telekomunikasi; Industri Kreatif dan Penyiaran; Sukan Negara; Kesejahteraan dan Keselamatan Negara.
GLC pemangkin ekonomi negara
Untuk kontinjen ekonomi pelbagai pemain industri seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) turut menyertai acara raptai perbarisan.
Antara gabungan GLC yang menyertai perarakan ini ialah Malaysia Aviation Group (MAG), UEM Group, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Sime Darby Plantation Berhad, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), YTL Group dan Persatuan Syarikat Penghantaran Ekspress Malaysia (AMEC).
Bagi Malaysia, konsep GLC dan GLIC adalah penting bagi memastikan pembangunan ekonomi dapat dilaksanakan dengan teratur.
Acara-acara sempena Hari Kebangsaan untuk orang ramai
Orang ramai akan berpeluang untuk menyaksikan persembahan khas Malaysia MADANI yang menampilkan artis terkenal tempatan dan persembahan gendang khas MADANI.
Acara menarik lain adalah aksi terjunan tepat oleh VAT 69 dari Polis Diraja Malaysia (PDRM); perarakan cosplay dan pelbagai maskot watak terkenal; perarakan 30 kereta vintaj yang membawa 30 orang terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia; dan perarakan 30 ekor kuda dari Unit Berkuda PDRM.
Orang ramai juga boleh menjangkakan persembahan udara yang menakjubkan menggunakan helikopter pasukan keselamatan selain aksi akrobatik 15 motosikal antik 'Wira Merah' oleh pasukan Angkatan Tentera Malaysia.
Lebih 100,000 pengunjung dijangka hadir untuk memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan pada kali ini di Putrajaya dan semua dinasihatkan agar menggunakan pengangkutan awam Mass Rapid Transit dan Ekspres Rail Link (ERL) untuk hadir ke sambutan.
Sambutan ini ialah kali kelima Putrajaya dipilih sebagai lokasi penganjuran selepas kali pertama pada 2003, disusuli 2005, 2018 dan 2019.