Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
5 pencapaian utama Kerajaan Perpaduan dalam tempoh 7 bulan lebih
Diterbitkan:  Aug 4, 2023 2:12 PM
Dikemaskini: 7:08 AM

Menjamin kebajikan rakyat dan memelihara keutuhan ekonomi merupakan dua agenda utama Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim selama tempoh tujuh bulan ini.

Malaysia kini berada di kedudukan yang lebih baik sepanjang pentadbiran Kerajaan Perpaduan dari segi kesejahteraan sosioekonomi rakyat dan daya saing negara di pentas antarabangsa.

Golongan B40 dan miskin tegar adalah antara penerima manfaat utama menerusi pelbagai inisiatif yang bertujuan mengurangkan beban hidup rakyat serta memperkasakan ekonomi negara.

Terdapat lima pencapaian utama Kerajaan Perpaduan yang menjurus kepada pentadbiran negara ke arah yang lebih baik seperti menangani isu kos sara hidup dan rasuah, menjana pembangunan ekonomi yang dinamik serta reformasi parlimen.  

1. PELABURAN TESLA DI MALAYSIA

Keputusan Tesla untuk bertapak di Malaysia akan membuka satu lembaran baharu kepada ekonomi Malaysia apabila negara kita menjadi hab kenderaan elektrik (EV) serantau satu hari nanti.

Pelaburan Tesla merupakan satu pemacu perubahan yang sangat diperlukan dalam proses reformasi ekonomi untuk membimbing negara ke arah pembangunan yang berdaya cipta dengan penghasilan produk berteknologi tinggi, sekaligus meningkatkan rantaian nilai ekonomi kita selain mewujudkan landskap ekonomi berpendapatan tinggi.

Kedatangan Tesla merupakan satu ‘gamechanger’ yang akan memperkasakan ekosistem kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, termasuk pusat jualan dan servis, rangkaian pengecas Supercharger, di samping mempergiatkan lagi sektor elektrik dan elektronik (E&E), iaitu satu lagi kelebihan yang dimiliki Malaysia.

Selain mencipta peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi, penubuhan Tesla di Malaysia bakal merangsang sektor Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bagi pelbagai industri yang berkaitan seperti kejuruteraan perisian, bateri dan teknologi hijau; pembuatan alat ganti dan penggunaan sumber tempatan serta perancangan mesra alam sekitar.   

2. INDEKS PERSEPSI RASUAH BERTAMBAH BAIK

Malaysia berada di kedudukan ke-61 daripada keseluruhan 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 yang diterbitkan oleh Transparency International (TI).

Kedudukan ini adalah lebih baik berbanding tangga ke-62 pada tahun 2021. Malaysia menduduki tangga kedua terbaik antara negara Asia Tenggara selepas Singapura.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, Kerajaan Perpaduan tetap komited untuk menghapuskan budaya rasuah agar sumber negara dapat diagihkan dengan lebih cekap. Kerajaan juga tidak akan bertolak ansur dengan sebarang penyelewengan kuasa yang membabitkan penjawat awam.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tata kelola pentadbiran kerajaan yang berintegriti akan sentiasa dikemaskini dan perlu diikuti sepanjang masa.

3. PERTUMBUHAN EKONOMI YANG LEBIH BAIK

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.6% pada suku pertama 2023 berbanding 4.8% bagi suku pertama 2022, menurut Kad Laporan Tujuh Bulan Kerajaan Perpaduan (Siri Dua).

Pertumbuhan ekonomi Malaysia juga lebih baik berbanding negara serantau seperti Indonesia (5%) dan Vietnam (3.3%), serta China (4.5%).

Jumlah pelaburan domestik dan asing di Malaysia meningkat kepada RM71.4 bilion bagi suku pertama 2023 berbanding RM44.7 bilion bagi suku pertama 2022, menurut laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Pelaburan yang diluluskan oleh MIDA melibatkan 1,265 projek yang dijangka akan menjana 23,977 peluang pekerjaan baharu. Pelabur asing utama adalah Singapura (RM11.5 bilion), British Virgin Islands (RM7.1 bilion), China (RM6.5 bilion), Hong Kong (RM2.9 bilion) dan Korea Selatan (RM2.5 bilion).

Pelaburan asing menyumbang RM37.5 bilion, mewakili 52.5% daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, manakala pelaburan domestik menyumbang RM33.9 bilion (47.5%).   

Kerajaan yakin dapat mencapai unjuran pertumbuhan sebanyak 4 hingga 5% bagi tahun 2023 yang didorong oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan pelaksanaan inisiatif Belanjawan 2023.

4. INISIATIF ‘RAHMAH’ RINGANKAN BEBAN KOS SARA HIDUP

Pelbagai pakej ‘Rahmah’ telah dilaksanakan di bawah Payung Rahmah untuk meringankan beban kos hidup rakyat semenjak tertubuhnya Kerajaan Perpaduan.

Menu Rahmah, Bakul Rahmah, Jualan Rahmah adalah antara tiga pakej yang mendapat sambutan hangat individu kurang berkemampuan termasuk B40 dan miskin tegar.

Menu Rahmah merupakan inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup (KPDN) dengan penyertaan pengusaha kedai makanan (bermasak) dan Persatuan Pengusaha Restoran dan Gerai Makanan yang menawarkan set makanan dengan harga tidak melebihi RM5.00 setiap satu, untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah.   

Bakul Rahmah menyediakan barangan asas atau baucar bernilai RM100 untuk keluarga miskin tegar. Bantuan ini diberikan setiap bulan untuk tempoh enam bulan untuk memastikan kebajikan golongan sasar sentiasa terpelihara.

Jualan Rahmah adalah satu lagi inisiatif di bawah Payung Rahmah yang diperkenalkan kerajaan melalui Belanjawan 2023 dengan peruntukan RM100 juta untuk melaksanakan program ini di seluruh negara.

Selain promosi di premis niaga, KPDN juga akan menganjurkan 6,400 Jualan Rahmah Bergerak di seluruh negara sepanjang tahun ini dengan potongan harga sehingga 30 peratus.

5. REFORMASI PARLIMEN MALAYSIA

Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) telah diperkenalkan di Dewan Rakyat untuk membolehkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menjawab persoalan yang ditujukan kepada beliau dalam ruang waktu yang diperuntukkan.

Sesi khas julung kali yang akan diadakan pada setiap hari Selasa ini adalah antara pembaharuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan semenjak mengambil alih tampuk kepimpinan negara.

Dengan adanya sesi ini, mesej penting kepada orang ramai ialah bahawa kerajaan dan Perdana Menteri bersedia untuk dipertanggungjawabkan sebagai Wakil Rakyat terutamanya bagi isu berkaitan penggubalan dasar.

Pembaharuan parlimen lain termasuk memperkenalkan Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada setiap hari Khamis; mengenakan tindakan lebih tegas terhadap wakil rakyat yang mengeluarkan perkataan berbaur perkauman, menghina dan diskriminasi jantina; dan membahas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di dewan rakyat.

Tekad selesaikan masalah rakyat

Walaupun Kerajaan Perpaduan masih baharu, namun kesungguhan kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat tidak boleh dinafikan.

Setakat ini sekurang-kurangnya 19 inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat terutamanya dari segi mengurangkan beban hidup rakyat.

Selain membawa masuk pelaburan Tesla, kejayaan Payung Rahmah merupakan pembakar semangat untuk Kerajaan Perpaduan bekerja lebih keras untuk melaksanakan program berimpak tinggi demi rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS