Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Kerajaan ambil inisiatif kurangkan beban kewangan anak muda sambil tingkatkan kebolehpasaran mereka
Diterbitkan:  Aug 1, 2023 3:16 PM
Dikemaskini: 7:16 AM

Golongan muda merupakan aset yang sangat penting kepada negara kerana mereka merupakan tenaga yang bakal menerajui pembangunan negara pada masa hadapan.

Sebagai generasi yang akan mencorak hala tuju negara, mereka memerlukan sokongan dan bimbingan bermula dari usia muda.

Anak muda memikul tanggungjawab sebagai tulang belakang negara dan menjadi harapan kita semua untuk sama-sama menyumbang kepada kemakmuran soioekonomi negara.

Cabaran beban kewangan orang muda

Namun golongan muda bukan sahaja menghadapi cabaran kebolehpasaran, mereka turut tertekan akibat kos hidup yang semakin meningkat kerana ia menjejaskan kelangsungan hidup harian mereka.

Memahami situasi ini, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memelihara kesejahteraan generasi muda yang terdiri daripada pelajar, graduan dan pemuda yang lain.

Bantuan eBeliaRahmah tangani kos hidup yang meningkat

Melalui eBeliaRahmah di bawah Belanjawan 2023, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM400 juta yang disalurkan secara e-Tunai bernilai RM200 seorang kepada belia yang layak melalui platform Touch 'n Go, Boost dan Setel.

Bantuan e-BeliaRahmah bukan sahaja untuk dua juta lebih belia yang berusia antara 18 hingga 20 tahun, malah akan memanfaatkan semua mahasiswa berkelayakan yang tidak tergolong dalam kumpulan usia tersebut.

“Bila saya dapat duit eBeliaRahmah, saya gunakannya untuk keperluan harian seperti membeli sabun, pencuci baju dan sebagainya,” Nur Huda, pelajar institusi tinggi tempatan.

Pandangan Nur Huda turut mendampingi jiwa seorang lagi pelajar, iaitu Nasrullah.

“Sumbangan ini sangat membantu golongan pelajar kerana dengan adanya bantuan ini, kami boleh lebih memfokus kepada pembelajaran kami,” katanya.

Pas MyRailLife KTM untuk ringankan kos pengangkutan

Bantuan untuk mengurangkan beban kewangan anak muda turut meliputi golongan di bawah usia 18 tahun, selain Orang Kurang Upaya (OKU).

Inisiatif ini dilaksanakan melalui Pas MyRailLife KTM, iaitu pas perjalanan percuma untuk pelajar sekolah Tahun 1 sehingga Tingkatan 6, serta golongan OKU, bagi perkhidmatan Shuttle Timuran (DMU) sektor Gemas – Tumpat, dan perkhidmatan KTM Komuter sektor Lembah Klang dan Utara.

“Saya memang telah momohon pas perjalanan percuma ini untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja. Kemudahan ini cukup memudahkan perjalanan harian saya,” kata Zul, pekerja swasta yang tergolong sebagai OKU.

“Sekiranya saya tidak memohon, maka terpaksalah saya habiskan wang sebanyak RM200 mahupun RM300 sebulan untuk tujuan berulang-alik ini,” sambungnya.

Pas MyRailLife KTM membolehkan pelajar sekolah dan golongan OKU menggunakan pengangkutan awam dengan percuma selama setahun.

Cabaran meningkatkan kemahiran teknikal

Sementara itu, golongan muda turut menghadapi cabaran melengkapkan diri dengan kemahiran profesional terutamanya bagi pekerja sektor tidak formal, termasuk pekerja ‘gig’ (misalnya ‘freelancer’) dengan kelayakan SPM dan ke bawah.

Sebagai usaha membantu golongan tersebut, kerajaan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), menyediakan Program Bina Kerjaya dengan peruntukan RM42 juta bagi tujuan peningkatan kemahiran (upskilling) yang membolehkan mereka memperkasakan diri dengan ‘micro-credentials’ (kemahiran khas kursus pendek) bagi bidang pilihan mereka.  

Matlamat utamanya adalah untuk membantu pekerja sektor tidak formal memperoleh pekerjaan formal dengan kelayakan micro-credentials daripada institut pengajian tinggi awam dan swasta, yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan badan ikhtisas yang lain.

Pengikut kursus dapat menikmati tanggungan yuran latihan sehingga RM4,000 dan elaun RM300 sebulan bagi tempoh maksimum tiga bulan.

“Usaha kerajaan ini sangat bagus sebab bukan setakat dapat elaun, yang pentingnya saya boleh belajar dan menimba ilmu dengan lebih mendalam,” kata Fazli, pekerja P-Hailing.

Pengalaman yang sama turut dikongsi Irfan, seorang lagi pekerja P-Hailing.

“Kadang kala ada yang tidak mampu sambung belajar dan terus bekerja. Bagi saya, ini merupakan satu cadangan yang baik bagi mereka yang minat sambung belajar untuk masuk industri pilihan mereka. Ia juga memberi galakan belajar dahulu sebelum masuk kerja,” ujarnya.

Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) untuk pekerja P-Hailing

Satu lagi inisiatif untuk membantu pemuda adalah Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) daripada Kerajaan Negeri Selangor.

Inisiatif tersebut disalurkan dalam bentuk bantuan kewangan dan sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pemohon yang layak, iaitu individu yang bekerja sepenuh masa dalam industri P-Hailing (misalnya penghantar makanan).

Peruntukan sebanyak RM2 juta ini dijangka akan memanfaatkan lebih 3,000 pekerja P-Hailing dengan sumbangan RM500 serta caruman KWSP bernilai RM50 setiap seorang.

“Sebagai seorang penerima bantuan RiDE, sumbangan ini sangat membantu terutamanya untuk penghantar makanan P-Hailing seperti kami yang berhadapan dengan pendapatan semakin berkurangan akibat bilangan pekerja dalam bidang ini yang semakin bertambah,” kata Fazli, pekerja P-Hailing.

Inisiatif tingkat kesejahteraan rakyat perlu diteruskan

Keprihatinan kerajaan untuk meringankan beban kewangan orang muda di samping meningkatkan kebolehpasaran mereka disambut baik oleh penerima manfaat daripada latar belakang berlainan.

“Semoga mereka mendapat rezeki dari segi pembelajaran kemahiran sambil menikmati bantuan untuk meringankan beban kewangan. Saya harap usaha ini dapat diteruskan,” kata Zul, pekerja swasta.

Bagi Nasrullah, pelajar institusi tinggi tempatan, kepimpinan negara yang berjiwakan rakyat merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu didukung sepanjang masa.

“Saya harap kerajaan Pakatan Harapan sekarang boleh banyakkan lagi bantuan sebegini terutamanya untuk mereka yang tidak berkemampuan,” katanya.

Sependat dengan Nasrullah ialah Irfan, pekerja P-Hailing.

“Saya harap kerajaan boleh teruskan bantuan sebegini untuk membantu lebih ramai penghantar makanan P-Hailing,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS