Sejak kebelakangan ini, isu kenaikan kos pengeluaran dan harga barangan asas, serta impaknya ke atas kadar inflasi telah menjadi fokus rakyat.
Membeli barang dengan harga mampu milik merupakan harapan rakyat sepanjang masa. Bagi golongan yang kurang berkemampuan terutamanya B40 dan miskin tegar, kenaikan harga barang bermakna berat lagi beban yang ditanggung mereka.
'Payung Rahmah'
Untuk menangani masalah ini, program 'Payung Rahmah' diperkenalkan dalam Belanjawan 2023 dan telah digerakkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejak enam bulan lalu.
Elemen utama 'Payung Rahmah':
Membantu rakyat memenuhi keperluan asas
Makanan merupakan keperluan asas yang paling utama demi kelangsungan hidup. Sama ada kaya atau miskin, kemampuan membeli makanan akan mempengaruhi kesejahteraan setiap keluarga, lebih-lebih lagi bagi mereka yang terpaksa bertungkus lumus mencari sesuap nasi.
Tanggungan perbelanjaan makanan harian yang semakin meningkat akibat tekanan inflasi merupakan beban yang merisaukan kebanyakan orang terutamanya golongan B40 dan miskin tegar.
Kenaikan harga barang akibat faktor berangkai daripada fasa pandemik Covid-19 berpanjangan yang mengganggu bekalan barang, perubahan iklim yang menjejaskan pengeluaran makanan dan ketegangan geopolitik berterusan yang menyebabkan bekalan bahan mentah tergendala memudaratkan lagi kelangsungan hidup rakyat. Selain makanan, barang dan perkhidmatan keperluan harian seperti pakaian, penjagaan kesihatan dan pengangkutan juga meruntun kesejahteraan rakyat.
Inisiatif Menu Rahmah telah diperkenalkan tepat pada masanya, iaitu ketika rakyat menghadapi tekanan inflasi ‘Makanan di Luar Rumah’ yang menunjukkan trend peningkatan sejak November 2021.
Menu Rahmah adalah makanan tengah hari atau malam yang seimbang merangkumi nasi putih, satu pilihan protein seperti ayam atau ikan, dan sayur yang ditawarkan pada harga RM5 sepinggan. Pengenalan inisiatif Menu RAHMAH ini adalah bertepatan dengan mengambil kira kelas perbelanjaan ‘Nasi Putih Bersama Lauk’ (wajaran 2.0%) yang merupakan menu pilihan utama rakyat bagi kategori ‘Makanan di Luar Rumah’ (wajaran 11.5%).
Set makanan Menu RAHMAH kini juga telah berkembang apabila lebih banyak rangkaian restoran makanan segera yang popular turut menyahut seruan dan saling membantu menjayakan inisiatif murni ini termasuklah McDonald’s, KFC, Pizza Hut, OLDTOWN White Coffee, Marrybrown, Burger King, dan banyak lagi.
Menu Rahmah dapat sambutan hangat
Antara empat pakej yang terangkum dalam 'Payung Rahmah' - iaitu Bakul Rahmah, Menu Rahmah / Kafe Rahmah, Jualan Murah Rahmah dan Barangan Rahmah - Menu Rahmah mendapat sambutan yang paling ketara.
"Menu Rahmah memang OK. Makanan OK, tak ada masalah," kata pereka grafik, Mohd. Alif bin Mohd. Saidi, 36, yang biasa melanggani Menu Rahmah.
"Teruskan usaha ini. Mana yang baik kita teruskan… Benda ini baiklah. Ia tidak kira apa bangsa pun dan dapat memupuk perpaduan Malaysia. Ini adalah kerana orang yang susah itu termasuk juga bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain," sambung Alif.
Inisiatif yang menepati kehendak rakyat
Pandangan Alif disokong Banumathi Mariappan, seorang pelukis inai yang berniaga sendiri.
"Di Malaysia ini masih ramai lagi yang hidup susah. Bagi orang susah, nak dapat sesuap makan itu pun perkara yang susah. Lebih-lebih lagi ketika semua harga barang meningkat. Jadi, Menu Rahmah merupakan satu inisiatif yang tepat masanya," katanya.
"Harga makanan sekarang dah tinggi berbanding sebelum ini. Perbezaan sebelum dan selepas pandemik cukup jelas, maka usaha kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat amat diperlukan," tambah beliau.
Keprihatinan terhadap golongan pesara
Menu Rahmah yang mendapat sambutan hangat sejak pelancarannya awal tahun ini turut memanfaatkan golongan pesara yang terjejas akibat kenaikan harga barang keperluan asas.
"Saya berpeluang mencuba Menu Rahmah di tempat rehat R&R Ipoh. Set dua roti besar Benggali, lima ringgit, murah, best!" kata Balu, 64, berkongsi pengalamannya.
"Kalau ada peluang di mana-mana pun, saya akan cari kedai yang menawarkan Menu Rahmah. Lima ringgit, dapat isi perut, itu dah sangat bagus," katanya
Balu menekankan bahawa harga rendah tersebut sesungguhnya dapat membawa kelegaan dalam kalangan pesara yang rata-rata tiada sumber pendapatan lain.
"Bagi pesara seperti saya, nak cari kerja pun tak boleh, jadi saya terpaksa hidup dengan pencen yang terhad ini," tambah beliau.
Merangkumi kesejahteraan setiap lapisan masyarakat
Walaupun pada asasnya program 'Payung Rahmah' memberi fokus pada golongan B40 dan miskin tegar, namun keterangkuman kebajikan program ini sebenarnya meliputi sesiapa juga.
"Program 'Payung Rahmah' ini semakin lama semakin berkembang. Kita sebenarnya buka program ini untuk semua. Contohnya Menu Rahmah ini semua orang boleh beli. Jualan Rahmah pun begitu. Kemudian kita wujudkan Bakul Rahmah," ujar Shahrizan Razali, Ketua Penolong Pengarah Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan, KPDN.
"Walau apapun cara penerimaannya bagi orang awam, yang pentingnya, selagi ia membawa makna kepada yang memerlukan, pihak kami tiada masalah untuk membantu," tegas beliau.
Pengusaha industri disaran berganding bahu dengan kerajaan
Bagi menjayakan inisiatif Jualan Rahmah dan Bakul Rahmah, penyertaan aktif pengusaha industri amat dialu-alukan.
"KPDN menggalakkan penyertaan lebih ramai lagi pengusaha industri khususnya pasar raya hiper dan pasar raya, supaya dapat sama-sama berganding bahu dengan kerajaan untuk menjayakan aspirasi ini," gesa Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Maklumat lanjut mengenai program 'Payung Rahmah' boleh didapati di http://belanjawan.mof.gov.my/manfaat