Sempena bulan Ramadan, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia telah menganjurkan Majlis Iftar bersama lebih 100 anak yatim di Masjid Al-Qurtubi, Taman Sri Segambut, Kuala Lumpur.
Sumbangan wang tunai bernilai RM5,000 diberikan kepada tiga rumah kebajikan
Majlis yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ini turut menyaksikan penyampaian sumbangan wang tunai kepada tiga rumah kebajikan anak yatim terpilih di Lembah Klang iaitu
Pertubuhan Nur Kasih Bestari
Rumah Permata Hatiku, dan
Rumah Anak Yatim Al-Sagoff
Setiap rumah kebajikan anak yatim menerima sumbangan wang tunai bernilai RM5,000 bagi meringankan beban pengurusan terutamanya bagi tujuan persiapan menjelang Aidilfitri.
Menurut Mohd Nasri Nordin, Pengurus Besar RMHC Malaysia, majlis tahunan ini diadakan untuk meraikan golongan yang kurang bernasib baik. Jelas beliau, majlis-majlis santuni dan sumbangan kepada kanak-kanak ini adalah salah satu hasil sumbangan pelanggan McDonald’s di seluruh negara.
“Setiap kali anda berkunjung ke McDonald’s, mesti anda dapat lihat kelibat sebuah tabung merah di sebelah kaunter pembayaran. Melalui tabung inilah, RMHC Malaysia bantu kanak-kanak yang memerlukan dan juga digunakan untuk membuat program seperti ini,” kata beliau.
Dato' Azmir Jaafar, Presiden RMHC Malaysia merangkap Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald's Malaysia berkata pihaknya sentiasa komited untuk menjalankan dan menyokong pelbagai inisiatif demi kesejahteraan kanak-kanak yang memerlukan di negara ini.
“Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, meraikan anak yatim dengan majlis berbuka puasa dan sumbangan untuk persiapan Aidilfitri sudah menjadi tradisi kami daripada tahun ke tahun. Ini juga cara kami meluaskan capaian kami dalam mendekati lebih ramai kanak-kanak yang memerlukan dan pihak yang turut mempunyai komitmen yang serupa dengan kami melibatkan kesejahteraan kanak-kanak,” kata beliau.
Duit Raya untuk anak yatim
Dalam majlis sama, McDonald's Malaysia turut memberikan duit raya kepada anak-anak yatim berjumlah RM100 setiap seorang daripada dana wakalah zakat MAIWP.
"Kedatangan Ramadan amat ditunggu-tunggu untuk kita semua memperbanyakkan amal jariah dan sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Besar harapan kami agar majlis berbuka puasa hari ini dan sumbangan yang disampaikan kepada anak-anak yatim yang hadir memberi keceriaan kepada mereka," tambah Dato' Azmir Jaafar lagi.
RMHC Malaysia merupakan organisasi bukan berasaskan keuntungan yang menumpukan segenap usahanya kearah kesejahteraan kanak-kanak yang kurang bernasib baik di Malaysia. Sebagai badan kebajikan pilihan McDonald's Malaysia, sejumlah besar dana RMHC Malaysia datang daripada McDonald's Malaysia.
RMHC Malaysia turut menerima dana daripada syarikat-syarikat korporat dan individu-individu prihatin bagi pelaksanaan program-program utamanya yang berteraskan Kebaikan, Kesihatan dan Pendidikan.