Air merupakan keperluan yang amat penting dalam kehidupan kita. Sesungguhnya semua hidupan sama ada manusia, haiwan atau tumbuhan tidak dapat hidup tanpa air.
Walaupun air adalah keperluan yang asas, kebanyakan orang mengambil mudah tentang penggunaannya apatah lagi ia senang didapati dengan hanya membuka paip. Ini telah mengakibatkan isu pembaziran air menjadi semakin berleluasa.
Isu berhubung penggunaan air secara berlebihan oleh rakyat negara ini bukanlah perkara baharu malah sering dikaitkan dengan sikap masyarakat sendiri.
Dikatakan penggunaan air yang banyak ketika di rumah adalah sewaktu pengguna berada di dalam tandas.
Menurut laporan Lembaga Urus Air Selangor, walaupun telah direkodkan bahawa bekalan air mentah dapat bertahan sehingga tahun 2065, ia tidak menjamin kelangsungan bekalan air bersih apatah lagi dengan sikap dan tabiat penggunaan air yang tidak berhemat seperti yang berlaku sekarang ini.
Walaupun pihak kerajaan, swasta mahupun badan bukan kerajaan telah banyak melakukan pelbagai kempen kesedaran tetapi, apa yang pasti ia masih belum cukup meninggalkan kesan apatah lagi memberi kesedaran kepada masyarakat.
Sikap Yang Sudah Terbiasa

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) tahun 2021, rakyat Malaysia menggunakan purata 251 liter air setiap orang sehari bersamaan dengan 167 botol (kapasiti 1.5 liter setiap satu).
Ini bermakna purata penggunaan air per kapita harian oleh rakyat Malaysia lebih tinggi daripada yang disarankan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
PBB telah menetapkan keperluan air sebanyak 165 liter seorang pada setiap hari. Sebagai rujukan perbandingan, purata penggunaan air seorang sehari di Singapura adalah 158 liter, dan 152 liter di United Kingdom.
Sudah sampai masanya masyarakat diberikan lebih kesedaran dan mengetahui kepentingan sumber air dan kesan negatif jika kita terus membazir dan mencemarkan sumber terhad yang sedia ada.
Ini sekiranya hasrat kerajaan untuk mengurangkan penggunaan air hingga 160 liter air setiap orang sehari pada tahun 2030 hendak dicapai.
Sikap Punca Utama

Ramai yang beranggapan sumber semula jadi ini sesuatu yang biasa dan menganggap bekalan air bersih adalah mudah didapati dan murah.
Namun realiti adalah sebaliknya. Bila kita bercakap tentang air yang bersih, ia sebenarnya berbalik kepada sikap rakyat sendiri.
Lihat sahaja pencemaran di sungai-sungai sekitar negeri Selangor. Loji Rawatan Air (LRA) Langat dan LRA Semenyih sudah beberapa kali ditutup akibat pencemaran bau yang berlaku di Sungai Semantan dan Sungai Semenyih.
Dalangnya tidak lain tidak bukan adalah masyarakat itu sendiri secara amnya dan pihak industri perkilangan secara khasnya yang sesuka hati membuang sisa sampah dan minyak ke sungai-sungai ini dengan sewenang-wenangnya.
Perlu diingatkan bahawa sampah-sampah yang dibuang ke dalam saluran longkang juga akan 'sampai' ke sungai sekali gus menjejaskan sumber bekalan air bersih.
Namun demikian, biar sekerap atau seserius mana pun perbincangan dan kempen berkaitan pencemaran ini diadakan, tindakan dan susulan yang sewajarnya perlu dilakukan segera.
Sekiranya tiada susulan atau tindakan dilakukan dengan kadar segera, pencemaran sungai-sungai ini akan bertambah parah.
Mampukah anda bayangkan jika air minuman yang kita minum sepanjang hari tercemar dan tidak bersih? Tidakkah ia bakal mendatangkan pelbagai penyakit kepada tubuh badan?
Produk Cekap Air

Memahami akan masalah pembaziran air secara terus dan pencemaran air yang semakin berleluasa, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah memperkenalkan beberapa Produk Cekap Air yang mampu membantu mengurangkan penggunaan air dalam aktiviti harian.
Terdapat lima jenis produk yang disenaraikan di bawah Skim Pelabelan Produk Cekap Air (SPPCA) iaitu:
Pili air (termasuk pili basin, pili sinki, pili pancuran mandi dan pili wuduk)
Tangki tandas dwi simbahan
Mangkuk buang air kecil (injap simbah)
Pancuran mandi
Mesin basuh
Melalui standard yang dibangunkan oleh SPAN ini, penggunaan pili cekap air akan menggunakan hanya 8 liter air seminit dan pancuran mandi sebanyak 10 liter air seminit. Jika dibandingkan dengan penggunaan pili konvensional yang mengeluarkan air sebanyak 15 liter air seminit, kita akan dapat menikmati penjimatan sebanyak 53% di sini.
Produk-produk Cekap Air sememangnya mampu memberikan penjimatan yang sangat ketara. Ini kerana ia direka mengikut fungsi yang sesuai agar matlamatnya tercapai.
Produk-produk Cekap Air SPAN dinilai mengikut tahap penggunaan air berdasarkan kepada tiga sistem penarafan bintang iaitu:

Tiada Pembaziran Hilang Kegusaran

Kesedaran pengguna sebenarnya merupakan aset terpenting untuk terus memastikan bahawa sumber ini akan terus wujud, bersih dan selamat serta dapat meneruskan khidmatnya untuk kehidupan sejagat.
Oleh itu, semua pihak harus segera sedar akan tanggungjawap masing-masing untuk menggunakan air secara berhemah.
Kita selaku penerima terbesar manfaat dari alam sekitar yang sejahtera harus mempunyai kesedaran yang tinggi untuk terus memastikan bahawa generasi masa depan dapat kekal menikmati persekitaran yang sejahtera termasuklah bekalan air yang bersih dan lestari.
Mari kita bersama-sama jimat air dan jimat bil dengan Produk Cekap Air!