Pelbagai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat telah diperkenalkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membantu rakyat dalam saat yang sukar sewaktu negara berhadapan dengan ancaman Covid-19 pada tahun 2020.
Penduduk di Nibong Tebal bersyukur dan berpendapat bahawa bantuan yang diterima dapat meringankan beban mereka dalam menjalankan aktiviti kehidupan seharian.
Menurut Puan Fakriah, seorang suri rumah “Saya ada terima bantuan sebanyak RM500 dan RM300. Wang itu digunakan untuk perbelanjaan seharian, seperti membeli barangan dapur dan menguruskan anak-anak”.
Di samping Bantuan Prihatin Nasional, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui inisiatif i-Sinar dan i-Lestari dapat membantu rakyat yang kehilangan sumber pendapatan dan perniagaan yang terjejas untuk menampung kos sara hidup dan keluarga.
“Semasa Covid-19, saya kehilangan kerja dan terbabit dalam kemalangan jalan raya, jadi kemudahan untuk mengeluarkan wang KWSP sebanyak RM10000 melalui i-Sinar sangat membantu saya dalam perbelanjaan sekeluarga,” ujar En.Muhammad Faizul.
Bagi usahawan muda yang ingin memulakan perniagaan mereka yang tersendiri, bantuan Geran Khas Prihatin (GKP), inisiatif Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa PLUS) dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro dalam memastikan kelangsungan perniagaan dan pengurusan aliran tunai mereka.
Menurut Muhammad Alif Danial, peniaga muda di Nibong Tebal, bantuan GKP sebanyak RM6000 yang diterimanya amat membantu dalam menstabilkan perniagaan gerai makanan semasa wabak Covid-19.
“Bantuan yang saya dapat melalui GKP membolehkan saya untuk mengekalkan perniagaan saya sebab masa PKP banyak perniagaan yang terjejas, jadi bantuan yang kerajaan perkenalkan memang bagus dan saya sokong inisiatif Tan Sri Muhyiddin Yassin,” tambahnya.
Selain itu, golongan belia juga tidak ketinggalan dalam menerima bantuan daripada kerajaan. Program e-Belia yang mengkreditkan RM150 ke dalam akaun e-wallet belia dan mahasiswa berusia 18 hingga 20 tahun merupakan langkah untuk menggalakkan pendigitalan dalam kalangan belia.
Lukman Hakim, pelajar IPT berpendapat bahawa duit e-wallet sebanyak RM150 yang diterimanya mampu digunakan sebagai perbelanjaan semasa di universiti untuk membeli makanan serta buku rujukan untuk kursus yang diikutinya.
Bagi calon P047 Nibong Tebal, Dato’ Mansor Othman, fokus utama beliau adalah untuk menjaga kebajikan rakyat yang selaras dengan Manifesto Perikatan Nasional disamping ingin menambah baik pembangunan di Nibong Tebal.
“Tan Sri Muhyiddin telah memulakan program Prihatin rakyat dan saya akan utamakan keprihatinan rakyat melalui agihan bantuan bakul makanan dan program pemberian cermin mata percuman kepada penduduk di Nibong Tebal,” ujarnya.
Perikatan Nasional akan terus memperjuangkan kebajikan rakyat bagi membina Malaysia yang inklusif dan gemilang.