Kepala Batas pada dahulunya hanya dikenali sebagai sebuah kawasan pinggiran yang bermula dengan sejarah pertanian padi dengan pertumbuhan yang perlahan dan tidak bertenaga. Namun, dasar-dasar pembangunan yang terancang terutamanya dalam dua puluh tahun kebelakangan ini telah mengubah wajah Kepala Batas sama sekali.
Pembangunan tanpa menoleh ke belakang
Kini, petempatan yang sunyi pada ketika dahulu telah menjadi sebuah bandar moden yang menunjukkan ciri-ciri pembangunan jangka panjang yang teratur dan berperingkat. Kepala Batas yang terletak di daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang ini telah menjadi sebuah bandar teladan untuk kawasan-kawasan yang lain.
‘Kota ilmu’
Pelbagai infrastruktur dan kemudahan asas telah dibangunkan di sini. Pembangunan pesat di Kepala Batas turut didorong oleh penumpuan pelbagai institusi pendidikan tinggi yang akhirnya menjulang nama bandar tersebut sebagai ‘kota ilmu’ di utara Semenanjung Malaysia.
Institusi pengajian terkemuka di Kepala Batas
Antara institusi pengajian tinggi yang telah bertapak di Kepala Batas termasuklah Institut Pergigian Perubatan Termaju - Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) - Kampus Bertam, Kolej Komuniti Kepala Batas, Advance Medical & Dental Institute, Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, Pusat Giat Mara Kepala Batas, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas, Kolej Jururawat Bertam, Maktab Rendah Sains MARA Kepala Batas, dan Sekolah Menengah Sains Kepala Batas (SAKBA).
“Kewujudan pelbagai institusi pendidikan adalah penting kerana ini dapat memanfaatkan komuniti tempatan dari segi peluang pendidikan kepada anak-anak tempatan terutamanya peluang untuk meningkatkan kemahiran teknikal termasuk pendedahan praktikal secara hands-on,” kata Fazilah, seorang tenaga pengajar di Kepala Batas.
“Pelajar tempatan juga dapat menikmati kos yang lebih rendah kerana mereka tidak perlu menyewa penginapan. Selain itu, di Kepala Batas ini, terdapat juga institusi yang menawarkan kursus tertentu dengan yuran mampu bayar untuk meringankan beban ibu bapa,” sambung beliau.
Menurutnya, antara kursus yang popular dalam kalangan anak muda adalah seperti automotif, multimedia dan keusahawanan.
Bagi Fadzil, tenaga pengajar di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas dalam bidang automasi mesin, elektrikal dan sistem teknologi, Kepala Batas kini telah menjadi sebuah hab pendidikan untuk kemahiran teknikal.
“Selain lepasan pelajar SPM atau yang lain, cikgu-cikgu pun perlu tambahkan ilmu (upskilling) mereka untuk maju lagi. Sebagai contoh, apa yang kita belajar di sekolah menengah adalah benda-benda yang asas. Apabila kita masuk kolej atau universiti, kita akan teroka bidang pengkhususan tertentu secara mendalam,” kata Muhammad Fadzil bin Mohamed Rahiki, tenaga pengajar di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas dalam bidang automasi mesin, elektrikal dan sistem teknologi.
Bagi mereka yang minat menceburi bidang berkaitan elektrikal, ILP ada menawarkan kursus Juruelektrik (Wireman) dan Juruteknik Elektrik (Chargeman). Peluang untuk meningkatkan kemahiran teknikal dalam bidang lain juga luas terbuka kerana pelajar Fadzil termasuk lepasan SPM dan orang dewasa lepasan ILP (alumni).
Menurut Fadzil, selain tanggungan penuh oleh kerajaan termasuk yuran dan penginapan asrama secara percuma, satu lagi kelebihan utama belajar di ILP adalah kemudahan dari segi peralatan yang mencukupi di bawah penyeliaan Jabatan Tenaga Manusia (JTM). Ini termasuk kemudahan yang sepadan dengan piawaian industri. Kelebihan ini membolehkan pelajar membuat pengkhususan mengikut keperluan industri bagi haluan kerjaya yang berlainan.
“Tambahan pula, kehadiran pelbagai institusi pendidikan di Kepala Batas juga bermakna anak-anak tempatan mempunyai pilihan yang semakin bertambah dan ibu bapa tidak perlu risau menghantar anak-anak mereka ke tempat jauh di samping berpeluang memantau anak-anak mereka dengan lebih mudah,” tambah beliau.
Institusi pendidikan yang berlainan di Kepala Batas juga menawarkan kursus separuh dan sepenuh masa, serta pembelajaran pada hujung minggu untuk golongan pelajar yang berlainan termasuk mereka yang bekerja. Ini bermakna, seandainya anda berminat untuk menuntut ilmu di Kepala Batas, anda dialu-alukan kerana pintu tersebut sentiasa terbuka luas.
Mengenai kerjaya yang mendapat permintaan tinggi pada masa sekarang, Fadzil terus memberi tumpuan kepada bidang berteknologi tinggi.
“Sekarang ini kalau kita lihat, teknologi semakin berkembang pesat. Industri yang berasaskan teknologi menghadapi masalah kekurangan tenaga mahir. Contohnya bidang elektrikal. Dengan wujudnya rumah pintar dan sebagainya, teknologi baharu sentiasa membawa perubahan yang ketara kepada kehidupan kita. Ini termasuklah penggunaan perisian komputer dan aplikasi mudahalih yang semakin canggih. Semua ini memerlukan kemahiran tertentu yang boleh dipelajari,” ujar beliau.
Menyentuh tentang penjanaan ekonomi dan pembangunan fizikal, Fadzil berkata: “Bila wujudnya banyak institusi pendidikan di sesuatu tempat, contohnya Kepala Batas, ia akan membangunkan tempat tersebut dengan lebih pesat. Dengan kata lain, populasi pelajar yang besar akan menyokong ekonomi dan pembangunan setempat dengan lebih rancak.”
Kerusi parlimen P041 Kepala Batas
Kerusi parlimen Kepala Batas yang terdiri daripada Penaga, Bertam dan Pinang Tunggal akan dipertahankan oleh Datuk Seri Reezal Merican daripada Barisan Nasional yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 19 November 2022 ini.
Ikrar Aku Janji Demi Kepala Batas.
Layari www.demikepalabatas.com untuk maklumat lanjut tentang ikrar tersebut.