Pembangunan berdaya huni serta pertumbuhan ekonomi bertenaga adalah antara agenda utama yang diketengahkan oleh Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, penyandang kerusi parlimen Kepala Batas, semasa merasmikan pelancaran Ikrar Aku Janji Demi Kepala Batas di Wisma UMNO Kepala Batas, Pulau Pinang.
Ikrar Aku Janji Demi Kepala Batas: 7 teras, 25 ikhtiar dan 41 gerak kerja
Ikrar yang merangkumi 25 ikhtiar dan 41 gerak kerja tersebut bertujuan membangunkan sosioekonomi setempat secara holistik yang menitikberatkan pembangunan semua aspek termasuk infrastruktur, perumahan, komuniti, ekonomi setempat, modal insan, pendidikan, kerohanian, agenda anak muda serta pemerkasaan wanita.
Beliau menyifatkan “Ikrar Aku Janji Demi Kepala Batas” sebagai satu laungan perjuangan yang mempunyai konotasi yang lebih meyakinkan dan lebih kuat.
“Sebagai seorang pemimpin, dengan amanah yang kita ambil, saya mahu diikat dengan amanah ini semasa melaksanakan tanggungjawab saya sebagai seorang wakil rakyat. Ikrar ini juga akan dipegang oleh calon-calon Barisan Nasional yang bakal bertanding di DUN nanti. Ini adalah kerana kita hendak pastikan, kita datang bukan dengan omong kosong, tapi sarat dengan segala agenda untuk kita perjuangkan demi Kepala Batas,” kata Reezal Merican.
“Ikrar Aku Janji Demi Kepala Batas adalah ditujukan kepada kepada semua generasi Kepala Batas termasuk anak-anak muda, yang berusia, yang veteran, penduduk asal, yang berhijrah singgah, yang telah menjadikan Kepala Batas sentiasa berada di hati dan jiwa, mahupun generasi akan datang pada masa hadapan,” sambung beliau.
Menurut Reezal Merican, TERAS PERTAMA yang ditekankan adalah untuk terus membangun infrastruktur prasarana rakyat dan perumahan di Kepala Batas. Beliau berikhtiar menaik taraf dan membina baharu kemudahan dan infrastruktur awam, menaik taraf infrastruktur jalan dan perparitan, serta mempergiat Program Pemilikan Perumahan (HOPE).
“Sekarang ini kita dapat lihat bahawa Kepala Batas telah berubah wajah. Perumahan maju, perumahan baharu telah banyak berlaku. Namun begitu, kita hendak Kepala Batas mempunyai keupayaan dimiliki kediaman tersebut oleh anak-anak Kepala Batas sendiri. Sebab itulah majlis pecah tanah telah dirasmikan oleh Perdana Menteri baru-baru ini yang bakal menyaksikan pembinaan sebanyak 700 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kepala Batas,” kata beliau.
“Bukan itu sahaja, kita juga mensasarkan dalam tempoh lima tahun akan datang, kita akan membina lima ratus Rumah Mesra Rakyat, seratus setiap tahun, yang membolehkan anak-anak Kepala Batas memilikinya,” tambah beliau sambil menyatakan bahawa ramai antara mereka yang duduk di Pinang Tunggal, Bertam dan Penaga telah berjaya memiliki kediaman mereka sendiri.
Menurut anak jati Pulau Pinang itu, walaupun Kepala Batas telah mempunyai pelbagai sokongan prasarana dan infrastruktur awam, namun ia perlu ditingkatkan lagi disebabkan pertambahan penduduk yang mengikut arus kemajuan. Antara infrastruktur yang boleh dinaiktaraf termasuk hospital di Kepala Batas dan pusat kesihatan komuniti setempat, balai polis di Penaga, serta pembinaan balai polis baharu di Pinang Tunggal.
TERAS KEDUA adalah untuk mengukuh hubungan sosial dan komuniti dalam kalangan penduduk Kepala Batas. Ini termasuk memperkukuh kebersamaan komuniti, menambah Baik kawalan keselamatan dan ketenteraman awam, memperkukuh hubungan antara kaum keluarga Kepala Batas, serta mempertingkat kesejahteraan komuniti.
“Soal hubungan kaum dan hubungan komuniti ini dapat diperkasakan. Dalam hal ini saya akan menjadi rakan yang paling rapat kepada pusat khidmat parlimen Kepala Batas, kawasan-kawasan rukun tetangga, persatuan-persatuan penduduk dan semua yang mewakili cawangan-cawangan yang berada di peringkat akar umbi. Kita akan pastikan pengukuhan hubungan sosial dan komuniti dapat kita lakukan,” tegas Reezal Merican.
Ini juga mengambil kira soal orang yang memerlukan bantuan. Kita hendak terapkan soal peduli antara kita. Ini termasuk menangani soal OKU yang tidak mendapat pembelaan dan perhatian yang sewajarnya kerana ada antara mereka yang tidak mendapat bantuan JKM dan ada yang terlepas pandang,” kata beliau.
TERAS KETIGA memfokus kepada perancakan aktiviti ekonomi setempat termasuk membantu peningkatan ekonomi kumpulan nelayan, pesawah padi dan petani, membangun produk eko-pelancongan dan tarikan pelancong, menggalak aktiviti perniagaan setempat, meningkatkan kemahiran ekonomi isi rumah, serta meningkatkan peluang pekerjaan warga Kepala Batas.
“Apa guna kita ada infrastruktur, apa guna kita ada kediaman, tetapi sekiranya daya tahap huni adalah rendah, orang tidak dapat mencari rezeki dan pekerjaan di sini. Maka sebab itulah, kita lakukan perancangan dari zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) lagi untuk mentransformasikan Kepala Batas secara beransur-ansur sebagai sebuah bandar yang dihuni oleh golongan B40, M40 dan T20 dengan kuasa beli yang sedia ada, di samping pertambahan komuniti peniaga termasuk peniaga mikro dan atas talian,” kata beliau, dengan harapan tinggi agar Kepala Batas akan membangun secara terancang, tersusun dan bersepadu.
TERAS KEEMPAT memberi perhatian terhadap aspek pembangunan modal insan dan pendidikan. Usaha-usaha yang akan dilaksanakan termasuk memastikan prasarana terbaik bagi pendidikan awal anak-anak, membina baharu dan menaik taraf prasarana pendidikan rendah dan menengah, memperkukuh institusi pengajian tinggi, serta memperkenalkan program “Kota Pendidikan Kepala Batas”.
“Dari zaman sekolah saya kita ada 12 sekolah rendah dan 4 sekolah menengah sahaja. Hari ini kita telah ada 46 sekolah di kawasan parlimen Kepala Batas. Sekolah-sekolah yang hebat seperti sekolah sains ada di sini. MRSM antara yang terbaik di Malaysia juga ada di sini. Institut Perubatan dan Pergigian Termaju Universiti Sains Malaysia (USM) juga berada di sini. Pusat kemahiran ILP, Pusat Giat MARA, kolej komuniti dan sebagainya, seakan-akan semuanya berada di sini,” kata Reezal Merican.
TERAS KELIMA menitikberatkan pengimarahan syiar Islam dan pembangunan rohani. Antara usaha yang boleh dilakukan termasuk membina baharu dan menaik taraf masjid serta surau, memperkukuh institusi masjid sebagai tonggak syiar Islam, serta menjadikan masjid pusat aktiviti komuniti.
“Bumi Kepala Batas mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Di sinilah lahirnya ulama Tuan Guru Haji Abdullah Fahim, datuk kepada Pak Lah, orang yang bertanggungjawab menentukan 31 Ogos sebagai tarikh kemederkaan kita,” kata beliau dengan menekankan penerusan tradisi bangga Kepala Batas, iaitu syiar Islam dan pembangunan rohani, termasuk memperbanyakkan sekolah-sekolah agama dan masjid seperti pembinaan Masjid Bandar Putra Bertam.
TERAS KEENAM tertumpu kepada agenda anak muda. Ikrar ini merangkumi inisiatif menyedia dan meningkatkan prasarana sukan dan kemudahan aktiviti anak muda, memperkukuh aktiviti pembangunan belia dan anak muda, mempergiat program-program berteraskan keusahawanan dan penyediaan peluang perniagaan, serta mempergiat inisiatif kebajikan anak muda.
“Pembinaan Kepala Batas Youth Centre bernilai RM45 juta dengan kemudahan lengkap yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini adalah bersesuaian dengan kehendak semasa anak muda termasuk kemudahan e-sports. Kita ingin menjadikan Kepala Batas sebagai satu teladan bandar parlimen yang berorientasikan anak-anak muda di Malaysia,” kata Reezal Merican.
TERAS KETUJUH adalah perancangan khas untuk mempergiatkan agenda pembangunan wanita Kepala Batas. Ini termasuk memperkukuh inisiatif pemerkasaan wanita serta mempergiat inisiatif kebajikan wanita muda, wanita dan ibu tunggal.
“Agenda ketujuh yang terakhir ini adalah agenda yang amat istimewa bagi saya. Agenda ini adalah untuk menjulang wanita dan seandainya saya dipilih semula, 30% daripada peruntukan parlimen saya akan diperuntukkan khas untuk pembangunan wanita di Kepala Batas,” Reezal Merican menyampaikan berita baik kepada komuniti wanita Kepala Batas dengan harapan inisiatif ini dapat memperkukuhkan lagi peranan wanita dalam pembangunan negara.
Datuk Seri Reezal Merican akan mempertahankan kerusi parlimen P041 Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 19 November 2022 ini agar ia tetap milik Barisan Nasional.
Layari www.demikepalabatas.com untuk maklumat lanjut tentang Ikrar Aku Janji Demi Kepala Batas.