Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Kosongkan tangki septik individu anda sekurang-kurangnya dua tahun sekali
Diterbitkan:  Nov 17, 2022 12:39 PM
Dikemaskini: 4:51 AM

Adakah anda seorang pengguna sistem Tangki Septik Individu (IST), Tangki Septik Komunal (CST), atau Sistem Tradisional seperti tandas curah atau palong? 

Pernahkah anda terfikir…..

Untuk pengetahuan anda, negara kita mempunyai kira-kira 1.3 juta tangki septik individu dan lebih kurang 800,000 tangki tradisional. Namun, kesedaran bagi kepentingan untuk menyelenggara dan menguruskannya masih dianggap kurang kerana ramai pengguna yang mengambil sikap ‘tidak ambil berat’ atau bukan menjadi keutamaan.

Pernahkah anda tertanya-tanya ke manakah air sisa kumbahan dialirkan selepas anda mengepam tandas? Mengapakah sesetengah rumah di kawasan tertentu memerlukan tangki septik? Apakah kepentingan tangki septik terhadap keselesaan hidup kita dan alam sekitar? Tahukah anda tangki septik perlu dikosongkan mengikut masa tertentu? 

Tanggungjawab bersama untuk memastikan sistem pembetungan yang cekap

Tangki septik adalah satu bentuk kemudahan penjagaan utama yang terdiri daripada satu atau lebih petak bahagian yang menyediakan rawatan kumbahan. Tangki septik hanya menyediakan sebahagian sahaja rawatan kumbahan yang mengalir ke dalamnya dan perlu dikosongkan secara berjadual bagi memastikan ianya berfungsi dengan efisien. 

Masih ramai lagi pengguna yang tidak sedar bahawa tangki septik perlu dikosongkan sekurang-kurangnya dua tahun sekali.  

Sisa buangan bawaan air yang dikenali sebagai kumbahan (sewage) adalah gabungan ‘sludge’ (pepejal yang mendap di bahagian bawah tangki septik yang dikenali sebagai enapcemar) dan ‘scum’ (lapisan kotoran berbuih di permukaan atas).  

Apabila tangki septik tidak dikosongkan, partikel kumbahan tersebut akan memenuhi setiap ruang tangki septik dan mengeras sehingga menyebabkan sistem pembetungan tersebut tersumbat. Apabila perkara ini berlaku, kerja-kerja nyahenap cemar (desludge) menjadi sukar dan menelan kos penyelenggaraan yang lebih tinggi. Tambahan pula, kumbahan yang berlebihan akan melimpahi longkang dan memasuki perairan dan alam sekitar tanpa dirawat. 

Apa akan terjadi apabila tangki septik individu penuh dan melimpah?

Perlu diingatkan, tangki septik hanyalah tempat penyimpanan sisa kumbahan yang bersifat sementara. Ini bermakna tangki septik hanya mampu memerangkap dan menakung kumbahan dalam kuantiti yang terhad. Jadi, sekiranya pengosongan berjadual tidak dijalankan, tangki septik yang penuh bukan sahaja akan menyebabkan sistem rawatan kumbahan tersumbat, malah melimpah dan memasuki  sistem saliran dan pengairan seperti longkang, parit, sungai, tasik dan laut, ataupun meresap ke dalam tanah – semua ini akan mengakibatkan pencemaran alam sekitar dan memudaratkan kesihatan kita.

Risiko terdedah kepada kumbahan tidak dirawat

Pencemaran oleh sisa kumbahan yang berlaku di sungai, tasik, lautan, akuifer dan air bawah tanah akibat ketidakprihatinan manusia akan membawa kesan negatif yang serius terhadap kesihatan manusia dan hidupan lain. Ini adalah kerana air yang tercemar mengandungi pelbagai elemen berbahaya seperti amonia, bahan logam dan bakteria patogen yang boleh menyebabkan penyakit bawaan air seperti demam kepialu, taun, Hepatitis A, salmonellosis dan kolera.

Kosongkan tangki septik anda dua tahun sekali 

Dengan kata lain, apabila tangki septik telah penuh dan tidak dikosongkan, sistem pembetungan tersebut akan terjejas dan tidak berkesan yang akhirnya akan memudaratkan kesihatan dan alam sekitar. 

Sebagai syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd telah dipertanggungjawabkan untuk menghantar notis penjadualan pengosongan tangki septik kepada pengguna di Semenanjung Malaysia secara berperingkat, mulai bulan Julai 2021. 

Malangnya, ada ramai lagi pengguna yang tidak mengambil berat atau mengendahkan notis tersebut agar tangki septik mereka dapat diselenggarakan pada waktu yang tepat. 

Penguatkuasaan warta penyelenggaraan tangki septik

Menyedari risiko pencemaran sumber air yang berpunca daripada tangki septik, kerajaan telah menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) sejak Mac 2021. Warta tersebut mewajibkan pemilik atau penghuni bertanggungjawab memastikan tangki septik mereka diselenggara dengan baik.

Menurut warta Kerajaan Persekutuan tersebut, mana-mana pemilik, perbadanan pengurusan atau penghuni premis yang tidak mematuhi arahan notis bertulis kedua daripada IWK, adalah melakukan satu kesalahan di bawah subseksyen 65(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] dan boleh didenda sehingga RM50,000.

Menangani isu tangki septik individu di tempat peranginan

Selain kawasan perumahan, terdapat juga premis-premis perniagaan dan pusat-pusat peranginan yang menggunakan sistem tangki septik individu.  

Baru-baru ini, IWK dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah bersetuju untuk menjalankan pengosongan tangki septik di Pulau Perhentian awal tahun depan bagi menangani masalah pencemaran yang dipercayai berpunca daripada sisa kumbahan tidak dirawat di pulau peranginan tersebut.

IWK juga akan membina tapak pelupusan sementara yang sesuai, sementara menunggu pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Berpusat atau kemudahan rawatan enapcemar tersedia di pulau tersebut.

Cabaran nyahenap cemar di pulau

Kerja-kerja nyahenap cemar (desludge) di pulau memerlukan baj, bot dan kenderaan kecil yang direka khas untuk disesuaikan dengan demografi pulau tersebut yang akan memakan kos yang tinggi. Walau bagaimanapun, IWK tetap komited untuk melaksanakan perkhidmatan ini agar dapat mengelakkan pencemaran demi kesejahteraan penghuni dan pelancong.

Memelihara kelestarian alam sekitar dan keselesaan bersama

Masyarakat perlu sedar bahawa sisa kumbahan hendaklah dirawat dengan cara yang selamat untuk mengelakkan penyebaran penyakit bawaan air di samping memelihara alam sekitar. Jadilah pengguna yang bertanggungjawab demi kebersihan alam sekitar dan kepentingan kesihatan masyarakat. 

Anda memerlukan bantuan?

Sila layari https://www.iwk.com.my/contact-us untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan pembetungan di kawasan anda.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS