Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Manifesto PN kemuka 234 tawaran perkasa ekonomi, manfaat rakyat
Diterbitkan:  Nov 8, 2022 12:20 PM
Dikemaskini: Nov 10, 2022 11:44 AM

Perikatan Nasional (PN) menawarkan 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran menerusi manifestonya sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi PN berkata, tawaran itu digubal dengan mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat dalam perkara yang dianggap penting oleh mereka.

Antara keperluan utama rakyat adalah berkenaan isu ekonomi rakyat seperti kos sara hidup, pekerjaan, pendapatan, masalah inflasi, kenaikan harga barang dan lain-lain yang berkaitan.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Manifesto PNBEST untuk Malaysia iaitu PN mewakili Prihatin Rakyat, Budaya Bersih Rasuah, Ekonomi yang Menyeluruh, Stabil dan Selamat serta Telus dalam Tindakan.

“Antara tumpuan utama di Indera Mahkota ialah struktur ekonomi, ini merujuk kepada pekerjaan, perniagaan, dan pembangunan ekonomi. Saya ingin menjadikan Indera Mahkota sebagai Kota Ekonomi Digital dengan meningkatkan ekonomi gig dan membantu syarikat-syarikat pemula,” kata Dato' Sri Saifuddin bin Abdullah, P.082 Indera Mahkota.

Untuk membantu pengusaha dan peniaga kecil, beliau ingin menubuhkan pusat pengumpulan pembungkusan dan pemasaran supaya mereka dapat memasarkan barangan tempatan di luar Indera Mahkota dan ke luar negara.

“Untuk sektor pendidikan, saya berhajat menubuhkan “Iam Edu Network”, sebuah jaringan pendidikan yang akan menghubungkan antara institusi pengajian tinggi dan sekolah yang sedia ada di Indera Mahkota,” katanya.

“Perikatan Nasional mempunyai pelbagai tawaran untuk seluruh rakyat Malaysia, antaranya ialah untuk membekalkan internet yang laju dan mengawal kesesakan lebuh raya di Wangsa Maju,” kata Nuridah Mohd Salleh, P.116 Wangsa Maju.

“Untuk pengundi di Klang, jika dipilih sebagai wakil rakyat, saya akan pastikan suara mereka dibawa ke  Parlimen. Bukan sahaja segala permasalahan dan keluh-kesah mereka,  bahkan harapan rakyat akan diangkat untuk menjadikan Malaysia lebih gemilang,” ujar Dr Jaya Chandran A/L Perumal, P.110 Klang.

Menurut Muhammad Nazrul Hakim Md. Nazir, P.102 Bangi, banyak tawaran menarik dikemukakan dalam Manifesto Perikatan Nasional, antaranya  bantuan pendidikan RM1,000 untuk mahasiswa baharu,  untuk golongan muda termasuk di Bangi. 

“Selain itu salah satu usaha yang dicadangkan untuk mengurangkan masalah kesesakan ialah dengan menggunakan tol tanpa palang. Ini akan dapat menyelesaikan banyak masalah kesesakan jalan raya terutamanya di Lebuh raya dan juga di kawasan parlimen Bangi,” katanya.

Komitmen Perikatan Nasional untuk memastikan kerajaan bebas rasuah amat bertepatan dengan aspirasi rakyat Malaysia.

Calon PN bagi kerusi P.106 Damansara, Lim Si Ching, berkata jika beliau menjadi Ahli Parlimen di Damansara, beliau akan melaksanakan tiga tawaran utama iaitu memberi kemudahan internet secara percuma untuk syarikat-syarikat pemula dan juga untuk golongan belia.

Kedua, ialah meningkatkan kuota senator kepada 2 iaitu untuk belia dan beliawanis. Tawaran ketiga ialah memastikan diskaun PTPTN sebanyak 25% akan diberikan kepada graduan kelas dua, dan bagi graduan kelas pertama, mereka masih akan mendapat 100% pengecualian pinjaman PTPTN.

Tonton semula siaran langsung Majlis Pelancaran Tawaran PN-BEST Perikatan Nasional di SINI dan layari https://www.pnbest.com/ untuk mendapatkan maklumat lanjut. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 November 2022 sebagai tarikh pengundian manakala pengundian awal pada 15 November 2022.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS