Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Lindungi harta intelek anda sebelum terlambat
Diterbitkan:  Nov 1, 2022 3:42 PM
Dikemaskini: 9:34 AM

Setiap perniagaan tercetus daripada idea yang diterjemahkan menjadi realiti. Kejayaan sesuatu rekacipta dan inovasi seperti jenama dan reka bentuk produk misalnya mengambil masa dan kerja keras bagi menghasilkannya. Namun rata-rata masyarakat, terutama golongan usahawan, tidak menitikberatkan soal perlindungan inovasi mereka kerana faktor “tidak wajib”.

Ya, pendaftaran harta intelek memang tidak diwajibkan untuk menjalankan perniagaan. Oleh itu, ramai beranggapan bahawa perlindungan harta intelek atau intellectual property (IP) mereka tidak penting. Mereka tidak sedar bahawa harta intelek mereka terdedah kepada risiko diciplak atau ditiru. Lebih malang lagi jika pihak yang meniru itu mendaftar pula IP tersebut sebagai harta intelek mereka!

Bayangkanlah – anda bertungkus lumus membangunkan jenama anda, tetapi orang lain yang manfaat, malah dengan produk yang kurang berkualiti sehinggakan nama baik perniagaan anda turut terjejas. Atau selepas mencurahkan perbelanjaan tinggi ke atas penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghidupkan idea inovatif anda, rekaan anda ditiru.

Di sebaliknya, jika anda telah mendaftarkan IP anda di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) anda mempunyai hak untuk menghalang/memberhentikan usaha orang lain yang cuba meniru IP yang telah didaftarkan. Melalui MyIPO, anda juga boleh mendaftarkan IP anda untuk melindungi hak milik anda di peringkat antarabangsa menerusi Sistem Madrid.

Terdapat tiga sebab utama mengapa seseorang, atau lebih tepatnya seorang pencipta atau usahawan, perlu mendaftarkan harta intelek mereka:

  • Hak eksklusif – untuk mengguna, menjual, mengkomersial dan melesenkan hak harta intelek itu.

  • Menjana pendapatan – melalui pindah milik, francais dan perlesenan.

  • Menghalang peniruan – hak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang menggunakan harta inteleknya tanpa kebenaran.

Menurut statistik MyIPO, dari tahun 2017 sehingga September 2022, sebanyak 123,546 permohonan tempatan serta 190,224 permohonan dari luar negara telah diterima untuk tujuan pendaftaran harta intelek. Permohonan dari luar negara secara konsisten melebihi permohonan tempatan. Permohonan asing menyumbang hampir 64% daripada jumlah permohonan pada tahun 2021, meningkat daripada 60% pada tahun 2020. Peratusan ini terus meningkat kepada 66.4% dalam sembilan bulan pertama tahun 2022.

Adakah ini refleksi sikap “tidak apa” di kalangan usahawan tempatan? Sememangnya ramai juga yang beranggapan pendaftaran harta intelek adalah mahal. Sebenarnya, usahawan hanya perlu mengeluarkan perbelanjaan RM950 sekali dalam 10 tahun untuk memastikan cap dagangan atau tanda niaga mereka dilindungi undang-undang selama tempoh berkenaan. Bukankah perlindungan perniagaan anda lebih bernilai daripada ini?

Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) 

MyIPO adalah agensi kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). MyIPO bukan sahaja berfungsi sebagai ‘custodian’ dan agensi tunggal yang mentadbir harta intelek di Malaysia, ia juga menjalankan penyelidikan berterusan serta menjalin hubungan dengan organisasi harta intelek di seluruh dunia bagi memastikan dasar harta intelek di Malaysia sentiasa berkembang seiring kemajuan dunia.

MyIPO mentadbir dan menguatkuasakan perundangan harta intelek di Malaysia yang terdiri daripada Akta Cap Dagangan 2019, Akta Paten 1983, Akta Hak Cipta 1987, Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996, Akta Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu 2000, Akta Petunjuk Geografi 2000 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.

Harta intelek yang boleh anda lindungi

  • Paten (patents)

  • Cap dagangan (trademark)

  • Reka bentuk perindustrian (industrial design)

  • Petunjuk geografi atau (geographical indication)

  • Hak cipta (copyright)

  • Reka bentuk susun atur litar bersepadu (layout design of integrated circuit, IC)

Permohonan pendaftaran boleh dibuat secara manual atau dalam talian.

Paten

Paten adalah satu hak eksklusif yang dianugerahkan untuk suatu rekacipta, sama ada produk atau proses untuk melakukan sesuatu yang baru atau penyelesaian teknikal ke atas sesuatu masalah. Paten dilindungi selama 20 tahun dari tarikh pemfailan.

Perbaharuan utiliti adalah hak eksklusif yang diberikan terhadap suatu rekacipta kecil yang tidak memerlukan ujian langkah merekacipta sebagaimana yang diperlukan untuk mendapat paten. Perbaharuan utiliti dilindungi selama 10 tahun dan boleh dilanjutkan selama dua tempoh 5 tahun, menjadikan tempoh maksima perlindungan selama 20 tahun.

Cap dagangan

Cap dagangan ialah apa-apa tanda yang boleh dinyatakan secara grafik yang boleh membezakan barang-barang atau perkhidmatan satu perusahaan daripada perusahaan-perusahaan yang lain. Tanda termasuklah apa-apa huruf, perkataan, nama, tandatangan, angka, logo, jenama, tajuk, label, tiket, bentuk barang-barang atau bungkusannya, warna, bunyi, bau, hologram, kedudukan, urutan gerakan atau apa-apa gabungannya.

Tempoh sah perlindungan cap dagangan ialah 10 tahun dan boleh diperbaharui bagi satu tempoh selama 10 tahun seterusnya.

Fungsi-fungsi cap dagangan:

  • Fungsi asal – menunjukkan asal usul sesuatu barangan atau perkhidmatan yang dipasarkan.

  • Fungsi pemilihan – mempermudahkan pengguna membuat pilihan semasa membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan.

  • Fungsi kualiti – pengguna boleh memilih barangan atau perkhidmatan yang berkualiti berdasarkan reputasi sesuatu cap dagangan.

  • Fungsi pemasaran – medium pengiklanan yang berkesan bagi membolehkan pengeluar memasarkan barangan atau perkhidmatan.

  • Fungsi ekonomi – sesuatu cap dagangan terkenal yang terbukti kualitinya atau mempunyai reputasi yang tinggi boleh dilesenkan atau dipindahmilik kepada pihak lain yang menjadikannya aset ekonomi.

Reka bentuk perindustrian

Reka bentuk perindustrian ialah ciri bentuk, tatarajah, corak atau hiasan yang digunakan pada sesuatu barang melalui apa-apa proses atau cara perindustrian, iaitu ciri yang ada pada barang siap, merupakan ciri yang menarik dan dinilaikan dengan pandangan mata.

Tempoh perlindungan reka bentuk perindustrian berdaftar adalah selama 5 tahun berkuatkuasa dari tarikh pemfailan. Perlindungan tersebut boleh dilanjutkan 4 kali lagi; tempoh maksima perlindungan ialah 25 tahun.

Petunjuk geografi

Petunjuk geografi merujuk kepada suatu tanda yang terdiri daripada satu atau lebih perkataan dan tanda ini digunakan ke atas sesuatu barangan di mana barangan tersebut mempunyai kualiti, reputasi atau ciri-ciri lain yang boleh dikaitkan dengan keadaan kawasan, tempat, wilayah atau negeri. Contohnya, Sarawak Black Pepper

Tempoh perlindungan petunjuk geografi adalah selama 10 tahun dan selagi ia masih diguna pakai, ianya boleh diperbaharui setiap 10 tahun.

Hak cipta

Suatu hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang kepada pencipta karya untuk mengawal penggunaan karya mereka di Malaysia. Karya-karya yang layak mendapat perlindungan hak cipta:

  • Karya sastera

  • Karya muzik

  • Karya seni

  • Filem

  • Rakaman bunyi

  • Siaran

  • Karya terbitan

Tempoh perlindungan hak cipta

  • Bagi karya sastera, seni dan muzik – sepanjang hayat pencipta dan 50 tahun selepas kematiannya.

  • Bagi karya rakaman bunyi, filem dan siaran – selama 50 tahun selepas tarikh ia diterbitkan.

Setiap idea kreativiti anda bernilai dan berpotensi menjadi penyumbang kepada kejayaan perniagaan anda. Lindungilah hak anda.

Untuk keterangan lanjut prosedur mendaftarkan IP anda, sila layari www.myipo.gov.my atau hubungi Talian Harta Intelek (telefon: 03 22998880) atau kunjungi laman sosialnya di Facebook, Instagram dan TikTok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS