Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Kerajaan prihatin nasib pekebun kecil, Bantuan Musim Tengkujuh akan dipertingkatkan
Diterbitkan:  Oct 31, 2022 1:48 PM
Dikemaskini: 5:48 AM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM600 juta kepada pekebun kecil tahun ini berbanding RM508 juta yang disalurkan tahun lepas.

Kerajaan turut meluluskan sejumlah RM191 juta Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) yang melibatkan seramai 232,319 pekebun kecil RISDA. Selain itu, sejumlah 24,237 pekebun kecil negeri Pahang bakal menerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) bermula November depan.

“Kesemua pekebun kecil akan menerima bantuan sebanyak RM600 yang disalurkan secara berperingkat iaitu RM300 pada bulan hadapan dan RM300 pada bulan Disember ini,” katanya.

Bantuan berkenaan bakal ditambah kepada RM800, berbanding jumlah semasa RM600, jika kerajaan pimpinannya sekali lagi dipilih mengepalai pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Peruntukkan ini membuktikan bahawa kerajaan amat prihatin dengan pembangunan sektor komoditi getah yang diusahakan oleh pekebun kecil.

Kerajaan pada pembentangan Bajet 2023 awal bulan lalu katanya, telah menyediakan peruntukan sebanyak RM2.6 bilion kepada sektor komoditi seperti RISDA, sebagai antara agensi utama yang mengawal selia aktiviti komoditi.

Antara inisiatif turut dirancang untuk dilaksanakan bagi memajukan sektor komoditi negara ialah: 

  • RM315 juta bagi Program Pembangunan Kawasan Bertanam Getah Pekebun Kecil untuk menggantikan pokok getah tua. 

  • Program Pembangunan Semula Hasil Baharu bagi menggalakkan pekebun kecil meneroka pendapatan baharu selain getah.

  • Meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah dengan Insentif Pengeluaran Lateks diperkenalkan Bersama-sama dengan program TARGET untuk menambah baik rantaian bekalan bahan mentah getah melalui koperasi.

  • Skim Perlindungan Pertanian untuk melindungi pengusaha pertanian daripada sebarang risiko luar kawalan seperti cuaca, penyakit dan makhluk perosak, bermula dengan pesawah padi. 

  • Bagi orang Asli di Bera, Projek Tanam Semula Ladang Orang Asli akan dilaksanakan merangkumi kerja-kerja penanaman semula getah dan kelapa sawit.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, getah adalah satu-satunya komoditi yang masih diberi bantuan penuh oleh kerajaan seperti Insentif Pengeluaran Getah (IPG), sekiranya harga pasaran getah berada di bawah paras RM2.50 sekilogram.

Program Tanam Semula Getah

Jelasnya, Program Tanam Semula Getah dengan sasaran keluasan 20,000 hektar, kini telah mencapai keluasan melebihi 10,000 hektar, menerusi penyertaan 7,180 pekebun kecil.

RISDA juga menerima permohonan tanam semula getah seluas 18,524 hektar daripada 12,381 pekebun kecil di seluruh negara.

Tambah beliau, sebanyak RM1.15 juta telah disalurkan untuk Parlimen Bera, bagi kegiatan tanam semula seluas 150 hektar, meliputi bantuan jalan pertanian sejauh 15.43km dan empat unit infrastruktur pemasaran hasil serta prasarana pertanian.

Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG)

Bagi meningkatkan pendapatan menerusi produktiviti hasil getah, kerajaan telah memperkenal Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG) melibatkan peruntukan sebanyak RM31.1 juta bagi mencapai pengeluaran hasil 1,800 kilogram sehektar.

Beliau memberitahu RISDA juga telah berjaya melahirkan seramai 23,522 usahawan bimbingan RISDA di seluruh negara melalui bantuan berjumlah RM56.3 juta.

“Jadi peluang menjadi pekebun kecil RISDA sentiasa terbuka luas setiap tahun kerana kerajaan melalui RISDA menyediakan pelbagai inisiatif mempelbagaikan sumber pendapatan dan pembangunan modal insan untuk seisi keluarga pekebun kecil,” ujarnya.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim bin Mohd Sharif.




Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS