Sebanyak 12 kertas kerja penyelidikan merangkumi isu-isu penting telah dibentangkan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN) menerusi “Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial” yang berlangsung pada 13 Oktober 2022 yang lalu.
Tangani isu kemiskinan, pendidikan, perniagaan dan pembangunan
Ketika negara kita sedang beralih dari pandemik ke arah endemik dalam fasa pemulihan ini, MPN menyarankan penekanan terhadap aspek keterangkuman sosioekonomi seperti isu kemiskinan situasi (disebabkan keadaan di luar jangkaan), pendidikan dan aspek perancangan bandar lestari, yang melibatkan tiga golongan utama, iaitu golongan rentan, golongan berpendapatan rendah (B40), dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
10 saranan yang diutamakan:
Seminar tersebut menggesa kerajaan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk segera memulihkan negara melalui 10 saranan yang tertera:
1. Memberi penekanan terhadap aspek kuantiti dan kualiti pendidikan murid
2. Memacu sektor perniagaan dan mengatasi masalah aliran tunai dengan meningkatkan akses geran dan pinjaman serta moratorium bersasar
3. Memperkenalkan insentif berkaitan digital PMKS untuk meningkatkan produktiviti
4. Mengenal pasti pelaburan langsung asing dan domestik yang berteknologi tinggi
5. Insentif untuk majikan yang menghantar pekerja menyertai kursus peningkatan kemahiran (Upskilling dan Reskilling)
6. Mengurangkan jurang pembangunan di Sabah dan Sarawak melalui Pendekatan Berdasarkan Situasi
7. Menambahbaik infrastruktur asas dan akses kepada perkhidmatan kesihatan
8. Menangani isu jaminan bekalan makanan bagi mengatasi dilema ketidaktentuan rantaian bekalan
9. Meningkatkan pembangunan ekonomi berasaskan tenaga boleh diperbaharui bagi mencapai matlamat ekonomi hijau
10. Kenal pasti anjakan baharu dalam bidang ekonomi yang bersesuaian mengikut acuan tempatan
Keluhan dan harapan rakyat
“Bagi saya yang sudah berkeluarga dan mempunyai tiga orang anak, perniagaan saya memang terjejas teruk ketika pandemik. Disebabkan pandemik ini, harga barang turut meningkat dan ia membebankan lagi tanggungan saya untuk sekeluarga,” kata En. Segaran, seorang penjaja makanan.
Bagi rakyat jelata Malaysia terutamanya golongan rentan dan B40, kenaikan kos sara hidup bukan sahaja menjejaskan kelangsungan hidup mereka dari segi keperluan asas, malah pendidikan anak-anak mereka turut menjadi gelisah akibat tempias inflasi.
“Usaha kerajaan mencari penyelesaian untuk menurunkan harga barang memang amat dialu-alukan kerana kesejahteraan rakyat akan lebih terjamin sekiranya inflasi dapat dikawal,” sambung beliau.
Menurut Segaran, satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah memastikan pendidikan anak-anak terpelihara biarpun menghadapi cabaran ekonomi. Tidak dapat dinafikan, pandemik Covid-19 telah menyebabkan keluarga tertentu hilang mata pencarian dan tidak mampu menyambung pendidikan sekolah anak-anak mereka.
“Kesinambungan pendidikan perlu diutamakan kerana pendidikan sempurna penting untuk pembangunan negara. Jadi bagi pihak kerajaan, usaha memastikan keciciran sifar perlu diteruskan sepanjang masa,” tambah beliau.
Bagi peniaga kecil En. Tean Lee, fasa peralihan dari pandemik ke endemik seperti
pembukaan sempadan negara mulai 1 April dan pembukaan semua sektor ekonomi tidak lama selepas itu telah membawa kesan positif terhadap perniagaan.
“Selepas pembukaan hampir semua sektor ekonomi oleh kerajaan pada Mei yang lalu, perniagaan kami sudah mula meningkat dan dijangka akan semakin meningkat apabila corak perbelanjaan pengguna kembali seperti sedia kala,” katanya.
Bagi peniaga atau usahawan kecil, pembiayaan perniagaan merupakan satu cabaran besar yang perlu mereka atasi. Memahami situasi ini sebagai seorang peniaga kecil, Tean Lee berkata:
“Disebabkan kekangan modal dan kekurangan yang lain, sistem sokongan bagi perniagaan kecil perlu mendapat perhatian yang secukupnya. Saya berharap kerajaan dapat membantu memudahkan lagi akses pinjaman kepada Perniagaan Mikro Kecil dan Sederhana.”
Sementara itu, cabaran peluang, hak dan kebajikan pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) perlu dititikberatkan melalui pelan pelaksanaan jangka panjang, menurut Zaitun, seorang pekerja OKU.
Seperti yang diketahui, kesukaran mendapat peluang pekerjaan dalam kalangan OKU bukanlah perkara yang baharu. Golongan OKU turut menghadapi cabaran mendapat akses kemudahan khas untuk mereka.
“Saya harap golongan OKU dapat menikmati kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dengan lebih senang dan mencukupi, termasuk akses kemudahan kesihatan,” kata Zaitun.
Sebagai seorang pekerja OKU, Zaitun menyambut baik peluang yang diberikan kepada beliau termasuk kursus peningkatan kemahiran. Bagi golongan OKU, sistem sokongan yang sewajarnya di tempat kerja dapat meningkatkan produktiviti mereka untuk sama-sama menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Memelihara kesejahteraan sosioekonomi secara holistik
Selain memastikan kesejahteraan sosioekonomi golongan B40 dan ke bawah, memacu sektor perniagaan dengan insentif khas kepada PMKS dan peningkatan pelaburan langsung asing dan domestik turut diutamakan agar negara kita dapat pulih secepat mungkin daripada wabak Covid-19. Moga-moga 10 saranan yang dibentangkan oleh MPN demi kelangsungan hidup rakyat termasuk penduduk kawasan luar bandar dan pedalaman dapat direalisasikan.