Putrajaya: Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersama Institut Masa Depan Malaysia buat julung kalinya telah menganjurkan Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial.
Perasmian dan ucaptama telah disempurnakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi MPN. Beliau berkata bahawa objektif seminar ini adalah untuk:
Menyediakan platform kepada pemegang taruh dalam kalangan ahli akademik, pemain industri, pembuat dasar dan masyarakat sivil untuk mengumpulkan cadangan input berkaitan pemulihan ekonomi negara.
Mengupas isu-isu berkaitan aspek sosioekonomi untuk merangka strategi menyeluruh ke arah kesejahteraan sosial dan ekonomi.
Memperkasa agenda kemampanan ekonomi Malaysia yang lebih inklusif dan lestari.
Secara keseluruhan, seminar ini telah berjaya membentangkan 12 kertas kerja penyelidikan yang merangkumi isu-isu penting antaranya kemiskinan situasi, pendidikan kumpulan B40, aspek perancangan bandar lestari bagi kumpulan B40, keterangkuman wilayah khususnya di Sabah dan Sarawak, model perusahaan sosial bagi PMKS, potensi ekonomi hijau, sekuriti makanan serta pemerkasaan sektor ekopelancongan.
“Menurut data e-Kasih sehingga 30 Jun 2022, ketua isi rumah (KIR) yang dikategorikan sebagai miskin tegar telah meningkat kepada hampir 145 ribu berbanding hanya 45 ribu pada tahun 2020. Selain itu, ramai yang masih terpaksa berdepan situasi sukar ekoran kenaikan harga barang, peningkatan kos sara hidup, kehilangan pekerjaan atau penyusutan dalam pendapatan,” kata beliau.
Langkah intervensi perlu diambil oleh agensi dan pihak berkaitan
Untuk mengatasi masalah ini, Muhyiddin mencadangkan untuk membangun sebuah sistem bersepadu untuk memudah cara proses penyaluran bantuan secara menyeluruh dan berpusat.
Dengan mengintegrasikan data penerima yang layak dari semua agensi dalam satu sistem yang sama, proses penyaluran bantuan termasuk subsidi dapat diselaras dan diagihkan secara telus dan cekap dengan seberapa cepat yang mungkin kepada golongan sasar.
Mekanisme ini akan berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial yang dapat mengenal pasti bantuan jangka masa pendek, sederhana dan panjang serta boleh mengurangkan karenah birokrasi dalam aspek penyampaian bantuan.
Agenda utama kerajaan adalah untuk memberi tumpuan terhadap strategi pemulihan yang lebih menyeluruh dan inklusif dengan berpaksikan kebajikan rakyat secara bersasar.
Sebagai rumusan dan langkah ke hadapan, dalam konteks pemulihan negara, seminar tersebut menggesa agar kerajaan segera memulihkan negara melalui penekanan aspek keterangkuman sosial dan bermaruah dengan:
i. Memberi penekanan terhadap aspek kuantiti dan kualiti pendidikan.
ii. Memacu sektor perniagaan.
iii. Memperkenal insentif bagi tujuan ketersediaan digital perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk meningkatkan produktiviti.
iv. Segera mengenal pasti pelaburan yang memfokuskan kepada foreign direct investments (FDI) dan domestic direct investments (DDI).
v. Meningkatkan kemahiran melalui insentif kepada majikan yang menghantar pekerja untuk peningkatan kemahiran (upskilling and reskilling).
vi. Segera menyelesaikan isu-isu sosioekonomi negara khususnya dalam mengurangkan jurang pembangunan di Sabah dan Sarawak.
vii. Menambah baik infrastruktur asas dan akses kepada perkhidmatan kesihatan terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah dan Sarawak.
viii. Menumpu kepada aspek “structural change” yang bersifat berpusat kepada “decentralisation” termasuk dari segi pengagihan peruntukan yang lebih saksama untuk Sabah dan Sarawak.
ix. Menangani isu jaminan bekalan makanan.
x. Meningkatkan pembangunan ekonomi berasaskan tenaga boleh diperbaharui dn matlamat ekonomi hijau.
xi. Mengenal pasti anjakan baharu dalam bidang ekonomi yang bersesuaian mengikut acuan tempatan dengan merangka strategi yang berkesan (contohnya, instrumen wakaf, zakat dan infaq), tanpa mengikut atau mengadaptasi model luar negara yang sukar dipraktikkan di Malaysia.
Suatu pendekatan yang holistik dan inklusif perlu diambil dalam memacu pemulihan negara serta memperkukuh aspek keterangkuman sosial. Langkah ini penting bagi menangani jurang pendapatan dan sosioekonomi merentasi wilayah sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030).