Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Terokai destinasi eko pelancongan yang menarik di Negeri Sembilan!
Diterbitkan:  Jun 1, 2022 11:21 AM
Dikemaskini: Jul 19, 2022 10:21 AM

Negeri Sembilan mempunyai daya tarikan tersendiri antaranya adalah  Eko Pelancongan yang mana merupakan segmen pelancongan yang kaya dengan keindahan alam semula jadi. Selain daripada pantai di Port Dickson yang menarik perhatian pelancong dan pengunjung, segmen Eko Pelancongan juga tidak kurang hebatnya yang menjadi antara pilihan pelancongan untuk hadir ke Negeri Sembilan. Terdapat banyak kawasan yang telah disediakan dengan tapak perkhemahan dan mempunyai tarikan alam flaura yang mempesona mata memandang sudah pastinya penuh dikunjungi pada setiap hujung minggu.

Antara kawasan yang disediakan untuk pelancong bagi segmen Eko Pelancongan ialah seperti berikut :

PD Forest Sg Menyala, Port Dickson

Port Dickson bukan sahaja terkenal dengan keindahan pantai semula jadinya yang diberi gelaran Pantai Peranginan Negara yang merupakan jajaran pantai yang terpanjang di Asia, malahan tersedia juga hutannya yang dinamakan PD Forest Sg Menyala yang mempunyai keluasan 1,280 hektar.  PD Forest merupakan hutan Dipterokarp Tanah Pamah yang masih ada di pesisiran pantai Semenanjung Malaysia. Diklasifikasikan sebagai hutan  Keruing-Menanti Merah kerana didominasi oleh spesies Meranti Merah dan Keruing, 15 % daripada keluasan sebenar merupakan kawasan berpaya.

Nama Sungai Menyala dikaitkan dengan aktiviti menjala ikan di sungai yang dilakukan oleh masyarakat Orang Asli suatu ketika dahulu yang mana dalam loghat Negeri Sembilan dipanggil sebagai “Menyalo Ikan”. Masyarakat Orang Asli yang paling hampir dengan lokasi ini adalah Orang Asli Kampung Bukit dari suku Temuan.

Hutan ini mudah ditemui dengan pintu masuk melalui Lebuhraya Seremban-Port Dickson sehingga menemui simpang empat yang mempunyai lampu isyarat, seterusnya belok ke kiri dan jalan terus sehingga 3km untuk sampai ke pintu masuk. Jarak perjalanan ke hutan ini kira-kira 30km dari pusat Bandar Seremban, 12km dari Bandar Port Dickson, 70km dari Kuala Lumpur dan 40km dari KLIA.

Antara tarikan utama yang terdapat di hutan ini adalah Denai Razani, Denai Warisan Hutan, Denai pelbagai guna, plot herba, galeri orang asli, galeri perhutanan dan petak kajian.

Terdapat banyak aktiviti yang boleh dilakukan oleh pelancong seperti trekking, memerhati burung, memerhati hidupan liar, aktiviti malam, berbasikal dan berjoging, penyelidikan, interpresi alam dan juga melawat galeri. Beberapa kemudahan tersedia disini seperti dorm, bilik vip, dewan taklimat. perpustakaan, bilik mesyuarat, dewan terbuka, dewan makan, tempat letak kenderaan, surau dan basikal.

Pelancong juga boleh menemui spesies haiwan yang menarik disini seperti Red Giant Flying Squirrel (Petaurista Petaurista), Kelubi (Eleiodoxa Conferta), pokok Jelutung terbesar, dan pokok Mersawa terbesar.

Taman Negeri Kenaboi

Terletak di daerah yang kaya dengan kehijauan alam semula jadi iaitu Jelebu, umum mengetahui bahawa Jelebu mempunyai struktur geografi yang dipenuhi dengan bukit bukau, jalan masuk yang yang digemari oleh penggemar motor besar dengan jalan masuk yang dikelilingi keindahan kehijauan flaura dan fauna yang sejuk mata memandang, semestinya di daerah ini terdapat sesuatu yang tersembunyi dan istimewa buat pelancong yang hadir ke daerah ini.

Taman Negeri Kenaboi terletak dalam Hutan Simpan Kenaboi yang merupakan hutan Dipterokarp Bukit. Ianya merupakan unjuran penghujung Banjaran Titiwangsa yang bersempadan antara Negeri Pahang dan Negeri Selangor. Kaya dengan pelbagai tumbuhan seperti Orkid liar, tumbuhan herba, Paku Pakis dan Palma. Terletak 63km dari Kuala Klawang melalui jalanraya Kuala Klawang-Seremban atau 100km dari bandar Seremban, untuk memasuki hutan ini para pengunjung boleh menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Kuala Klawang.

Sedikit sejarah kawasan hutan ini mula diterokai pada tahun 1990 oleh penggiat aktiviti lasak 4x4 yang melalui Lembah Jemaloi pada suatu ketika dahulu. Kawasan ini pernah dikenali sebagai Rimba Savana Camp Rudi. Keunikan yang terdapat di Kawasan ini adalah air terjun yang melimpah dari Sungai Kering iaitu Sungai Kenaboi yang sering dikaitkan dengan mitos kijang yang cedera dan jatuh daripada air terjun ini. Terdapat beberapa perkampungan orang asli di sini antaranya Kg Tohor, Kg London dan Kg Nap.

Sudah pasti tempat yang indah dan cantik sebegini boleh dilakukan pelbagai aktiviti, antaranya seperti trekking ke Jeram Berungut, menerokai Gua Harimau, trekking ke air terjun Lata Kijang, mendaki Gunung Besar Hantu, mendaki Gunung Kecik Hantu, trekking ke Lembah Jemaloi, aktiviti di perkampungan orang asli, menerokai Gua Batu Bulan, dan mendaki Bukit Enjin.

Bagi memberi keselesaan kepada pelancong, beberapa kemudahan telah disediakan antaranya tandas awam, dewan serbaguna, tapak perkhemahan, pondok rehat,pejabat, tempat letak kenderaan, dewan kuliah, chalet, dorm, kantin, dan bilik mesyuarat.

Pelancong juga boleh mencuci mata dengan melihat beberapa spesies menarik seperti spesies Haniffa Cyanescens, Bilbophyllum Linearifolium, Corybasholttumii, Dendrobium Rupicolum, Enggang Rhinoceros, Takau Hitau Kuning dan Sambar Batu.

Taman Eko Rimba Ulu Bendul & Taman Ular Sawa

Daerah Kuala Pilah terkenal dengan kesesakan jalannya di sepanjang Jalan Kuala Pilah-Seremban, akibat daripada ramai pengunjung yang berhenti di tepian jalan bagi mendapatkan produk-produk tempatan yang dijual oleh orang tempatan di hadapan rumah mereka antaranya produk salai, telur asin dan bermacam-macam lagi . Namun terdapat juga tarikan lain yang menjadi tumpuan para pelancong dan pengunjung iaitu Taman Eko Rimba Ulu Bendul dan Taman Ular Sawa.

Terletak di Hutan Simpan Angsi dan merupakan Hutan Dipterokarp Tanah Pamah dan Hutan Dipterokarp Bukit. Puncak Gunung Angsi merupakan tarikan utama di taman eko-rimba ini dengan ketinggian 825 meter atau 2,702 kaki dengan jarak laluan dari Bukit Putus ke Taman Eko-Rimba Ulu Bendul sejauh 8.89km. Kepelbagaian rupa bumi di Gunung Angsi melalui proses luluhawa dan hakisan yang terkawal menyebabkan gunung ini mempunyai landskap yang menarik seperti sungai, jeram dan air terjun yang menjadi tumpuan pengunjung ke sini. Pendaki akan menyusuri sungai Batang Terachi untuk sampai ke Pucak Gunung Angsi.

Sejarah Ulu Bendul sering dikaitkan dengan beberapa mitos antaranya pada zaman dahulu, sungai Terachi mempunyai air sungai yang dalam sehingga membolehkan perahu berulang-alik melalui sungai ini. Namun begitu, terdapat sebongkah batu besar di sungai ini menyebabkan sebuah perahu terlanggar batu tersebut sehingga pecah dan meninggalkan bendul. Memandangkan kejadian perahu pecah berlaku di hulu kampung maka kawasan ini dipanggil sebagai Ulu bendul.

Beberapa kemudahan telah disediakan di TER Ulu Bendul ini seperti tandas, surau, tapak perkhemahan, wakaf, kolam mandi, pejabat, taman permainan, tempat letak kenderaan, tempat memasak, chalet besar, chalet berkembar, asrama, dewan terbuka, dewan makan, gerai jualan dan pusat informasi bagi keselesaan pengunjung. 

Mempunyai laluan pendakian ke Gunung Angsi antara daya tarikan utama Taman Eko-Rimba Ulu Bendul. Selain itu terdapat juga jeram yang menarik yang dinamakan Jeram Kak Lang dan juga Taman Ular Sawa yang mempunyai keluasan 4 hektar (10 ekar) pada kompartmen 45, Hutan Simpan Angsi. Taman Ular Sawa ini diwujudkan bagi merealisasikan hasrat untuk mengumpul dan memelihara  semula spesis terancam yang perlu dilindungi dan disamping itu memperkenalkan ular sawa kepada masyarakat.

Pelan pembangunan yang dirancang adalah diadaptasikan daripada tema “Implementasi Tropika, Adaptasi Alam Semulajadi”. Kawasan yang dipilih mempunyai dirian hutan yang terdiri daripada kayu jaras, pokok kecil dan pokok besar serta terdapat anak sungai yang mengalir yang menggambarkan suasana semulajadi di hutan.

Kewujudan Taman Ular Sawa Ulu Bendul juga diharap dapat menjadikan Hutan Lipur Ulu Bendul sebagai salah satu destinasi eko-pelancongan yang popular di Negeri Sembilan Darul Khusus.

Antara spesies ular sawa yang terdapat disini adalah Colombia Rainbow boa (Epicratus cenchria maurus), Barazilian Rainbow boa (Epicratus cenchria chenchria), Green anaconda (Eunectes murinus), Carpet phyton (Morelia spilota), Sawa Pendek - Blood python (Python curtus), Green burmese (Python molurus bivittatus) dan Sawa batik (Python reticulatus)

Selain Taman Eko-Rimba Ulu Bendul yang diklasifikasikan sebagai Taman Eko-Rimba bagi segmen Eko Pelancongan, terdapat beberapa lagi tempat yang lain yang tidak kurang hebatnya dan mempunyai daya tarikan tersendiri serta menjadi tumpuan pelancong untuk dikunjungi. Antaranya seperti, Taman Eko-Rimba Batu Maloi, Taman Eko-Rimba Gunung Datuk, Taman Eko-Rimba Gunung Tampin, Taman Eko-Rimba Jeram Toi, Taman Eko-Rimba De Bana, Jeram Tengkek, Taman Eko-Rimba Lenggeng, Taman Eko-Rimba Pasir Panjang, Taman Eko-Rimba dan Taman Eko-Rimba Serting Ulu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS