Apabila kita nampak sahaja logo “M” berwarna kuning itu atau iklannya di televisyen atau radio, terus terbayangkan keenakan burger daging atau ayam, bubur ayam dan kerangupan Ayam Goreng McD yang menyelerakan. Variasi hidangannya juga menepati selera setiap golongan masyarakat.
Keberadaannya di serata tempat di seluruh negara menjadikannya kemestian untuk disinggahi oleh hampir setiap orang di mana sahaja mereka berada.
Dengan hidangan yang sentiasa enak dan segar, tutup mata pun kita sudah tahu ini tentunya makanan kegemaran kita dari McDonald’s, maka sudah tentulah semua bahan yang digunakan adalah berkualiti tinggi dan cara penyediaannya perlu mematuhi satu piawaian yang diiktiraf.
McDonald’s Malaysia dimiliki oleh sebuah syarikat yang berpusat di Arab Saudi iaitu Lionhorn Pte Ltd, salah satu anak syarikat Reza Group bermula pada tahun 2017. Sehubungan dengan itu, ia menjadikannya sebuah syarikat milik orang Islam sepenuhnya.
Polisi Halal McDonald’s menetapkan semua sumber bekalan bahan mentah mesti mempunyai sijil halal
Sebagai sebuah syarikat entiti Islam, McDonald’s Malaysia amat menekankan pengiktirafan dan pematuhan kepada Sijil Halal. Tahukah anda bahawa McDonald’s Malaysia merupakan antara restoran khidmat segera pertama yang menerima Sijil Halal dari JAKIM sejak dari awal tahun 90-an. Dengan Sijil Halal yang diterima ini, McDonald’s Malaysia memastikan agar rantaian bekalan adalah halal dari ladang sehinggalah ke hidangan yang disajikan. Bukan sahaja bahan mentah mempunyai sijil halal, malah gudang dan khidmat lojistik bagi penyimpanan bahan-bahan mentah tersebut juga memiliki sijil halal dari JAKIM.
Halal juga melibatkan kualiti dan keselamatan makanan. McDonald’s Malaysia sentiasa menjaga kualiti dan keselamatan bahan mentah dan penyediaan hidangan yang disajikan kepada pelanggan-pelanggan mereka. Pembekal-pembekal daging, dari luar negara seperti Australia dan New Zealand mempunyai sijil halal dari badan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM dan Tanda Kesihatan Veterinar dari Jabatan Veterinar Malaysia. Bagi jaminan keselamatan makanan juga, McDonald’s Malaysia memastikan agar pembekal patuh kepada peraturan Supplier Quality Management System (SQMS) dan sistem Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP).
Bagaimana pula dengan ayam? Sudah tentu juga ia dibekalkan oleh pembekal-pembekal yang mempunyai sijil halal, malah penyembelih-penyembelih ini telah menerima pengiktirafan dari jabatan agama Islam negeri berkenaan. Mereka juga menggunakan pisau penyembelihan sendiri, tidak dikongsi dan pisau-pisau ini ditukar pada setiap 6 bulan bagi menjamin penyembelihan yang halal dan berkualiti.
Bila kita teringatkan burger McDonald’s, sudah tentu bukan dagingnya sahaja, tetapi roti dan ban juga. Seperti bahan-bahan lain, roti dan ban juga diperolehi dari sebuah kilang roti yang mempunyai sijil halal. Bagi menjamin kesegaran roti dan ban ini, ia dihantar ke restoran-restoran di seluruh negara 3 ke 4 kali seminggu.
Latihan dan penjagaan keselamatan makanan oleh kru McDonald’s yang ketat
Selain dari sumber bekalan bahan mentah, McDonald’s Malaysia juga memastikan amalan operasinya berada di tahap yang memuaskan. Setiap kru yang bertugas di lebih daripada 300 buah restoran McDonald’s di seluruh negara telah menerima suntikan tifoid, mempunyai sijil pengendalian makanan dan juga vaksinasi Covid-19 sepenuhnya. Mereka juga telah dilatih bagi memastikan agar sentiasa mengutamakan kebersihan dan keselamatan makanan. Mengikut polisi halal McDonald’s, setiap restoran mesti mempunyai 2 orang kru beragama Islam di dapur sepanjang masa beroperasi.
Bagi memastikan Sistem Jaminan Halal McDonald’s Malaysia sentiasa dipatuhi, McDonald’s Malaysia telah menubuhkan Ahli Jawatankuasa Halal Dalaman, di mana ahlinya dilantik oleh pihak pengurusan tertinggi syarikat dan juga dibantu oleh dua penasihat syariah dari luar.
Secara kesimpulannya, komitmen halal di McDonald's Malaysia merangkumi seluruh rangkaian bekalan dan operasi, daripada kualiti makanan dan ramuan halal, kepada aspek kebersihan dan program kemasyarakatan yang melibatkan syarikat rangkaian makanan ini.