Bagi memajukan ekosistem halal, kerjasama semua pihak seperti pihak kerajaan, perbankan, pengeluaran, logistik, syarikat sektor awam dan swasta amat diperlukan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Halal Integrated Platform (HIP) adalah platform halal digital tunggal terbesar yang menghubungkan pemain industri kepada kerajaan, perniagaan dan pengguna. Platform ini juga memberikan peluang kepada peniaga untuk memperluaskan jangkauan pasaran ahli dan perdagangan dari dalam negara ke peringkat global.
Ketahui dengan lebih lanjut mengenai peranan platform Halal Integrated Platform (HIP), inisiatif HIP dalam memajukan pasaran domestik, antarabangsa dan perundingan Halal Development Corporation (HDC) daripada Mohammad Hafiz Jamaluddin, Ketua Halal Integrated Platform dan Dhaliff Anuar, Ketua Perundingan & Penasihat Halal, Halal Development Corporation Berhad (HDC).
Pencapaian Halal Integrated Platform
Menurut Hafiz, sejak HIP diperkenalkan 5 bulan yang lalu, platform tersebut sudah mempunyai lebih 5000 ahli yang terdiri daripada usahawan mikro dan kecil.
“Kami ingin bekerjasama dengan persatuan dan agensi kerajaan yang menawarkan program pembangunan keusahawanan. Keunikan HIP berbanding platform pemasaran dalam talian yang lain adalah PKS yang tidak mempunyai sijil halal boleh mendaftar di HIP dan HDC akan membantu mereka mendapatkan pensijilan tersebut,” katanya.
Pada peringkat awal, Bank Islam Malaysia Bhd dan Halal Development Corporation Bhd (HDC) telah melancarkan Dana GO Halal dengan permulaan saiz portfolio berjumlah RM100 juta bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam pembangunan ekosistem dan perkembangan industri halal negara. Di Dubai mereka telah melancarkan pembiayaan eksport USD 100 juta.
Dana Go Halal disediakan untuk membantu PKS menyediakan kapasiti kewangan dalam bentuk pembiayaan keperluan modal, pembelanjaan modal perniagaan, latihan pensijilan dan kos khidmat nasihat berkenaan produk halal. Pembiayaan Go Halal boleh membantu PKS terutamanya golongan B40 dan M40.
Beliau berkata bahawa HIP juga telah berganding bahu dengan penyedia fintech untuk mendorong mereka memasuki industri halal. Selain itu, HIP bakal melibatkan ahli-ahli HIP dalam pelbagai pemadanan perniagaan termasuklah kerjasama dengan bank dan rakan strategik perniagaan lain untuk pemadanan perniagaan di rantau ASEAN, Asia Pasifik serta Eropah.
Antara rakan strategik yang sudah menjadi ahli HIP adalah jomSETTLE, MicroLEAP, MDEC, Global Haltech, UOB, WowShop, Malaysia Airlines, MARA, Hud Hud, Kumoten, Boost, Easystore dan banyak lagi.
Apakah masalah yang sering dihadapi oleh sektor PKS Halal?
Sejak awal perniagaan, usahawan perlu mahir selok belok kitaran kewangan supaya tidak berlaku masalah di kemudian hari.
Kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana terpaksa gulung tikar ekoran terkesan akibat pandemik COVID-19. Salah satu faktornya ialah kerana majoriti industri halal beroperasi secara tradisional, dan apabila wabak COVID melanda seluruh negara, mereka tidak cukup pantas untuk memasuki ruang pasaran digital dan ini secara terus menjejaskan aliran pendapatan.
Memajukan pasaran domestik dan antarabangsa
“Inisiatif HIP terbahagi kepada dua fokus iaitu membantu pasaran domestik dan antarabangsa. Bukan semua pasaran domestik yang mempunyai niat untuk memasuki pasaran antarabangsa. Oleh itu, kami ingin bekerjasama dengan pengedar dan kedai-kedai runcit untuk memberi peluang kepada pengeluar halal kami untuk memanfaatkan kemudahan mereka”
“Di peringkat antarabangsa, kami telah mula melakukan kerja asas dengan mempromosikan HIP di pasaran Dubai. Sebagai contoh latihan perundingan kami bukan sahaja terhad kepada pasaran Malaysia sahaja, kami juga menawarkan perkhidmatan ini kepada pasaran global”
“Melalui kerjasama dengan MDEC, kami telah memperkenalkan e-pasaran yang mempunyai akses kepada pasaran luar negara. Ini akan memudahkan sektor PKS untuk mengeksport produk mereka, kata Hafiz”
HDC: Halal Consultancy and Advisory
HDC juga menawarkan perkhidmatan profesional untuk perniagaan dan organisasi yang melibatkan sektor Halal. Fokus dalam memberi khidmat perundingan yang menyeluruh, khidmat mereka disepadukan dengan keperluan-keperluan Halal dalam perniagaan.
“Apa yang membezakan kami dengan konsultan yang lain di luar adalah sijil kelayakan dan pencapaian kami dalam sektor halal. HDC Halal Consultancy terdiri daripada profesional-profesional yang berpengalaman dalam pasaran ekonomi Halal. Kami fokus untuk bekerjasama dengan anda bagi memenuhi keperluan perniagaan dalam mencapai visi Halal,” kata Dhaliff Anuar.
“Yang kedua adalah HDC merupakan sebuah organisasi yang dimiliki oleh kerajaan Malaysia. Di situ terdapat kelebihannya yang tersendiri. Kebanyakan pihak autoriti atau JAKIM, akan mempunyai kepercayaan yang tinggi apabila mereka mendapat tahu yang permohonan sesebuah syarikat itu telah dibimbing oleh HDC,” katanya.
Tambahnya, di HDC, mereka mempunyai pelbagai rangkaian dengan agensi-agensi lain, contohnya dari sudut bantuan kewangan. Sekiranya terdapat aduan yang memerlukan perhatian yang lebih lanjut dan tindakan-tindakan daripada agensi yang lain, di situ adalah kelebihan mereka.
Halal “Consultancy and Advisory” (HCA) akan memfokuskan permasalahan yang melibatkan tentang halal bukan sahaja untuk mendapatkan sijil halal tetapi secara keseluruhan pelan untuk membangunkan sektor halal sesebuah syarikat. Mereka akan membantu untuk mengeluarkan rangka kerja, tadbir urus, polisi, prosedur dan sebagainya. Di HCA, sasaran syarikat mereka adalah lebih kepada golongan PKS kerana mereka mempunyai sistem pengurusan yang lebih besar berbanding perusahaan mikro dan kecil. Untuk perusahaan mikro dan kecil, mereka disarankan untuk menyertai program untuk mendapatkan halal kerana skop mereka adalah lebih kecil.
Bagi mereka yang tidak menerima sijil halal, mereka masih boleh menjadi sebahagian daripada ekosistem halal, membangunkan keupayaan dan kapasiti untuk bersedia untuk sektor halal.
Marilah kita bersama-sama menjadi satu komuniti yang meneraju dan menyokong ekosistem produk halal. Sertai platform Halal Development Corporation Berhad, Halal Integrated Platform sekarang di sini secara percuma.