KUALA LUMPUR: Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd hari ini menawarkan 100 peratus pengecualian bil pembetungan IWK serta perkhidmatan pengosongan tangki septik secara percuma kepada penduduk yang terjejas ekoran kejadian letupan gas di Putra Heights pada 1 April 2025 lepas.
Pelaksanaan pengecualian bil ini dijalankan kepada pengguna sistem bersambung yang tinggal di kawasan berkenaan bagi tempoh bil pembetungan yang dikeluarkan pada April 2025 sehingga Disember 2025. Bagi pengguna sistem tangki septik, IWK turut menawarkan perkhidmatan pengosongan tangki secara percuma kepada pengguna yang telah membuat penjadualan perkhidmatan tersebut bagi tempoh yang sama.
Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, IWK prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi oleh penduduk yang terjejas dan komited untuk membantu meringan beban mereka.
“Pada kesempatan ini, IWK ingin menzahirkan rasa simpati terhadap semua mangsa yang terjejas dan mendoakan agar proses pemulihan berjalan lancar serta kesejahteraan komuniti di Putra Heights dapat dipulihkan seperti sediakala,” katanya.
Menurut Narendran, inisiatif tanggungjawab sosial korporat ini adalah bertujuan untuk meringankan sedikit beban penduduk di kawasan terbabit, di samping memastikan sistem pembetungan yang cekap di kedua-dua Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru terpelihara.
Bagi memastikan ketepatan pengebilan selepas tempoh bantuan berakhir, semua akaun pelanggan akan disemak semula pada Januari 2026. Akaun yang dikenal pasti sebagai mengalami kerosakan keseluruhan (total lost) akan dinilai semula selepas premis disahkan selamat dan sesuai untuk diduduki.
Sebagai langkah tambahan, siasatan tapak juga akan dilaksanakan semula bagi mengenal pasti premis yang telah sesuai untuk tujuan pengebilan.
IWK akan menilai keperluan untuk melanjutkan atau menamatkan bantuan berdasarkan hasil semakan dan status pemulihan pada masa tersebut.
Untuk sebarang pertanyaan dan penjelasan lanjut mengenai inisiatif bantuan ini, pelanggan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan IWK di talian 03-2083 2828 atau emel ke [email protected].
Kandungan ini disediakan oleh IWK
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]
