KUALA LUMPUR, 10 April 2025 – Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menjalin kerjasama strategik dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dalam satu majlis di Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).
Kerjasama strategik yang seiring dengan nilai kesejahteraan Malaysia MADANI ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama antara MCMC dengan MARA dalam meningkatkan kualiti capaian Internet di institusi pendidikan MARA di seluruh negara.
Institusi pendidikan MARA yang terlibat meliputi:
Maktab Rendah Sains MARA;
Institut Kemahiran MARA;
ADSKolej Kemahiran Tinggi MARA;
MARA-Japan Industrial Institute;
ADSKolej Poly-Tech MARA;
Universiti Poly-Tech Malaysia;
Kolej Profesional MARA;
Kolej MARA;
Universiti Kuala Lumpur;
German-Malaysian Institute; dan
GIATMARA.
Inisiatif ini bukan sahaja mempermudah pembelajaran para penuntut MARA dan membolehkan mereka memanfaatkan capaian Internet untuk urusan seharian, bahkan juga sistem penyampaian awam di seluruh institusi MARA dijangka dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih baik.
Kerjasama antara MCMC dan MARA ini juga turut merangkumi pelaksanaan Kempen Internet Selamat yang merupakan program kesedaran dengan modul baharu yang sesuai untuk warga kerja dan pelajar institut pengajian tinggi; penyediaan khidmat konsultasi bagi penambahbaikan liputan mudah alih dan jalur lebar berasaskan gentian optik, serta eksplorasi teknologi di kawasan kurang liputan.
Selain itu, inisiatif ini merangkumi pembangunan usahawan melalui pembudayaan ICT dan e-dagang, serta program peningkatan kompetensi dan penyelidikan dalam bidang keselamatan siber bagi melahirkan bakat yang memenuhi keperluan industri digital.
Sebagai langkah permulaan dalam memastikan liputan Internet berkualiti tinggi, MCMC telah menjalankan pemeriksaan status liputan Internet di Kolej Profesional MARA (KPM) Ayer Molek. Pada hujung tahun lalu, di bawah satu pelan tindakan khas, pihak telco telah memasang Portable Base Station bagi liputan Internet sementara manakala struktur menara yang tetap akan dibina untuk memberikan liputan yang menyeluruh di KPM Ayer Molek.
Pertukaran MoU antara MCMC dengan MARA diharap dapat memperkasa infrastruktur digital MARA dalam memastikan liputan Internet berkualiti tinggi di premis MARA dan menyokong pelaksanaan infrastruktur telekomunikasi yang lebih efisien.
MoU ini juga merangkumi pembangunan modal insan digital bertanggungjawab dan berdaya saing dalam kalangan warga MARA, termasuk menjadi pengguna digital yang celik siber, serta memiliki kemahiran dalam ICT, e-dagang, dan keselamatan siber bagi menyokong keperluan industri pada masa hadapan.
Majlis pertukaran MoU antara MCMC dengan MARA ini disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YB Datuk Hajah Rubiah binti Wang; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa; Pengerusi Eksekutif MCMC, YBhg.Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki.
Kandungan ini disediakan oleh Komunikasi Korporat MCMC dan Bahagian Komunikasi MARA.
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.