ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
RUU Pendidikan : Tindakan undang-undang langkah terakhir jika ibu bapa gagal
Diterbitkan:  Mar 20, 2025 2:02 PM
Dikemaskini: 6:02 AM

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, RUU Pendidikan (Pindaan) 2025 adalah satu komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah Kerajaan MADANI untuk menangani isu keciciran terutamanya di peringkat sekolah menengah. 

“Enrolmen di peringkat sekolah rendah telah mencapai enrolmen sejagat, dengan 99.39 peratus menunjukkan kejayaan dasar wajib pendidikan sekolah rendah, maka kadar keciciran itu dapat kita tangani dengan lebih awal,” 

“Teraju utama dalam Kerajaan MADANI ini adalah untuk memastikan semua anak-anak kita berada di bangku sekolah dengan sokongan, dokongan dan ekosistem yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.” katanya ketika sesi libat urus media di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Chow Kit, petang semalam.

Sesi libat urus media RUU Pendidikan 2025 diadakan semalam di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK)

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KPM, Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Azman Adnan, dan barisan editor kanan agensi media. 

ADS

Fadhlina berkata, KPM akan membentuk ekosistem yang sejajar dengan keperluan murid dan ibu bapa dengan mewujudkan sesi persekolahan menyediakan pendidikan percuma, menyediakan pelbagai jenis bantuan persekolahan dan menjadikan tindakan undang-undang langkah terakhir jika ibu bapa gagal mematuhi Dasar Pendidikan Wajib Sekolah pada peringkat pendidikan menengah.

Azman pula berkata, pindaan kepada Akta 550 yang akan dibuat merangkumi Seksyen 2 (Fasal 2), Seksyen 29A (Fasal 3) dan pertambahan Seksyen 32A (Fasal 4).

“Bila kita laksanakan akta pendidikan wajib di peringkat rendah, enrolmen anak-anak kita ini meningkat dari 92.90 peratus menjadi 99.39 peratus, maknanya ada keberkesanan apabila kita laksanakan akta pendidikan rendah wajib ini.

“Kalau kita tidak wujudkan dasar wajib kepada pendidikan menengah ini sudah pastinya risiko berkaitan dengan keciciran, transisi antara tahun enam ke tingkatan satu atau tingkatan tiga ke tingkatan empat juga pasti akan berlaku.” katanya.

Azman berkata lagi, lanjutan dasar pendidikan wajib ke pendidikan menengah ini juga adalah bagi mengekang rantaian masalah lain seperti peluang melanjutkan pelajaran terbatas, peluang pekerjaan terhad dan pertambahan jumlah perkahwinan bawah umur.

Dasar pendidikan wajib di Malaysia ketika ini hanya melibatkan pendidikan sekolah rendah selama enam tahun, berbeza dengan tempoh wajib tamat pendidikan di negara-negara maju yang boleh mencapai 13 tahun maksimum.

Jika dasar pendidikan wajib di Malaysia dilanjutkan dengan tempoh wajib tamat pendidikan meningkat ke 11 tahun, kerajaan dapat memastikan generasi baharu ini mencapai kelayakan pendidikan minima SPM dan kekal di bangku sekolah sehingga tamat pendidikan menengah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS
ADS
ADS