“Kenaikan gaji bukan punca mutlak yang mempengaruhi peningkatan harga barang di Malaysia,” kata pakar ekonomi, Dr Afzanizam Abdul Rashid.
Beliau menjelaskan, terdapat beberapa faktor lain seperti permintaan dan penawaran barangan, gangguan rantaian bekalan, peningkatan kos pengeluaran serta inflasi yang menyumbang kepada fenomena itu.
“Hakikatnya pelbagai punca lain yang menentukan harga barang bergerak naik mahupun turun. Gaji hanya salah satu faktor.
“Tetapi kalau nak kata punca harga barangan meningkat hanya berpaksikan gaji naik semata-mata, saya rasa pendapat itu sedikit ‘tempang,” katanya.
Menurut beliau yang juga Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd itu, kebergantungan negara yang tinggi terhadap barangan makanan import menyebabkan berlaku kejutan atau gangguan rantai bekalan yang akan menyumbang pada kenaikan harga barangan.
Situasi itu katanya, menyumbang pada kenaikan harga barangan kerana rakyat terus terbeban dan terpaksa menanggung daripada kenaikan harga barangan semasa.
“Penawaran barangan memainkan peranan misalnya sektor makanan banyak bergantung kepada kegiatan import, justeru apabila bekalan berkurangan, harga naik.
“Harga barang juga melibatkan pilihan dan citarasa mengikut faktor budaya, jika diimport, pasti pergerakan mata wang memainkan peranan selain struktur pasaran yang menentukan harga barangan.
“Banyak dinamik yang berlaku boleh menentukan harga barang tersebut apabila membabitkan pilihan dan citarasa mengikut faktor budaya,” katanya.
Afzanizam diminta mengulas demikian susulan isu kenaikan harga barang yang sering dimomokkan berpunca daripada peningkatan kadar gaji di negara ini.
Kementerian Kewangan (MoF) pada pengumuman Belanjawan 2025 lalu, mengutarakan saiz belanjawan terbesar dalam sejarah, iaitu RM421 bilion bagi tahun ini.
Dalam menitikberatkan soal pendapatan rakyat, kerajaan Madani bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari ini.
Pada masa sama, Afzanizam menjelaskan kadar inflasi di Malaysia yang berada pada sekitar 1.8% hingga 2.5% adalah masih terkawal dan sihat untuk ekonomi.
“Malaysia masih dalam keadaan baik walaupun kadar inflasi mencecah 2.5%. Situasi itu masih boleh diterima dalam keadaan ekonomi semasa.
“Tahun lalu inflasi Malaysia berada pada paras 1.8%, ada juga pendapat yang berkata inflasi sepatutnya 0%, itu tanggapan tidak tepat.
“Secara purata kadar inflasi negara kita berada sekitar 2.5% dan ia masih sesuai untuk ekonomi negara kita. Venezuela mengalami isu hiperinflasi sehingga 1,000%.
“Tingkat harga barang memang perlu naik kerana ia mewujudkan keuntungan pada peniaga dan beri insentif untuk menambah pekerja selain besarkan perniagaan,” katanya.
Menurut beliau, langkah melalui Belanjawan 2025 iaitu pelaksanaan gaji minimum bukan setakat tindakan positif untuk pertumbuhan ekonomi bahkan satu bentuk pengiktirafan terhadap hasil manusia yang dibayar setimpal dengan kemahiran.
Namun, Afzanizam mencadangkan sebelum mengumumkan sesuatu polisi terutama membabitkan kos sara hidup ia perlu dirancang supaya tidak terlalu kerap dan dilihat membebankan rakyat.
“Strategi komunikasi terhadap rakyat itu penting, justeru dari segi penerangan maklumat terperinci perlu disebarkan supaya mereka tahu apa ingin dicapai melalui pengumuman tersebut.
“Ini kerana kerajaan sudah menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin untuk meminimakan kesan kepada rakyat sebagai contoh peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dinaikkan daripada RM10 bilion pada tahun lalu kepada RM13 bilion tahun ini selain Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang bersifat universal,” katanya.