Berita baik untuk rakyat Malaysia! Kementerian Kerja Raya telah mengumumkan DISKAUN TOL 50% untuk Kenderaan Kelas 1 sempena perayaan Tahun Baru Cina 2025!
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata potongan tol itu akan bermula 12.01 tengah malam pada 27 Jan (Isnin) dan akan berakhir 11.59 malam, pada 28 Jan (Selasa) dengan peruntukan bayaran pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggar berjumlah RM20.08 juta.
Orang ramai menyambut baik pengumuman Kerajaan MADANI mengenai diskaun 50 peratus bagi bayaran tol dari kadar tol biasa yang dianggap dapat mengurangkan kos perjalanan.
"Langkah ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap beban kos yang ditanggung oleh rakyat, terutamanya ketika musim perayaan. Bagi kami yang merancang untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan Tahun Baru Cina bersama keluarga, penjimatan seperti ini sangat membantu,” kata Aileen, kakitangan swasta.“
Kami hargai usaha kerajaan memberi diskaun ini, tetapi saya rasa lebih adil jika kerajaan mempertimbangkan untuk memberikan tol percuma kepada kenderaan kecil atau yang berkapasiti enjin rendah kerana golongan ini biasanya lebih memerlukan bantuan. Kenderaan mewah pula boleh dikenakan diskaun 50%," kata Jeevita, pelajar.
Pengurangan tol 50 peratus itu dipersetujui dalam Mesyuarat Kabinet hari ini, dan akan dilaksanakan di semua plaza tol, kecuali di sempadan negara, iaitu di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
“Pengumuman saya sebelum ini berkenaan pemberian tol percuma musim perayaan yang sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Dis 2024”
“Bagaimanapun, Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 selaras dengan agenda Kerajaan MADANI dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang didukung oleh kedudukan kewangan Kerajaan yang kukuh hasil dari program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan,” kata Alexander Nanta dalam kenyataan hari ini.
Semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan pengurangan kadar tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas semasa cuti panjang ini.