Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Empat Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Media Sosial Memohon Lesen untuk Beroperasi di Malaysia
Diterbitkan:  Jan 2, 2025 12:26 PM
Dikemaskini: 4:27 AM

CYBERJAYA, 1 Januari 2025 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin memaklumkan empat (4) penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama telah mengambil langkah signifikan pematuhan kawal selia dengan memohon lesen bagi membolehkan mereka beroperasi di Malaysia.

Tencent (WeChat) telah diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)), menjadikan mereka sebagai penyedia perkhidmatan pertama dilesenkan di bawah keperluan pelesenan untuk penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial. Selepas WeChat, ByteDance (TikTok) telah berjaya memperoleh lesen mereka.

Sementara itu, Telegram sedang berada di peringkat akhir proses pelesenan dan dijangka mendapat lesen dalam masa terdekat. Manakala Meta, yang menyelia Facebook, Instagram dan WhatsApp telah memulakan proses untuk memperoleh lesen bagi membolehkan platform mereka beroperasi di dalam negara, yang dijangka akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

X (dahulu dikenali sebagai Twitter) dan Google, yang mengendalikan YouTube, belum menghantar permohonan kepada MCMC. Menurut X, jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang lapan (8) juta pengguna yang disyaratkan. Ketika ini, MCMC sedang giat menyemak kesahihan jumlah pengguna dan akan meneruskan sesi libat urus bagi menilai kedudukan X.

Berhubung Google, beberapa perkara dibangkitkan mengenai ciri-ciri perkongsian video YouTube dan klasifikasinya di bawah Kerangka Pelesenan. MCMC telah membincangkan isu-isu yang dibangkitkan dan akan memastikan YouTube serta semua penyedia platform yang relevan dimaklumkan dengan jelas mengenai tugas dan tanggungjawab mereka untuk mematuhi Kerangka Pelesenan yang kini sudah berkuat kuasa.

MCMC akan menilai status penyedia platform yang masih belum memperoleh lesen yang dikehendaki dan akan mempertimbangkan tindakan yang wajar di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Penyedia platform yang didapati melanggar keperluan pelesenan boleh tertakluk kepada siasatan dan tindakan pengawalseliaan.

Keperluan pelesenan ini menekankan komitmen kerajaan untuk memperkukuh keselamatan dalam talian, mempertingkat perlindungan pengguna terutamanya untuk kanak-kanak dan golongan rentan, serta pada masa yang sama menambah baik pengawasan kawal selia untuk Penyedia Perkhidmatan yang beroperasi di Malaysia.

MCMC memuji usaha Penyedia Perkhidmatan yang telah mengambil langkah proaktif ke arah pematuhan dan menekankan kepentingan untuk mematuhi keperluan pelesenan. Kesemua usaha ini adalah penting dalam mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia.


Kandungan ini disediakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS