KPJ Healthcare Berhad (“KPJ Healthcare” atau “Kumpulan”) dengan berbesar hati mengumumkan pelantikan Profesor Emeritus Dato’ Dr Lokman Saim sebagai Ketua Pengarah Perubatan yang pertama, berkuat kuasa 1 Januari 2025. Pelantikan ini merupakan langkah strategik dalam memperkukuhkan kepimpinan klinikal, meningkatkan tadbir urus klinikal dan memacu objektif Sistem Kesihatan KPJ yang mengintegrasikan penjagaan klinikal, pendidikan dan penyelidikan untuk mencapai kecemerlangan dalam hasil penjagaan pesakit secara menyeluruh.
Gambar di atas: Profesor Emeritus Dato’ Dr Lokman Saim telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Perubatan KPJ Healthcare.
Profesor Lokman mempunyai lebih 40 tahun pengalaman luas dalam bidang perubatan klinikal, kepimpinan akademik dan inovasi perubatan. Beliau merupakan perintis dalam otologi dan neurotologi di Malaysia dengan memperkenalkan pembedahan implan koklea kepada negara dan menubuhkan Pasukan Implan Koklear UKM. Pendekatan pelbagai disiplin yang beliau perkenalkan telah meletakkan piawaian baharu untuk kesihatan pendengaran justeru meningkatkan kualiti kehidupan pesakit yang mempunyai masalah pendengaran.
Selain daripada pencapaian klinikal, Profesor Lokman juga telah berkhidmat sebagai Naib Canselor Universiti KPJ Healthcare (“KPJU”) semenjak tahun 2012. Sebelum ini, beliau merupakan pengasas Dekan Perubatan dan Pengarah Pusat Perubatan UKM, yang mana beliau menerajui usaha untuk mengintegrasikan pendidikan perubatan, penyelidikan dan perkhidmatan hospital sebagai sebahagian daripada misinya untuk menubuhkan pusat perubatan akademik.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya di KPJU, beliau telah memainkan peranan penting dalam menyelaraskan pendidikan dan latihan yang sejajar dengan keperluan kumpulan sekali gus memastikan golongan profesional mahir dalam bidang perubatan mencukupi. Sumbangan beliau terhadap latihan pembedahan dan mikrosurgikal telah meningkatkan tahap kemampuan tenaga kerja perubatan di Malaysia secara signifikan.
Sebagai Ketua Pengarah Perubatan, Profesor Lokman akan menerajui usaha untuk menyelaraskan operasi klinikal dengan matlamat strategik Sistem Kesihatan KPJ. Beliau akan memberi tumpuan kepada meningkatkan tadbir urus klinikal, menyeragamkan amalan baik dan mengoptimumkan kecekapan operasi dan memastikan penjagaan pesakit kekal sebagai misi utama KPJ Healthcare untuk menjadi rakan penjagaan kesihatan pilihan.
Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare berkata, “Pelantikan Profesor Lokman sebagai Ketua Pengarah Perubatan menandakan satu langkah penting untuk KPJ Healthcare. Dengan kepimpinan dan kepakaran yang luas serta sumbangan besar beliau kepada Kumpulan, Profesor Lokman sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab penting ini, yang mana perlantikan posisi ini adalah pertama kali di KPJ. Sebagai Team KPJ yang telah lama berkhidmat, beliau pastinya mempunyai pemahaman yang mendalam mengenai operasi serta nilai yang diperjuangkan lantas memastikan kepimpinan yang kukuh dan berkesinambungan.
Selain itu, pelantikan Ketua Pengarah Perubatan, turut mencerminkan komitmen teguh kami untuk meningkatkan penjagaan yang berpusatkan pesakit, memajukan tadbir urus klinikal dan meningkatkan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan yang kami sediakan untuk pesakit, pekerja serta komuniti. Ia juga dalam masa yang sama membuktikan keazaman kami untuk menetapkan penanda aras yang baharu dalam penjagaan kesihatan swasta yang cemerlang dan memacu kemajuan yang bermakna dalam industri ini.”
Pelantikan ini mengukuhkan strategi KPJ Healthcare untuk mengetengahkan fungsi klinikal sebagai komponen teras operasinya serta memastikan integrasi yang lancar dengan objektif keseluruhan Kumpulan.
Jawatan Profesor Lokman sebagai Naib Canselor KPJU akan diambil alih oleh lantikan baharu dan butiran lanjut akan diumumkan kelak.
Kandungan ini disediakan oleh KPJ Healthcare Berhad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di [email protected] atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.