Pindaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) menunjukkan keazaman kerajaan untuk mewujudkan ekosistem Internet lebih selamat dengan mengatasi isu-isu yang timbul daripada perkembangan pesat teknologi komunikasi dan multimedia.
Justeru, Pensyarah Kanan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Syed Agil Alsagoff, berkata, tidak timbul isu menyekat kebebasan bersuara pada Fasal 91(a)(i) yang mencadangkan penggantian perkataan jelik dengan perkataan jelik melampau pada Seksyen 233 (1) itu.
“Akta ini sebenarnya tidak menyekat kebebasan bersuara tetapi lebih kepada pengawalseliaan kandungan terpimpin, iaitu pemantauan media dari segi penyebaran kandungan, pemeliharaan estetika budaya nasional dan penyekatan anarki-anarki maklumat jelik, fitnah, hasutan atau kandungan yang boleh mengganggu gugat kesejahteraan, keselamatan negara.
“Mekanisme pengawalseliaan kendiri diperkenalkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) membolehkan media dan rakyat membuat pertimbangan rasional terhadap kandungan yang terpapar dalam dunia siber bagi memelihara keselamatan pengguna.
“Ia juga dapat menambah baik akauntabiliti media terhadap pembangunan kandungan maklumat dalam dunia media di negara ini,” katanya.
Tambah beliau, Kod Kandungan yang diterbitkan oleh Forum Kandungan dan Multimedia Malaysia (CMCF) merupakan suatu garis panduan sistematik yang dihasilkan oleh pengamal media di negara ini bagi memastikan penyaluran maklumat kepada pengguna dapat disampaikan dengan baik, beretika dan sesuai dengan konteks citra budaya masyarakat tempatan
“Pengamal media berperanan menyebar luas kandungan kepada masyarakat. Sekiranya media memberikan kandungan negatif, masyarakat akan terpengaruh.
“Dengan pindaan tersebut, hal itu sekali gus menjadikan industri dan masyarakat media di negara ini lebih sensitif terhadap penyebaran maklumat dan menjadikan mereka lebih bertanggungjawab terhadap siaran dan penyebaran media di negara ini melalui pelbagai platform,” katanya.
Pada masa sama, beliau mencadangkan kerajaan agar berbincang dengan Dewan Bahasa dan Pustaka bagi mewartakan istilah yang tepat untuk mengelak huraian elemen mengenai skop kejelikan melampau yang boleh mengelirukan rakyat.
Katanya, adalah lebih baik kerajaan menyenaraikan apakah yang boleh ditakrifkan sebagai jelik melampau agar kategori itu jelas penggunaannya.
“Hal ini penting kerana pengistilahan yang berbeza akan memberikan pemahaman dalam konteks yang berlainan walaupun istilah jelik dan jelik melampau boleh mengundang kepada gangguan emosi dan persepsi buruk kepada masyarakat,” katanya.
Mengenai jenayah pedofilia dan jualan bahan pornografi yang memperuntukkan hukuman berbeza dan lebih tinggi, Syed Agil berkata, pindaan itu menunjukkan keprihatinan Kerajaan Madani dalam menangani masalah kandungan jelik ke atas kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah.
Menurut beliau, kesalahan itu disifatkan sebagai ancaman serius terhadap kandungan media siber yang mengeksploitasi kanak-kanak di alam maya.
“Saya percaya dengan pindaan tersebut dan dengan penguatkuasaan undang-undang nanti akan menyebabkan kandungan alam maya di negara ini dapat melindungi golongan remaja dan kanak-kanak sejajar dengan meningkatkan keselamatan siber kita,” katanya.
Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024.
Ia antara lain mencadangkan kesalahan di bawah Seksyen 233 tidak lagi menjadikan satira dan parodi sebagai jenayah secara automatik, tetapi masih ada batasan yang perlu dipatuhi.
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].