Meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar menjadi iltizam Kerajaan Madani dalam mengurangkan kesan negatif ekoran kesenjangan ekonomi apabila menggagaskan prospek pemulihan ekonomi Malaysia pada pengumuman Belanjawan 2025.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, supaya isu kesenjangan tidak semakin serius dan jurang pendapatan semakin melebar, kerajaan menaikkan lantai ekonomi agar bilangan isi rumah yang tergolong sebagai miskin tegar dapat keluar daripada garis kemiskinan.
“Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang meningkat, ini menandakan ekonomi berkembang, negara semakin makmur.
“Namun apa dibimbangi kekayaan hanya dinikmati golongan tertentu seperti syarikat gergasi dan T20 yang mempunyai akses untuk mendapatkan pulangan atas pelaburan.
“Tujuan meningkatkan pendapatan isi rumah bagi miskin tegar adalah supaya mereka dapat menampung kos hidup dan mempunyai lebihan pendapatan untuk simpanan serta melabur. Sekiranya pendapatan kurang daripada perbelanjaan mereka akan dibebani dengan hutang,” katanya.
Menurut beliau, pengumuman kenaikan kadar gaji minimum dalam Belanjawan 2025 dan pelaksanaan dasar gaji progresif serta penstrukturan kakitangan awam adalah langkah proaktif kerajaan untuk memastikan kebajikan pekerja terutama mereka yang berpendapatan rendah lebih terjamin.
“Semua itu bertujuan untuk memastikan tiada individu atau isi rumah dengan pendapatan begitu rendah kerana kita mahu menyasarkan dasar gaji minimum sebanyak RM2,000.
“Kadar gaji median di Malaysia adalah sekitar RM2,745, bermaksud 7.5 juta mempunyai gaji lebih rendah daripada RM2,500,” katanya.
Pada masa sama, Ahmed Razman menekankan kemajuan ekonomi yang sebenar bukan sekadar pertumbuhan angka tetapi melibatkan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan sosial dan kemampuan individu mencapai potensi mereka.
Justeru, katanya, meskipun memfokuskan pada kenaikan gaji, beberapa langkah strategik dan inisiatif lain diterapkan untuk mencapai matlamat tersebut misalnya pemberian bantuan tunai fiskal tetap diteruskan dan kos barangan asas dikekalkan pada harga berpatutan.
“Dalam Belanjawan 2025, kerajaan akan memberikan kadar bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak RM13 bilion berbanding tahun 2024, hanya RM10 bilion.
“Kita juga lihat komitmen kerajaan untuk mengekalkan harga barangan asas yang berpatutan manakala harga ayam termasuk telur dan minyak masak walaupun diapung, ia tetap murah selain sebanyak 85 peratus rakyat masih boleh menikmati subsidi bahan api RON95 meskipun berlaku rasionalisasi,” katanya.
Beliau berpendapat, untuk kesinambungan dan kelestarian hidup rakyat untuk jangka masa panjang, kerajaan boleh memastikan ruang dan peluang untuk mereka menambah kemahiran dengan tingkatkan produktiviti supaya ramai pekerja berkemahiran tinggi atau sederhana dapat memenuhi kehendak industri.
Katanya, dengan langkah-langkah berkenaan, kerajaan dapat membantu rakyat untuk bukan hanya menambah kemahiran tetapi juga mengakses peluang yang lebih baik, sekali gus meningkatkan kualiti hidup mereka dan menyumbang kepada kemampanan ekonomi negara.
“Walaupun kita lihat STR dan SARA serta menaikkan gaji minimum ini penting bagi menangani keperluan semasa isi rumah tetapi ia dianggap sesuai untuk membantu meringankan beban kewangan rakyat dalam jangka masa pendek.
“Hal itu kerana kos akan sentiasa meningkat dan kerajaan tidak boleh kekalkan harga makanan rendah mahupun memberi bantuan tunai buat selama-lamanya.
“Bantuan langsung tunai itu adalah permulaan, tetapi perlu juga ada komitmen daripada rakyat sendiri untuk meningkatkan pengetahuan dan tidak boleh berharap pada kerajaan saja, mereka perlu mengangkat nilai tambah diri supaya kekal relevan serta dikehendaki untuk keperluan masyarakat dan ekonomi.
“Saya lihat usaha kerajaan untuk menaikkan lantai mempunyai ruang untuk individu keluar daripada kepompong kemiskinan cuma tahap literasi untuk urus kewangan masih rendah selain mudah menghabiskan duit kerana pengaruh media sosial serta senang dipancing scammer.
“Jika berikan pelbagai bantuan tetapi kalau disalah guna atau rakyat tidak bijak memanfaatkan usaha berkenaan, hasrat kerajaan tidak akan tercapai kerana apa yang penting adalah komitmen individu itu sendiri untuk memiliki ilmu menguruskan kewangan supaya dapat menggunakan sebaik-baiknya apa yang mereka dapat,” katanya.
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].