Melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025 penting bagi mengurangkan beban fiskal negara dalam jangka panjang, serta memastikan sistem subsidi yang lebih adil dan berdaya maju.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican berkata, pembaharuan fiskal perlu dilakukan untuk menampung beban ekonomi negara dan memastikan pertumbuhan yang mampan.
Menurutnya, trend penurunan defisit fiskal menunjukkan komitmen kerajaan memastikan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dapat dikurangkan menjadi tidak melebihi 60 peratus, dapat dicapai dalam tempoh jangka sederhana.
“Kerajaan kekal komited untuk mengurangkan kadar defisit secara konsisten daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 5 peratus (2023). Seterusnya kadar defisit terus berkurangan dengan anggaran 4.3 peratus pada 2024 dan unjuran 3.8 peratus (2025).
“Ini supaya dapat memastikan kedudukan kewangan negara kukuh dan cukup untuk membiayai apa jua diperlukan rakyat dan juga secara bertanggungjawab menguruskan kewangan kerajaan untuk memastikan sekiranya berlaku krisis pada masa depan seperti Covid-19, kerajaan ada kemampuan untuk bertindak.
“Sekiranya ingin mengurangkan lagi kadar defisit kepada 3 peratus dalam jangka masa sederhana, kita tiada pilihan lain selain meningkatkan asas hasil dan kurangkan ketirisan dalam perbelanjaan. Antaranya dengan melakukan penyasaran subsidi bahan api,” katanya.
Menurut Johan, keadaan itu perlu diatasi untuk mengurangkan kebocoran subsidi melalui penyeludupan merentasi sempadan ke negara jiran ataupun penggunaan minyak bersubsidi oleh perniagaan besar dan juga golongan berpendapatan tinggi.
Tambahnya, penyasaran subsidi, seperti yang dilaksanakan terhadap elektrik tahun lalu kini diteruskan kepada RON95 bertujuan untuk memastikan subsidi diberikan kerajaan lebih bersasar dan efisien.
“Apabila subsidi secara pukal dilaksanakan (sebelum ini) seperti dijelaskan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, golongan maha kaya dan bukan warganegara telah menggunakan 40 peratus daripada subsidi petrol RON95 bernilai sehingga RM8 bilion subsidi setiap tahun.
“Setiap kali Kerajaan melakukan penyasaran subsidi, komitmen kerajaan adalah untuk memastikan majoriti rakyat tidak terjejas melalui langkah diambil. Misalnya pada 2023, walaupun harga bahan api dunia meningkat, kerajaan mengekalkan tarif elektrik bagi semua pengguna domestik atau isi rumah manakala tarif elektrik meningkat hanya untuk syarikat besar.
“Untuk diesel, walaupun nampak satu kenaikan mendadak, kerajaan memberikan bantuan tunai kepada individu yang memiliki kenderaan diesel dan kemudahan fleet card kepada syarikat logistik yang mengangkut barang pengguna.
“Jadi tidak sepatutnya harga pengguna meningkat. Hakikatnya inflasi tetap terkawal pada paras sekitar 2 peratus. Rakyat biasa tidak terjejas. Daripada tindakan itu, terdapat penjimatan subsidi diesel setakat ini sekitar hampir RM600 juta sebulan,” katanya.
Johan berkata, isu berlaku apabila jumlah pengguna diesel bersubsidi pada tahun lalu meningkat ketara menjadi 11 bilion berbanding 6 bilion pada 2019 walaupun kadar kenaikan kenderaan diesel dalam negara tidak sampai 5 peratus.
Jelasnya, peningkatan mendadak itu kerana terdapat banyak ketirisan dalam negara antaranya penyeludupan rentas sempadan dan syarikat-syarikat besar menggunakannya.
“Selepas kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi, apa dilihat, jualan stesen minyak menurun tetapi jualan komersial meningkat mendadak.
“Ia menunjukkan sebelum ini berlaku banyak ketirisan. Langkah kerajaan membantu menangani ketirisan dan capai penjimatan yang dapat digunakan untuk perbelanjaan yang dapat memanfaatkan rakyat secara langsung.
“Itulah pendekatan kerajaan dan komitmen untuk melaksanakan RON95 apabila rakyat biasa tidak terjejas dan Perdana Menteri memberi komitmen sekurang-kurangnya 85 peratus pengguna RON95 sedia ada dapat membeli minyak pada harga subsidi,” katanya.
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].