Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Pengumuman
KPJ Healthcare Rekod Hasil Suku Tahunan Tertinggi Dalam Sejarah Melebihi RM1 Bilion
Diterbitkan:  Nov 26, 2024 10:54 AM
Dikemaskini: 2:54 AM

KPJ Healthcare Berhad (“KPJ Healthcare” atau “Kumpulan”) mencatat sejarah dengan merekodkan hasil suku tahunan tertinggi sebanyak RM1,032.8 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2024 (“S3 TK2024”). Buat julung kalinya, pertumbuhan Kumpulan melepasi paras RM1 bilion dalam hasil suku tahunan, didorong oleh peningkatan bilangan pesakit dan kapasiti katil yang diperluaskan di seluruh rangkaiannya.

PBT untuk suku ini direkodkan sebanyak RM139.6 juta, peningkatan 2% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (“EBITDA”) adalah sebanyak RM253.7 juta. Tanpa mengambil kira keuntungan sekali sahaja sebanyak RM34.8 juta daripada hasil penutupan operasi di Indonesia pada S3 TK2023, EBITDA meningkat sebanyak 14%, menandakan prestasi operasi yang kukuh.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2024, KPJ Healthcare melaporkan hasil sebanyak RM2,871.4 juta, meningkat 15% daripada RM2,507.2 juta dalam tempoh sama bagi tahun sebelumnya. PBT bagi tempoh ini meningkat 19% kepada RM349.7 juta, manakala EBITDA meningkat 7% kepada RM687.3 juta, menunjukkan prestasi operasi yang stabil.

Susulan pencapaian memberangsangkan ini, KPJ Healthcare telah mengisytiharkan dividen interim keempat bagi TK2024 sebanyak 1.15 sen sesaham, berjumlah RM50.2 juta. Dividen ini akan diagihkan kepada pemegang saham KPJ Healthcare pada 27 Disember 2024.

Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, berkata: “Meraih RM1 bilion untuk hasil suku tahunan buat kali pertama adalah bukti komitmen kami dalam menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi yang mengutamakan pesakit, serta pada masa yang sama meningkatkan prestasi operasi kami. Pencapaian ini melambangkan kepercayaan pesakit dan pihak berkepentingan terhadap kami. Dengan penawaran perkhidmatan yang diperkukuh serta kapasiti katil yang ditambah, kami terus meningkatkan kepuasan pesakit dan mencapai keputusan yang lebih teguh. Kami kekal fokus untuk memberikan nilai lebih besar selaras dengan usaha memenuhi keperluan penjagaan kesihatan negara yang semakin bertambah.”

Kumpulan mengekalkan momentum operasi yang kukuh pada S3 TK2024, dengan peningkatan BOR sebanyak 72%. Kadar kemasukan pesakit meningkat sebanyak 6% kepada 103,228, manakala lawatan pesakit luar bertambah kepada 784,437, mengukuhkan komitmen KPJ dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang mudah diakses dan berkesan.

Pertumbuhan operasi hospital turut menjana aliran tunai operasi sebanyak RM554.3 juta bagi tempoh berakhir 30 September 2024, kenaikan 5% (RM26.9 juta) daripada RM527.4 juta pada TK2023. Sementara itu, aliran tunai bersih yang digunakan untuk aktiviti pelaburan menurun sebanyak RM54.1 juta kepada RM109.6 juta bagi tempoh yang sama.

Aliran tunai bersih yang digunakan untuk aktiviti pembiayaan adalah RM360.8 juta, meningkat sebanyak RM165.6 juta berbanding jumlah yang dicatatkan pada TK2023, disebabkan oleh bayaran balik pinjaman bersih yang lebih tinggi dalam tempoh tersebut.

Selain prestasi kewangan, KPJ turut memperkukuh inisiatif kelestariannya. Hospital Pakar Damansara 2 (“DSH2”) merupakan hospital pertama dalam rangkaian KPJ Healthcare yang mendapat pensijilan Indeks Bangunan Hijau (“GBI”), sekaligus meletakkan penanda aras baharu untuk penjagaan kesihatan mesra alam. Pemasangan sistem solar fotovolta di atas bumbung bangunan KPJ Rawang dijangka mengurangkan pelepasan karbon setara dengan penanaman 3,000 pokok setiap tahun, selaras dengan matlamat alam sekitar negara.

Kumpulan KPJ fokus kepada pengoptimuman aset, peningkatan kapasiti katil dan pengambilan kakitangan bagi memperkukuh keupayaan operasinya. Dalam menangani cabaran seperti tekanan kos dan pasaran sumber manusia yang kompetitif, KPJ Healthcare komited terhadap pengurusan kewangan serta memberikan nilai kepada semua pihak berkepentingan. Kumpulan kekal yakin terhadap prospek bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024.


Kandungan ini disediakan oleh KPJ Healthcare Berhad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di [email protected] atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS