Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Akses Pendidikan Sejagat Meningkat dari Prasekolah hingga Menengah, kata KPM
Diterbitkan:  Nov 15, 2024 12:51 PM
Dikemaskini: 6:55 AM

PUTRAJAYA: Pendaftaran kanak-kanak di sekolah semakin meningkat di seluruh negara, membawa Malaysia lebih dekat kepada sasaran akses pendidikan sejagat seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

“Kami memberi tumpuan kepada peningkatan pendaftaran di peringkat menengah, rendah dan prasekolah serta untuk menangani isu keciciran,” kata Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan, Azman Adnan. 

“Enrolmen prasekolah telah meningkat kepada 90.10% manakala peringkat menengah atas juga telah menunjukkan peningkatan kepada 91.65 peratus. Dengan usaha semua pihak berkepentingan, enrolmen TVET juga telah meningkat kepada 10.51 peratus dengan kebolehpasaran graduan Kolej Vokasional mencapai tahap tertinggi iaitu 99.38 peratus,” kata beliau semasa temu bual khas dengan media pada Isnin (11 Nov).

Selama 11 tahun pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) daripada tahun 2013 hingga 2023, banyak pencapaian yang signifikan dalam meningkatkan akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan pendidikan di Malaysia. PPPM 2013-2025 yang dibangunkan dengan pendekatan holistik melalui penyelarasan antara pelbagai bahagian KPM dan agensi berkaitan, telah bergerak secara konsisten ke arah pencapaian misi dan visi yang sama.

Bagaimana KPM Menangani Isu Keciciran Murid Di Sekolah?

Untuk menangani isu keciciran murid, KPM telah mengeluarkan Garis Panduan Mengurus Murid Berisiko Cicir di Sekolah (GPMBC), modul Serlahkan Keunggulan Diri (SUDI) serta Buku Penulisan Kajian Kes Murid Berisiko Cicir dan Murid Cicir bagi membantu pihak sekolah mengurus murid berisiko cicir serta menyediakan sebanyak 18 jenis bantuan persekolahan yang terdiri daripada 13 jenis Bantuan Khusus dan 5 jenis Bantuan Umum.

5 Jenis Bantuan Umum:

  • Bantuan Geran Per Kapita Mata Pelajaran

  • Bantuan Geran Per Kapita Bukan Mata Pelajaran

  • Bantuan Prasekolah

  • Bantuan Sukan Sekolah

  • Bantuan Kokurikulum Sekolah

“KPM juga telah melaksanakan Program Outreach Murid untuk mengenal pasti dan melaksanakan intervensi kepada murid yang telah tercicir. Usaha ini telah berjaya mengembalikan 1,269 murid sekolah rendah dan 2,006 murid sekolah menengah ke dalam sistem pendidikan pada tahun 2023.  Sejak Julai 2023, KPM juga telah membangunkan sistem pengesanan murid untuk mengesan keberadaan kanak-kanak pada umur persekolahan dan memastikan mereka kekal dalam sistem pendidikan. Sistem SiPKPM telah siap dibangunkan pada Mac 2024 tetapi masih dalam penyediaan Garis Paduan sebelum diedarkan kepada semua JPN, PPD dan sekolah. Data SiPKPM akan digunakan untuk melaksanakan intervensi bagi memastikan murid berisiko cicir kekal dalam sistem pendidikan hingga tamat persekolahan,” kata beliau.

Memastikan Akses Berterusan Kepada Pendidikan, Terutamanya Untuk Kumpulan Terpinggir

Kementerian komited mengurangkan keciciran murid, terutama dalam kalangan orang asli dan peribumi, melalui penilaian susulan dan peluasan sekolah K9 dan K11 untuk memenuhi keperluan komuniti.

Baru-baru ini, KPM menambah 11 lagi Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9), menjadikan jumlah K9 di seluruh negara sebanyak 28.

Konsep sekolah ini bertujuan menangani isu keciciran murid dan pelajar, khususnya anak-anak Orang Asli dan peribumi di Sabah dan Sarawak kerana jarak dari kampung mereka ke sekolah lazimnya amat jauh sehinggakan ada yang perlu menaiki bot lebih sejam untuk ke sekolah.

Selain itu, konsep Sekolah Model Khas K11 ini juga dijangka mampu mengurangkan kadar keciciran transisi murid dari Tingkatan 3 ke Tingkatan 4 atau transisi peringkat pengajian menengah rendah ke menengah atas. Sekolah Model Khas K11 juga menjadi inisiatif yang akan menyokong usaha KPM ke arah memastikan murid di kawasan yang dikenal pasti dapat menamatkan pendidikan 11 tahun. Sebagai permulaan, KPM telah memulakan program rintis K11 di SK RPS Betau, Kuala Lipis, Pahang yang sekarang dikenali sebagai SMK RPS Betau Khas bagi murid Orang Asli di kawasan tersebut. Di samping itu, program rintis ini juga dilaksanakan di SK Long Bedian, Baram, Sarawak. KPM yakin dengan bantuan yang diberikan dapat menangani keciciran murid dan memastikan mereka kekal dalam sistem pendidikan negara sehingga tamat persekolahan.

Tingkat Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) Dalam Kalangan Murid

KPM secara konsisten memperkukuh inisiatif untuk meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Sehingga tahun 2023, 98.65% guru telah mencapai penilaian baik atau cemerlang dalam pengajaran dan pembelajaran berasaskan KBAT iaitu guru yang mendapat skor sekurang-kurangnya 61% melalui pencerapan PdP menggunakan Instrumen Standard Penilaian Pembudayaan KBAT (ISPPK). Aspek yang dicerap meliputi pelaksanaan KBAT dalam PdP, murid KBAT, teknik penyoalan berasaskan KBAT, dan item pentaksiran berasaskan KBAT.

Usaha yang dipacu oleh KPM dalam meningkatkan enrolmen di peringkat prasekolah, menengah, dan TVET telah menghasilkan pencapaian memberangsangkan. Selain itu, program-program intervensi seperti Garis Panduan Mengurus Murid Berisiko Cicir dan pelaksanaan Sekolah Model Khas K9 dan K11 memberi tumpuan kepada mengurangkan keciciran murid, terutamanya dalam kalangan golongan terpinggir. Dengan peningkatan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), KPM terus memperkukuh sistem pendidikan negara, memastikan pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS