KUALA LUMPUR: Golongan belia pasti sudah mengetahui tentang pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang dijadualkan bermula 12 Januari tahun depan dengan membabitkan 200 pelatih secara sukarela.
Sesi percubaan itu akan membabitkan tempoh 45 hari sehingga 25 Februari 2025 dan dilaksanakan di Rejimen 515 Askar Wataniah, Kem Transit di Kuala Lumpur.
Selepas sesi percubaan tamat, pengambilan bagi Kumpulan Rintis akan mula dilaksana pada 15 Jun 2025 membabitkan 1000 pelatih merangkumi 500 pelatih untuk dua kem.
Pelaksanaan PLKN 3.0 itu akan membabitkan peserta berusia 17 hingga 20 tahun dengan ketetapan beberapa modul pembelajaran.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru-guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES), Mohd Azizee Hasan, berkata pihaknya menyambut baik pelaksanaan semula program berkenaan selepas ia dihentikan beberapa tahun lalu.
"Sudah pasti ia akan menghasilkan karakter semangat patriotisme dan ketahanan jati diri kepada para pelajar. Umum sudah mengetahui ia sememangnya sebuah program yang bagus.
"Kita harap segala matlamat, objektif yang diinginkan dapat dicapai untuk membina generasi cintakan negara dalam berdepan pelbagai cabaran," katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Azizee berkata menerusi PLKN 3.0 juga dapat mengisi ruang kekosongan dengan ilmu bermanfaat terutama dalam kalangan pelajar yang baru menamatkan pengajian tingkatan lima.
"Kebiasaanya selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), golongan ini mula mencari kerja sambilan dan yang kita bimbang segelintir terbabit dengan gejala sosial tidak sihat.
"Jadi bila ada PLKN dapat menghindarkan mereka dari terlibat dari aktiviti tidak berfaedah dalam tempoh mereka menanti keputusan SPM," katanya.
Beliau juga menyatakan PLKN 3.0 dapat membentuk jalinan perpaduan dengan mengumpulkan golongan belia dari pelbagai latar belakang.
"Masing-masing dibesarkan dengan sistem pendidikan yang berbeza dan sebelum ini mungkin mereka tidak mengetahui dengan jelas antara satu sama lain.
"Jadi menerusi program ini mereka akan dapat bersama-sama dan saling mengenali lebih dekat antara satu sama lain dengan masing-masing lebih memahami," katanya.
Sementara itu, Kaunselor Kanan Universiti Kuala Lumpur Malaysia (UniKL) Institute of Aviation Technology (MIAT), Mahyana Mukthar berpandangan pertambahan beberapa modul dalam PLKN 3.0 dilihat bakal memberi impak lebih positif.
"Antara pertambahan baru membabitkan penguasaan kemahiran teknikal, di sini peserta belajar berkaitan pertukangan, kimpalan dan secara tidak langsung meningkatkan nilai kebolehpasaran bila melangkah ke alam kerja.
"Kemahiran insaniah juga turut ditekankan dalam program ini melibatkan kepimpinan, komunikasi, kerjasama berpasukan. Ini sangat bagus sebenarnya, sebagai contoh pelajar yang bagus dalam akademik belum tentu mempunyai kemahiran insaniah ini, jadi dengan adanya modul ini ia membantu mereka terutama ketika ditemuduga," katanya.
Mahyana berkata modul pembinaan jati diri dan ketahanan mental boleh meningkatkan lagi ketahanan peserta dalam berdepan apa jua cabaran dengan pemikiran yang positif.
"Jika kita lihat sebelum ini iaitu ketika pelaksanaan PLKN yang lalu, sifat kepimpinan, ambil berat dalam kalangan bekas peserta memang menonjol. Ia sangat berbeza dengan pelajar ketika ini iaitu tidak pernah menyertai PLKN.
"Sebagai contoh situasi ketika bersama masyarakat, peserta PLKN lebih peka untuk membantu berbanding pelajar sekarang. Mereka bukan tidak mahu membantu, sebaliknya kita perlu meminta pertolongan dari mereka, baru mereka akan bantu," katanya.
Dalam pada itu, pengamal perubatan swasta, Dr Khairul Idzham Abdul Khalid berkata pelaksanaan semula PLKN dalam kalangan belia bakal memberi pendedahan berguna kepada peserta terutama aspek penjagaan kesihatan.
Katanya, ruang waktu yang ada sepanjang program bakal memberi kesempatan untuk mendidik golongan belia mengamalkan gaya hidup aktif.
"Peserta PLKN nanti datang dari pelbagai latar belakang, bukan semua ada kesedaran untuk amalkan gaya hidup yang sihat. Latihan yang bakal dijalani akan jadikan mereka berdisiplin dan boleh mengikuti rutin yang ditetapkan.
"Jadi kena pastikan golongan belia kita aktif. Selain itu, faktor pemakanan juga perlu diberi perhatian sepanjang PLKN. Kena pastikan pelatih dibekalkan dengan makanan bernutrisi seimbang dan cukup khasiat," katanya.
Beliau dalam pada itu menasihtkan bakal pelatih untuk mempunyai waktu tidur yang mencukupi antara enam hingga lapan jam.
"Ini supaya kesihatan mental mereka terjaga dan mereka ada tenaga yang cukup untuk mengharungi modul yang ditetapkan," katanya.
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]