Kenaikan gaji boleh membawa impak positif sekiranya pendapatan diuruskan secara berdisiplin (conscious buying) dengan mengutamakan keperluan sewaktu membeli-belah.
Ketua Jabatan Polisi Dan Strategi, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP), Balqais Yusof mencadangkan supaya gaji diuruskan dengan formula yang baik supaya perbelanjaan atau komitmen bulanan tidak melebihi pendapatan yang diperoleh.
Menurutnya, perlu berdisiplin membeli barang keperluan dengan membuat perancangan lebih baik supaya perkara di luar jangka seperti kecemasan boleh ditangani.
“Justeru, perbelanjaan perlu diteliti sama ada mengikut keperluan, kehendak, kegemaran atau pemberian untuk orang tersayang.
“Keperluan adalah sesuatu yang kritikal, namun, bagi kegemaran dan kehendak boleh dipertimbangkan kerana perlu difikirkan ia boleh menjana pendapatan lebih atau kita perlu bersabar sedikit untuk mendapatkannya.
“Namun, kita masih boleh membeli keperluan untuk orang tersayang seperti ibu bapa kerana ia dapat mengeratkan silaturrahim,” katanya.
Menurut Balqais, kenaikan gaji membawa suatu tanda positif kerana ia bukan saja mengurangkan kadar kemiskinan, tetapi meningkatkan kuasa daya membeli dalam kalangan pengguna, menjana ekonomi setempat serta membantu isi rumah mempunyai simpanan.
Katanya, tanpa kenaikan gaji, bermakna seseorang pekerja tidak boleh menyimpan malah lebih teruk sekiranya perlu membeli barang keperluan dengan berhutang.
“Sebanyak 28 peratus pekerja terpaksa berhutang untuk membeli keperluan. Senario ini mungkin berlaku disebabkan gaji yang rendah hingga memaksa mereka berhutang.
“Golongan ini terpaksa berhutang misalnya kepada ibu bapa, lebih teruk sekiranya meminjam Ah Long ekoran terdesak.
“Kini dengan kenaikan gaji, mereka ada kuasa membeli yang lebih baik. Kalau tiada kenaikan gaji, bermakna tidak boleh menyimpan serta tidak boleh melabur kerana tidak cukup duit untuk membeli keperluan.
“Mengikut DOSM (Jabatan Perangkaan Malaysia) gaji median adalah RM2,400 manakala KWSP, RM2,600: namun adakah pekerja ini boleh membayar perkara penting untuk keperluan seharian yang bermaruah dengan gaji sedemikian,” soalnya.
Tambahnya, mengikut statistik, kebanyakan generasi muda di bawah usia 40 tahun diisytiharkan muflis akibat beban hutang kad kredit mencecah RM40,000 kerana sikap suka membeli di luar kemampuan.
Selain itu, katanya, sesebuah negara akan berdepan isu sosial sekiranya rakyat asyik dihimpit masalah kewangan.
“Hal seperti perceraian dan perkara tidak baik muncul, tetapi jika ada kenaikan gaji, masyarakat dapat menjalani hidup dengan lebih bermaruah.
“Saya lihat kenaikan gaji diumum kerajaan sebagai tanda positif ke arah misi negara hampiri status berpendapatan tinggi.
“Kenaikan gaji menjamin kesejahteraan individu, keluarga dan masyarakat. Jika saya hanya jaga keluarga saya, tetapi di sekeliling ramai yang hidup miskin, adakah keluarga saya akan selamat?” katanya.
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].