Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Karnival Pendidikan Digital 2024 mampu membekalkan anak murid yang fasih digital
Diterbitkan:  Nov 12, 2024 5:48 PM
Dikemaskini: 9:53 AM

Majlis Perasmian Karnival Pendidikan Digital Peringkat Kebangsaan 2024 telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Tuan Haji Ezaiddin Hussain di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin Perbadanan Putrajaya.

Tuan Haji Ezaiddin Hussain (berbaju kot) bersama barisan penganjur Karnival Pendidikan Digital 2024

Anjuran Persatuan Ibubapa Sekolah (PIBG) Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1), inisiatif ini turut dijayakan oleh ChamRun Digital, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Perbadanan Putrajaya.

Seramai 2200 anak murid dari 70 sekolah  telah mengambil bahagian dalam Karnival Pendidikan Digital ini yang melibatkan sekolah-sekolah dari Putrajaya, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan serta Pahang. 

Bertujuan untuk membekalkan murid-murid yang fasih digital, karnival ini merangkumi pelbagai objek pembelajaran yang menarik termasuk pameran tentang peranti digital dan maklumat interaktif serta aktiviti-aktiviti lain termasuk perekodan, robotik dan AI atau 'artificial intelligence'.

"Kita berharap murid-murid dapat mengasah kemahiran mereka dalam gamifikasi dan pembelajaran segerak, yang merupakan elemen penting dalam sistem pendidikan moden."

Tambah Tuan Haji Ezaiddin, "Keperluan kini adalah untuk menekankan kepentingan infrastruktur yang kukuh dalam pendidikan digital. Tanpa infrastruktur yang baik, usaha kita untuk melahirkan generasi yang kompetitif di peringkat global tidak akan berjaya." Menurut beliau lagi, adalah menjadi tanggungjawab barisan pendidik untuk memastikan sistem pendidikan kita adalah mampan dan dapat memenuhi keperluan masa depan.

Beliau juga turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua ibu bapa yang mengambil bahagian dalam seminar keibubapaan yang telah diadakan sempena Karnival Pendidikan Digital tahun ini. "Penglibatan ibu bapa adalah penting untuk memastikan bahawa anak-anak kita mendapat sokongan yang mereka perlukan untuk berjaya dalam dunia yang penuh cabaran ini. Dalam konteks ini, kita juga perlu mengamalkan netika yang baik, terutamanya dalam penggunaan teknologi." 

Beliau juga menekankan betapa pentingnya kemenjadian murid dalam konteks pendidikan kita. Kemenjadian bukan sahaja merujuk kepada pencapaian akademik, tetapi juga melibatkan perkembangan sosial dan emosi murid. Proses ini adalah holistik dan memerlukan perhatian serta sokongan yang menyeluruh daripada pelbagai pihak termasuk kepimpinan digital dalam organisasi pendidikan.

"Melangkah ke hadapan, kita dihadapkan dengan tanggungjawab untuk membina sistem pendidikan yang lebih baik, yang berorientasikan murid dan menghargai karamah insaniah. Ini bermakna kita perlu meletakkan keperluan dan kebajikan murid di barisan hadapan, memastikan mereka mendapat pendidikan yang bukan sahaja berkualiti, tetapi juga memberi perhatian kepada kesejahteraan mental dan emosional mereka." 

Tuan Haji Ezaiddin turut menekankan dengan tekad dan kerjasama, semua pihak yang terlibat dapat mencapai visi untuk menjadikan pendidikan sebagai alat untuk membentuk masyarakat yang lebih baik. 

"Tanpa dedikasi dan komitmen daripada guru, ibu bapa, pelajar, dan komuniti, usaha kita untuk membentuk generasi yang cemerlang tidak mungkin dapat direalisasikan. Setiap langkah kecil yang diambil membawa impak besar kepada perjalanan pendidikan anak-anak kita."

Setelah selesai majlis perasmian Karnival Pendidikan Digital 2024, Tuan Haji Ezaiddin serta barisan pendidik yang hadir turut melawati pameran yang diadakan di ruang legar serta berinteraksi dengan murid-murid yang hadir.


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS