Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Karnival 3 Dekad IWK: Ops Sedut Tangki Septik di Mukim Karangan, Kulim Kedah
Diterbitkan:  Nov 9, 2024 6:00 PM
Dikemaskini: 10:00 AM

KULIM: Dalam meningkatkan lagi kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengosongan tangki  septik, syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd hari ini telah mengadakan Karnival 3 Dekad IWK Memelihara Kesejahteraan Rakyat bersama penduduk Mukim  Karangan, Kulim, Kedah. 

Program ini adalah antara aktiviti kesedaran yang dibuat bagi memberi penjelasan yang lebih teliti mengenai “Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) 2021”.  Di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, semua pemilik, pengurusan, atau penghuni premis  yang mempunyai tangki septik perlu menjalankan nyahenap cemar secara berjadual.  

Ketua Jabatan Perniagaan Nyahenap Cemar IWK, Encik Pauzi Mohamed, berkata, melalui program  kesedaran Ops Sedut, IWK dapat mendekati masyarakat setempat dan menyampaikan maklumat  mengenai kepentingan pengosongan tangki septik.  

“Sempena 30 tahun penubuhan IWK, kami terus komited dalam memastikan kelestarian alam sekitar  terpelihara demi kesejahteraan rakyat. Bagi premis yang mengunakan sistem pembetungan tangki  septik individu, pengguna hendaklah faham yang tangki ini berfungsi sebagai tangki yang menerima  air sisa kumbahan dan mempunyai kapasiti rawatan yang terhad. 

“Sekiranya tidak dikosongkan, ia boleh menyebabkan air sisa kumbahan tidak dirawat dan seterusnya  mengalir ke sungai atau perairan sehingga boleh mencemarkan sumber air negara. Sisa kumbahan  hendaklah dilupuskan dengan cara yang selamat bagi mengelakkan berlakunya penyebaran penyakit  bawaan air,” katanya ketika berucap di program berkenaan. 

Program ini dirasmikan oleh Pegawai Daerah Kulim, Haji Mohd Zaini bin Haji Ramli. Turut hadir Ahli  Dewan Undangan Negeri Merbau Pulas, Yang Berhormat Dato’ Ustazah Hajjah Siti Aishah Binti Haji  Ghazali; Penolong Pengarah Kanan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Wilayah Utara,  Saminathan A/L Narayanan; Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah, Dr Siti Nor Khamariah Binti  Ramli, dan wakil PERKESO Kulim, Ahmad Rizwan Hassan Bin Basroh. 

Kira-kira 500 penduduk daripada sepuluh kampung di mukim berkenaan telah hadir dalam  menyaksikan demo pengosongan tangki septik serta cucian lestari yang dijalankan IWK. Cucian lestari  adalah kaedah terbaik bagi mengelak lebihan minyak atau lemak daripada memasuki saluran  pembetungan yang boleh mendatangkan pelbagai masalah. 

Menurut Pauzi, di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, semua pemilik, pengurusan, atau  penghuni premis yang mempunyai tangki septik perlu menjalankan nyahenap cemar secara berjadual.  Kegagalan mematuhi peraturan ini merupakan satu kesalahan di bawah subseksyen 65(3) Akta  Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi  RM50, 000. 

“Di Malaysia, terdapat kira-kira 1.35 juta pengguna tangki septik yang mana ianya perlu dikosongkan  secara berkala iaiti sekurang-kurangnya sekali dalam dua tahun. Adalah diharapkan program libat urus bersama komuniti dapat meningkatkan lagi kesedaran kepada semua pemilik tangki septik untuk  menjalankan tanggungjawab mengosongkan tangki demi alam sekitar,” tambah Pauzi. 

Menurut Ketua Wilayah Utara, Jabatan Perniagaan Nyahenap Cemar Wan Abdul Jalil Wan Husin,  program ini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk kampung dan sehingga hari  ini, sebanyak 250 premis yang telah mendaftar dengan IWK untuk mendapatkan perkhidmatan  pengosongan tangki septik. 

Di samping demo pengosongan tangki septik, pelbagai aktiviti menarik turut tersedia termasuk sukan  rakyat, aktiviti jalan 10,000 langkah, taklimat daripada penceramah jemputan, pertandingan mewarna  dan pertandingan gubahan. 


Kandungan ini disediakan oleh IWK.

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS